Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek ‘Sadaqah Jar’, galak amalan menabung demi ganjaran berterusan

Nov 29, 2024 | 5:30 AM
Pelancaran projek ‘Sadaqah Jar’ diharap dapat membantu meningkatkan dana bagi ‘Projek Wahdah’. Program peningkatan itu bermula pada Mac 2024.
Pelancaran projek ‘Sadaqah Jar’ diharap dapat membantu meningkatkan dana bagi ‘Projek Wahdah’. Program peningkatan itu bermula pada Mac 2024. - Foto PERSATUAN MUHAMMADIYAH

Persatuan Muhammadiyah melancarkan kempen pengumpulan dana ‘Sadaqah Jar’ yang diilhamkan daripada sedekah jariah.

Daya usaha itu adalah satu bentuk amal yang ganjaran dan faedahnya berterusan untuk meningkatkan dana bagi ‘Projek Wahdah’, projek menaik taraf bangunan Pusat Muhammadiyah di 14 Jalan Selamat, yang telah bermula pada awal Mac 2024.

Pusat itu menawarkan perkhidmatan kepada golongan belia, warga emas dan keluarga mereka, dengan ruang solat, bilik darjah dan kemudahan masyarakat yang lebih baik.

Sehingga kini, 10 peratus daripada kerja naik taraf asas dan struktur telah siap. Kerja dalaman akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap menjelang suku ketiga 2025.

Muhammadiyah mengalu-alukan sokongan masyarakat untuk projek itu dan usaha pengumpulan dana masih berterusan.

“Kami melancarkan kempen pengumpulan dana yang dipanggil ‘Sadaqah Jar’.

“Kami ingin menggalakkan semangat menabung untuk dunia dan akhirat,” jelas Pengurus, Unit Komunikasi Korporat dan Sumber, Persatuan Muhammadiyah, Encik Zhofry Hamid.

Menurut beliau, ‘Sadaqah Jar’ adalah cara yang mudah dan menarik untuk masyarakat menyumbang kepada Projek Wahdah.

Muhammadiyah menyasarkan akan mengagih 3,000 tabung ‘Sadaqah Jar’, dengan mesej sumbangan kecil boleh membawa kesan berkekalan.

Sebelum ini, Muhammadiyah pernah melancarkan kempen yang sama dengan skala lebih kecil iaitu 300 tabung pada April 2024. Ia menerima sokongan yang menggalakkan daripada individu dan keluarga.

Berkongsi lanjut mengenai kempen sebelum ini, Encik Zhofry berkata:

“Jumlah yang kami terima setiap tabung adalah antara $50 dengan $3,000.

“Kami juga mempunyai satu keluarga yang turut menyumbangkan tabung peribadi mereka kepada kami. Ia benar-benar menjadi inspirasi, dan inilah sebabnya kami terdorong melakukannya pada skala yang lebih besar, supaya lebih ramai individu boleh menyumbang kepada usaha murni dan kolektif ini.”

Penderma boleh menulis nama sendiri, nama keluarga atau mesej peribadi serta menghias tabung secara kreatif sebagai lambang komitmen terhadap usaha itu.

Muhammadiyah akan mengumpulkan semua penutup daripada tabung yang dihias, untuk dipasang di kawasan utama ‘Projek Wahdah’ bagi menunjukkan sokongan kolektif dan semangat kemasyarakatan persatuan itu.

“Kami menggalakkan semua orang menyimpan sekurang-kurangnya $1 sehari selama enam bulan. Bayangkan impak kolektif daripada usaha kecil dan konsisten merentas masyarakat kita. Dan pahala atau ganjaran akan berterusan, insya-Allah, selama bangunan itu dimanfaatkan oleh masyarakat,” ujar Encik Zhofry lagi.

Sesiapa yang berminat menyertai kempen tabung ‘Sadaqah Jar’ boleh menghubungi talian 6242-7388 atau WhatsApp ke talian 8408-4326.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg