Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti: Masjid boleh main peranan transformasi lebih besar

Feb 8, 2025 | 7:25 PM
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (tengah) berkata masjid merupakan institusi yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan persekitarannya.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (tengah) berkata masjid merupakan institusi yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan persekitarannya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masjid boleh memainkan peranan transformasi yang lebih besar kerana ia bukan sekadar tempat ibadah, tetapi sebuah institusi yang mempunyai tanggungjawab sosial dan komunal lebih luas, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Berkata demikian semasa berucap di Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) di Singapore Expo pada 8 Februari, beliau menggariskan tiga elemen penting yang membentuk masjid sebagai institusi transformasi iaitu ruang suci, pemimpin yang berkebolehan dan jemaah yang dipandu.

Menurut Dr Nazirudin, masjid merupakan ruang suci yang penuh dengan unsur-unsur keagamaan, maka ia harus terus dipelihara.

Sesuai dengan itu, masjid memerlukan kededua pemimpin yang berkebolehan dan jemaah yang dipandu.

Pemimpin seharusnya mampu menguruskan hal ehwal masjid dengan baik manakala jemaah yang hadir ke masjid memerlukan bimbingan untuk memperbaiki diri.

“Setiap kali kita memikirkan masjid dan tiga elemen yang menjadi teras... ini adalah elemen yang akan membolehkan masjid menjadi ‘transformatif’ dalam kehidupan setiap individu yang datang ke masjid,” katanya kepada 1,000 hadirin.

“Justeru saya menyeru anda supaya memikirkan bagaimana tiga komponen ini boleh dipertingkatkan dan diperkukuhkan dalam kita memikirkan empat jenis kesan (spiritual, emosi, kognitif dan sosial) yang boleh ditinggalkan masjid ke atas jemaah,” ujar Mufti lagi.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata dari sudut spiritual, ini boleh dilakukan dengan menyediakan ruang dan suasana elok dengan menjaga kebersihan serta adab di perkarangan masjid.

Beliau juga menekankan masjid menjadi wadah untuk masyarakat meluahkan keresahan dan memperoleh kelembutan hati, serta berfungsi sebagai pusat pembelajaran agama Islam.

Masjid turut berfungsi sebagai pusat kemasyarakatan yang menggalakkan kebaikan, kasih sayang dan keprihatinan, ujarnya.

Mufti turut menyifatkan masyarakat masjid sebagai pencetus, yang mampu menjadi obor dan menerangi masyarakat Melayu/Islam, jika bersatu.

“Apabila semua obor ini bersatu seperti (semasa) Ramadan, semoga kita semua dapat bersama-sama menjadi cahaya yang memerangi.

“Cahaya yang cukup kuat sehingga seluruh masyarakat, dan semoga sehingga luar daripada masyarakat kita, dapat melihat laluan yang lebih jelas ke arah kebaikan, kebajikan, dan perkhidmatan,” kata Dr Nazirudin.

Beliau menambah:

“Saya katakan ini kerana kita hidup dalam dunia yang semakin tidak menentu, semakin mencabar, tetapi adalah penting untuk kita tetap teguh di atas laluan untuk membawa kebaikan.

Mufti juga mengingatkan masyarakat masjid untuk kekal teguh dan bersatu sebagai ‘cahaya yang menyinari’ untuk membimbing masyarakat menuju kebaikan.

Terutamanya dalam dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar, adalah penting bagi mereka untuk kekal teguh membawa kebaikan.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin juga menekankan yang masjid memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan persekitarannya.

“Apabila kita memikirkan masjid sebagai sebuah institusi, masjid tidak wujud hanya dalam satu ruang ibadah dan terpisah sepenuhnya dari masyarakat serta persekitaran di sekelilingnya.

“Inilah cara kita memahami Islam… tuntutan dan ajaran agama kita sebagai umat Islam,” ujarnya.

Mufti turut menambah kehidupan masyarakat Islam berkait rapat dengan identiti agama, termasuk tradisi ibadah, amalan dan nilai.

Nilai-nilai tersebut mampu mempengaruhi program yang dijalankan di masjid, lantas memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Tradisi dan nilai-nilai kita tidak wujud dalam ‘vacuum’, ia wujud dalam konteks yang sangat spesifik.

“Satu set syarat, satu set keadaan, dan satu set konteks yang tertentu. Khususnya, kita tahu di Singapura, kita adalah minoriti.

“Tetapi, ini adalah aspek penting dalam konteks kehidupan kita. Mungkin di Singapura, kita kadangkala mengambil mudah bahawa sebagai minoriti, sebagai umat Islam, kita hanya meneruskan kehidupan kita begitu sahaja.

“(Namun), ia mengenai makna hidup sebagai minoriti Muslim dan apa yang penting dalam kehidupan kita sebagai minoriti Muslim dalam konteks kehidupan agama kita,” ujarnya.

Kali terakhir diadakan pada 2018, OMS kali ini menumpukan pada inovasi dan kerjasama antara masyarakat masjid, menjadi wadah utama untuk menentukan arah tuju sektor masjid bagi daya utama masa depan.

Ia menampilkan pelbagai penceramah daripada pemimpin masjid dan masyarakat, yang berkongsi bagaimana masjid dapat terus kekal memberi manfaat kepada masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg