SalamSG latih kakitangan masjid perkasa khidmat jelang Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SalamSG latih kakitangan masjid perkasa khidmat jelang Ramadan

Feb 7, 2026 | 5:30 AM

SalamSG latih kakitangan masjid perkasa khidmat jelang Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengerusi SalamSG Ramadan, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman (kiri) berkata, latihan kecemerlangan perkhidmatan profesional yang dilalui kakitangan masjid di Singapura akan memastikan mereka bersikap mesra jemaah serta menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan kondusif untuk mereka. Ustaz Fairuz dilihat bersama (bermula dari kiri) Pegawai Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keluarga Masjid Yusof Ishak, Ustaz Abdul Fattah Abdussamad; jemaah masjid tersebut, Encik Abdul Ghani Abdul Rahman; Encik Jamil Abdul Samad; dan anggota belia di Masjid Yusof Ishak, Muhammad Mubarak Muhammad Raffi Abdullah.
Pengerusi SalamSG Ramadan, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman (kiri) berkata, latihan kecemerlangan perkhidmatan profesional yang dilalui kakitangan masjid di Singapura akan memastikan mereka bersikap mesra jemaah serta menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan kondusif untuk mereka. Ustaz Fairuz dilihat bersama (bermula dari kiri) Pegawai Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keluarga Masjid Yusof Ishak, Ustaz Abdul Fattah Abdussamad; jemaah masjid tersebut, Encik Abdul Ghani Abdul Rahman; Encik Jamil Abdul Samad; dan anggota belia di Masjid Yusof Ishak, Muhammad Mubarak Muhammad Raffi Abdullah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sekitar 200 kakitangan masjid telah dilatih oleh para karyawan industri bagi memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan mereka di bawah inisiatif Salam SG, sebagai persediaan menyambut para jemaah sempena Ramadan yang akan datang.

Ini merupakan kali pertama SalamSG menganjurkan inisiatif latihan kecemerlangan perkhidmatan profesional yang melibatkan karyawan Melayu/Islam daripada sektor komunikasi dan jualan, kata Pengerusi bersama SalamSG Ramadan, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman, ketika dihubungi Berita Harian (BH) menjelang pelancaran kempen SalamSG 2026 pada 7 Februari.

Usaha ini sekali gus mencerminkan peluasan jangkauan SalamSG sejak ditubuhkan pada 2022.

Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat sepanjang Ramadan ketika era Covid-19 melalui wadah fizikal dan dalam talian, malah membolehkan masjid memperluaskan manfaat serta jangkauan kepada masyarakat umum walaupun selepas pandemik, katanya.

Pengerusi SalamSG Ramadan yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman.
Pengerusi SalamSG Ramadan yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ustaz Fairuz menggariskan bahawa setiap tahun, kerjasama antara masjid sentiasa diperkukuh.

Antaranya, penganjuran program bersama seperti pengagihan bantuan kepada golongan memerlukan, Kem Cabaran Belia Ramadan, penghasilan video dakwah, serta pelbagai inisiatif masyarakat yang lain.

Ini kerana, antara aspek penting yang ingin diketengahkan ialah agar masyarakat dapat menerima mesej yang sehaluan daripada semua masjid terutamanya di Ramadan.

“Banyak program secara fizikal berbentuk lebih kemas seperti contoh, bagaimana naratif Ramadan lebih tersusun apabila disampaikan kepada masyarakat, dengan masjid tahu mengenai mesej yang ingin disampaikan,” kata Ustaz Fairuz, yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak.

View post on Instagram
 

Antara pembaharuan yang dilakukan SalamSG kali ini ialah latihan profesional yang diterima kakitangan masjid menjelang Ramadan.

Ustaz Fairuz berkata, setiap masjid mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri pada Ramadan.

Ia padat dengan program serta kehadiran pelbagai lapisan jemaah, termasuk warga emas dan mereka yang berkerusi roda, katanya.

Justeru itu, menurutnya, apa yang lebih penting di sebalik kesibukan ini ialah jemaah dapat merasakan rasa memiliki dan selesa dengan khidmat masjid, sekaligus meningkatkan pengalaman jemaah sepanjang Ramadan.

Usaha ini bermula daripada pegawai barisan hadapan atau kakitangan masjid, lantas, latihan tersebut akan memastikan pegawai masjid bersikap mesra jemaah serta menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan kondusif, ujar beliau.

“Masjid merupakan pusat yang sangat sibuk (di Ramadan) namun, keadaan ini perlu dijadikan peluang untuk mewujudkan suasana yang bersifat transformatif.

“Barisan hadapan kami dilatih untuk memahami perkara-perkara ini dan kini, usaha sedemikian dilaksanakan dengan lebih meluas.

“Melalui SalamSG, pendekatan diambil dari sudut bagaimana latihan dapat dilaksanakan dan diperluaskan pada skala yang lebih besar,” tambah beliau.

Ustaz Fairuz menambah, latihan tersebut dijalankan dengan intensif dan praktikal bagi mereka yang akan berhadapan dengan jemaah.

Kakitangan itu mendapati latihan tersebut sangat berkesan, dan akan memanfaatkan kemahiran itu di Ramadan, kongsi beliau.

Pengerusi bersama SalamSG Ramadan, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman (kiri) bersama anggota belia di Masjid Yusof Ishak, Muhammad Mubarak Muhammad Raffi Abdullah.
Pengerusi bersama SalamSG Ramadan, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman (kiri) bersama anggota belia di Masjid Yusof Ishak, Muhammad Mubarak Muhammad Raffi Abdullah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pelancaran SalamSG 2026 akan bertepatan dengan Festival sulung SalamSG yang akan diadakan di Masjid Yusof Ishak pada 7 Februari.

Festival satu hari itu merangkumi forum, program untuk wanita, bengkel untuk ibu bapa bagi mempersiapkan Ramadan bersama anak-anak, dan reruai makanan dan minuman serta pakaian.

Menurut Ustaz Fairuz, sejak SalamSG dilancarkan, pelbagai usaha baru diadakan saban tahun.

Antaranya, SalamSG memperkenalkan saluran WhatsApp di mana pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai acara dan inisiatif berkaitan masjid serta peringatan harian sepanjang Ramadan pada 2025.

Meneruskan usaha risalah ‘30 Amalan Penuh Impak’ yang dihasilkan ketika itu, SalamSG kini akan memperkenalkan risalah ‘30 Renungan Ramadan’ pula pada 2026, kongsi Ustaz Fairuz.

Beliau berkata, ia diperkenalkan bagi mengajak masyarakat menghayati nilai murni yang bakal diketengahkan SalamSG 2026 di dalam dan luar Ramadan, menerusi ayat Al-Quran dan Hadith untuk pengguna mengamalkannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg