Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan iringi pemergian Ustaz TM Fouzy

Dec 19, 2024 | 8:10 PM
Ribuan anggota masyarakat Melayu/Islam berhimpun di Masjid Sultan pada 19 Disember untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat sebelum jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman.
Ribuan anggota masyarakat Melayu/Islam berhimpun di Masjid Sultan pada 19 Disember untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat sebelum jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Ribuan anggota masyarakat Melayu/Islam membanjiri Masjid Sultan pada 19 Disember untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat yang meninggal dunia pada 18 Disember.

Pemergian Allahyarham pada usia 69 tahun bukan sahaja meninggalkan kekosongan dalam keluarganya, malah dalam jiwa masyarakat Melayu/Islam Singapura yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, dua anak lelaki, empat anak perempuan serta 12 cucu.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Sultan sekitar 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumi di Pusara Aman pada sekitar 3.30 petang.

Solat jenazah dipimpin oleh anak kedua Allahyarham, Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Jumat, 32 tahun.

Pihak masjid menganggarkan sekitar 8,000 anggota jemaah hadir.

Ustaz Fauwaz enggan berkongsi sebab pemergian Allahyarham, tetapi menyifatkannya sebagai seorang yang penyayang dan banyak memberi inspirasi kepada anak-anaknya.

Mengulas tentang antara perkara terakhir yang terlintas di minda Allahyarham, Ustaz Fauwaz berkata:

“Ia mengenai kematiannya. Sebelum dimasukkan ke hospital pada 22 November, beliau sudah menasihatkan anak muridnya yang berada di Masjid Istighfar untuk menunaikan solat sunat hadiah (solat sunat mutlak yang didirikan dengan tujuan dihadiahkan kepada jenazah dan amalan yang dilakukan dengan tujuan kebaikan).”

Sebagai Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), yang juga pengarah urusan ejen penjualan (GSA) pakej haji TM Fouzy Travel & Tours, Allahyarham memudahkan ribuan anggota jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah, satu khidmat yang amat dihargai masyarakat.

Antara pemimpin masyarakat Melayu/Islam Singapura yang hadir di Masjid Sultan ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman; Timbalan Pegawai Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Turut serta ialah mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram; Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan; Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Alhabsyi; mantan Presiden LBKM, Encik Suhaimi Salleh dan mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.

Encik Masagos menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin masyarakat dan tokoh agama yang disegani dan telah berbakti kepada masyarakat sepanjang hayatnya.

“Selama 15 tahun, Allahyarham berkhidmat dengan cemerlang sebagai Presiden Amtas, di mana beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf perkhidmatan bagi jemaah haji dan umrah.

“Di bawah kepimpinannya, Amtas menjadi pertubuhan yang berwibawa, membantu ribuan jemaah mengemudi rukun Islam kelima. Bimbingan beliau memastikan para jemaah cukup bersedia, bukan sahaja dari segi jasmani, tetapi rohani, untuk menunaikan ibadah yang penting ini,” ujarnya.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, pula mengenang pertemuannya dengan Allahyarham di Makkah ketika menunaikan ibadah haji pada 2024.

“Usaha gigih beliau selama bertahun-tahun menyentuh kehidupan ramai individu, memberikan bimbingan dan sokongan rohani kepada jemaah dalam perjalanan suci mereka.

“Kehadiran beliau sentiasa membawa ketenangan dan keyakinan, terutamanya pada saat-saat sukar. Pemergiannya ialah satu kehilangan besar bagi masyarakat kita, namun legasi beliau yang penuh dengan khidmat, kebaikan, dan keimanan akan terus hidup dalam sanubari kita semua,” tulis Dr Maliki dalam hantaran Facebook.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg