Bangunan lama di pusat Persatuan Muhammadiyah ini telah lama berkhidmat kepada masyarakat sejak 1985.
Selama hampir empat dekad, ia bukan sahaja menjadi saksi kepada pelbagai daya usaha dan kegiatan kemasyarakatan, malah telah memberi manfaat kepada lebih daripada 15,000 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Peranannya sebagai nadi sokongan, pembelajaran dan kebajikan telah mengukir sejarah penting serta pembangunan masyarakat setempat.
Kini, ruang sedia ada sudah tidak lagi mampu menampung program-program bantuan yang kian berkembang.
Justeru, bangunan yang terletak di 14 Jalan Selamat ini perlu dinaik taraf segera agar perkhidmatannya dapat dipertingkat dan diperluas, demi manfaat yang lebih besar buat masyarakat yang memerlukan.
Menurut Setiausaha Umum Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abd Salim, pembangunan ini bukan semata-mata pembinaan struktur fizikal, bahkan satu usaha berterusan untuk memperkukuh dan memperluas khidmat demi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
“Pembangunan ini bukan sekadar kerja bina fizikal, malah satu usaha untuk meningkatkan khidmat kepada masyarakat dengan lebih luas lagi,” jelas Cik Roszanah.
Kerja naik taraf telah bermula pada awal Mac tahun 2024. Namun, persatuan ini masih memerlukan dana sebanyak $5 juta agar kerja naik taraf dapat dihabiskan dalam masa setahun ini.
Kos projek yang dinamakan Projek Wahdah ini berjumlah $6.5 juta keseluruhannya. Projek naik taraf ibu pejabat, atau pusat Persatuan Muhammadiyah, ini bertujuan meningkatkan kapasiti dan fungsi bangunan untuk pendidikan, dakwah, dan kebajikan.
Cik Roszanah menjelaskan:
“Projek Wahdah ini akan meluaskan ruang musala, menambah hingga 10 bilik darjah, dan mengadakan dewan serba guna untuk seminar dan forum.
“Selain daripada itu, sebuah studio penerbitan dakwah juga akan dibina bersamaan dengan pejabat yang lebih besar, serta kemudahan teknologi moden untuk pembelajaran.
“Kesemua ini untuk persekitaran yang selesa, selamat, dan mesra tenaga,” ujarnya.
Setiap tahun, program dan khidmat Persatuan Muhammadiyah dan institusi-institusi di bawah naungannya memberi manfaat kepada lebih daripada 15,000 individu.
Ini termasuk pelajar daripada peringkat tadika hingga kolej, belia, warga emas, dan golongan memerlukan.
Persatuan Muhammadiyah sedang giat mengusahakan pengumpulan dana melalui antara lain Pakej Mushaf Wahdah dan tabung ‘Sadaqah Jar’.
Untuk pakej Mushaf Wahdah, orang ramai boleh infak sebanyak $500 dan menerima satu set Al-Quran eksklusif Mushaf Wahdah dan satu tin kurma Ajwa Madinah.
Bersaiz B5, Al-Quran ini mempunyai kod warna tajwid untuk bimbingan bacaan yang tepat serta terjemahan yang mudah difahami dengan tafsir ringkas pada nota kaki dalam bahasa Melayu. Sejauh ini, sebanyak 100 set telah diinfak.
“Penderma juga boleh memilih untuk menghadiahkan set ini kepada benefisiari dan pelajar kami. Projek ini boleh menjadi sedekah jariah, memberi manfaat berpanjangan kepada generasi sekarang dan akan datang,” tambah Cik Roszanah.
Tabung ‘Sadaqah Jar’ pula memupuk kebiasaan menabung di rumah bersama keluarga dan anak-anak.
Persatuan Muhammadiyah turut menjemput badan, yayasan dan syarikat supaya memberi sokongan melalui infak korporat atau tajaan projek.
Kata Cik Roszanah lagi: “Sumbangan anda bukan sekadar membina ruang fizikal, malah menyokong khidmat berterusan kepada ummah.”
SEKILAS:
Jika anda ingin menderma, caranya:
1. Untuk khidmat kutipan dari rumah: Hubungi talian 6242-7388.
2. PayNow: Imbas kod QR yang disediakan.
3. Sumbangan melalui dalam talian: Lawati muhammadiyah.org.sg/wahdah


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg