Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhammadiyah bantu ringankan kos sara hidup tinggi

Setiap tahun, persatuan ini agih habuan zakat serta barangan keperluan harian kepada 700 keluarga sempena bulan Ramadan
Mar 14, 2025 | 5:30 AM
Sukarelawan (kanan) daripada Persatuan Muhammadiyah membantu mengagihkan makanan iftar/buka puasa pada bulan Ramadan 2025.  
Sukarelawan (kanan) daripada Persatuan Muhammadiyah membantu mengagihkan makanan iftar/buka puasa pada bulan Ramadan 2025.   - Foto PERSATUAN MUHAMMADIYAH

Setiap tahun, Persatuan Muhammadiyah akan mengagihkan habuan zakat serta barangan keperluan harian kepada kira-kira 700 keluarga sempena bulan Ramadan.

Golongan penerima termasuk keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang sedang berdepan pelbagai dugaan hidup sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Antara yang menerima manfaat ialah Cik Azizah (bukan nama sebenar), 50 tahun, ibu enam anak berusia antara 14 tahun dengan 20 tahun. Empat daripada mereka mempunyai keperluan khas seperti masalah kelewatan pertuturan.

Anak bongsunya pula perlu menggunakan lampin dewasa sebanyak empat pek sebulan. Suami Cik Azizah berpendapatan rendah dan mereka menerima zakat daripada badan ini sejak 2023.

Persatuan Muhammadiyah turut memberi bantuan bulanan dan juga bantuan lampin dua kali sebulan. Bantuan yang diterima ini dapat meringankan beban dan kos perbelanjaan untuk keluarganya terutama sekali apabila menerima sumbangan lampin dan makanan.

Ini adalah kerana kos perbelanjaan lampin boleh mencecah hingga $66 sebulan, manakala kos pengangkutan ke hospital $200 hingga $300 sebulan. Kos rawatan hospital pula dibiayai Pejabat Khidmat Sosial (SSO).

“Bantuan yang saya terima daripada Muhammadiyah, termasuk sumbangan lampin dewasa dan makanan, amat meringankan beban perbelanjaan keluarga kami. Dengan empat anak saya yang berkeperluan khas, kos kehidupan amat tinggi, terutama bagi pembelian lampin dan pengangkutan ke hospital. Saya bersyukur atas sokongan ini yang membantu meringankan kesusahan kami,” kata Cik Azizah.

Salah seorang lagi penerima manfaat zakat dan bantuan daripada Muhammadiyah ialah Cik Mazlena (nama samaran), seorang ibu tunggal berumur 30 tahun. Bekas suaminya meringkuk di penjara dan beliau mempunyai empat anak berumur dari empat tahun hingga 13 tahun.

Oleh sebab anak keempatnya mempunyai masalah jantung dan kelewatan perkembangan, beliau perlu menjaga dan memberikan perhatian kepadanya sepenuh masa.

Beliau telah menerima habuan zakat sejak 2023 dan turut menerima bantuan baucar bulanan, lampin bayi dan makanan. Bantuan ini dapat meringankan sedikit kos perbelanjaan makanan harian untuk keluarganya. Cik Mazlena turut menerima bantuan SSO yang menampung sepenuh kos rawatan hospital anaknya.

Namun, beliau perlu menanggung kos lain seperti rawatan ekzema sebanyak $150 sebulan, pengangkutan ke hospital $300 sebulan dan perbelanjaan lampin bagi anak kecilnya yang berkeperluan khas yang boleh mencecah hingga $150 sebulan.

Pada tahun 2023, Cik Mazlena menghubungi Persatuan Muhammadiyah sebelum menerima bantuan daripada Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) dan berada dalam keadaan yang amat terdesak.

Sebagai respons segera, Muhammadiyah menghantar bantuan makanan dan lampin bayi, sebelum melancarkan usaha pungutan derma khas bagi meringankan beban yang ditanggung oleh wanita itu.

Kata Cik Mazlena:

“Sebagai ibu tunggal yang menjaga empat anak, termasuk seorang dengan masalah jantung dan kelewatan perkembangan, bantuan daripada Muhammadiyah benar-benar menjadi penyelamat.

“Saya pernah berada dalam keadaan terdesak sebelum menerima bantuan, dan sumbangan bantuan daripada Muhammadiyah sangat membantu kami bertahan. Saya amat berterima kasih atas usaha badan itu dalam menghulurkan bantuan kepada keluarga saya.”

Bantuan segera seperti itu kepada mereka yang terdesak dan memerlukan tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan padu daripada masyarakat.

Sehubungan itu, Persatuan Muhammadiyah mengalu-alukan penyaluran zakat, infak dan fidyah daripada orang ramai.

SEKILAS:

1. Bagi penyaluran zakat, sumbangan infak dan fidyah kepada Muhammadiyah, anda boleh membayar melalui PayNow: S58SS0020C.

2. Hadir di pejabat Muhammadiyah; atau ke bazar Geylang Serai, melalui dalam talian, cek atau kutipan dari rumah.

3. Anda juga boleh menghubungi talian WhatsApp di 8408- 4326 untuk maklumat lanjut.

4. Sila ke laman muhammadiyah.org.sg/ramadan2025 untuk butiran mengenai usaha dan program Muhammadiyah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg