Persatuan Muhammadiyah menegaskan komitmennya terhadap kebajikan masyarakat pada acara tahunan agihan zakat dan pek habuan sebelum Hari Raya, pada 22 Mac, di Muhammadiyah Kindergarten.
Bagi 2025, mereka menyediakan bantuan bernilai $125,000 kepada 700 keluarga Islam berpendapatan rendah, bagi memastikan mereka menerima sokongan menjelang Hari Raya.
Tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, memuji usaha Muhammadiyah sejak sekian lama dalam memberikan bantuan sosial.
“Tahun demi tahun, Muhammadiyah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem sokongan sosial kita.
“Dedikasi berterusan mereka memastikan mereka yang memerlukan menerima bantuan tepat pada masanya, melengkapkan usaha pemerintah untuk memartabatkan masyarakat kita,” katanya.
Berbanding 2024, Muhammadiyah melihat peningkatan 30 peratus dalam pengeluaran zakat dan peningkatan 50 peratus dalam penerima yang berkeperluan tinggi.
Sementara itu, antara acara utama hari itu ialah pelancaran Bank Komuniti Muhammadiyah.
Daya usaha itu bertujuan menyediakan barangan keperluan seperti susu dan lampin kepada keluarga berpendapatan rendah, terutama mereka yang menjaga bayi, kanak-kanak berkeperluan khas dan golongan warga emas.
“Bank Komuniti adalah cerminan apa yang kami perjuangkan dalam masyarakat untuk membantu mereka,” kata Setiausaha Umum Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim.
“Kami bermula dengan keperluan penting seperti lampin dan susu, tetapi apabila keperluan berkembang, kami mencari untuk mengembangkan sokongan kami, memastikan mereka yang memerlukan bantuan segera menerimanya dengan cepat,” tambah beliau.
Bagi meningkatkan proses penyaluran bantuan, Muhammadiyah bekerjasama dengan Lalamove, yang menyediakan 15 kenderaan dan pemandu untuk membantu menghantar hamper kepada 200 isi rumah.
Agihan selebihnya diuruskan oleh sukarelawan Muhammadiyah, untuk memastikan semua keluarga menerima bantuan mereka sebelum Syawal.
Smentara itu, Pengarah Urusan Lalamove Singapura, Encik Alex Lin, berkata:
“Bagi kami di Lalamove, kerjasama ini lebih daripada sekadar logistik, ia mengenai menggerakkan masyarakat ke hadapan.
“Kami bangga menyokong inisiatif bermakna ini sepanjang Ramadan dan seterusnya.
Antara penerima bantuan ialah Encik Mohd Nor, 65 tahun, yang telah menerima bantuan Muhammadiyah sejak 2023.
Sebagai penjaga tunggal ibunya yang sudah tua, beliau berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Sokongan ini meringankan beban kewangan saya, terutama pada Ramadan apabila perbelanjaan meningkat. Dana zakat dan sumbangan makanan benar-benar membantu,” kongsinya.
“
“Tahun demi tahun, Muhammadiyah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem sokongan sosial kita. Dedikasi berterusan mereka memastikan mereka yang memerlukan menerima bantuan tepat pada masanya, melengkapkan usaha pemerintah untuk memartabatkan masyarakat kita.”“
“Sokongan ini meringankan beban kewangan saya, terutama pada Ramadan apabila perbelanjaan meningkat. Dana zakat dan sumbangan makanan benar-benar membantu.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg