Reruai bazar Ramadan Muhammadiyah bantu kumpul dana demi kebajikan, dakwah
Reruai bazar Ramadan Muhammadiyah bantu kumpul dana demi kebajikan, dakwah
Terdapat di tujuh bazar kejiranan untuk dekati masyarakat agar sokong pelbagai program, termasuk agih bantuan kewangan, keperluan dapur dan juadah iftar bagi 700 keluarga
Bazar Ramadan kini rancak diadakan di pelbagai lokasi di seluruh Singapura. Ramai peniaga dan badan kebajikan serta awam mengambil peluang menyewa gerai untuk menambah rezeki yang berlimpah pada bulan mulia ini.
Persatuan Muhammadiyah tidak ketinggalan turun padang dengan misi utama mereka: Menyalurkan kebajikan sambil mengembangkan dakwah.
Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) persatuan itu, Cik Roszanah Abdul Salim, berkata: “Kehadiran Persatuan Muhammadiyah di kawasan kejiranan sepanjang Ramadan ini adalah untuk mendekati masyarakat dengan lebih bermakna.
“Reruai kami bukan sekadar tempat menunaikan zakat dan sedekah, ia bahkan ruang untuk kami berkongsi bagaimana sumbangan masyarakat diterjemahkan kepada bantuan sebenar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka yang memerlukan.”
Reruai kendalian Muhammadiyah boleh dikunjungi di tujuh bazar berbeza sepanjang Ramadan: Geylang Serai (reruai utama), Admiralty, Woodlands, Kampong Gelam, Tampines, Gombak and Pasir Ris.
Reruai Muhammadiyah juga akan berada di Our Tampines Hub dari 6 hingga 15 Mac sebagai salah satu Benefisiari Rasmi OTH.
Kebanyakan lokasi reruai Ramadan kendalian Muhammadiyah berada dalam kawasan perumahan. Ini adalah untuk lebih mendekati masyarakat Melayu/Islam, dan juga demi memudahkan orang ramai mengikuti dan menghampiri persatuan itu.
Sepanjang Ramadan, Muhammadiyah akan menjalankan pelbagai kegiatan dakwah dan kebajikan untuk masyarakat, seperti iftar, solat tarawih, kelas tilawah Al-Quran secara percuma, ceramah dan forum agama mingguan.
Selain itu Muhammadiyah akan membantu 700 keluarga memerlukan dengan mengagihkan wang zakat, barang keperluan dapur dan juadah buka puasa.
Sepanjang tahun pula, lebih 15,000 individu mendapat manfaat melalui program-program dakwah dan kebajikan persatuan itu. Ini termasuk pelajar Tadika Muhammadiyah, madrasah mingguan Kelas Asas Bimbingan Agama (Kaba) dan Kolej Islam Muhammadiyah (KIM).
Segala ini dapat dilaksanakan atas sumbangan derma dan zakat masyarakat Melayu/Islam Singapura. Ia adalah pemberian amat bermakna dan memberikan kesan positif bagi para penerima meneruskan kehidupan.
Pengunjung yang berhasrat menjadi ibu bapa titipan boleh mendapat maklumat terperinci yang dikongsi oleh pegawai Muhammadiyah yang bertugas di reruai tersebut.
Bagi menghargai sumbangan para penderma, Muhammadiyah memberi beberapa hadiah penghargaan, seperti sejadah boleh dilipat, set mushaf Al-Quran, set minyak wangi, kurma ajwa dan kuih raya.
Kunjungilah reruai Muhammadiyah untuk mengetahui misi persatuan ini dengan lebih lanjut.
Pengunjung yang menunaikan zakat melalui Muhammadiyah atau menghulurkan derma kepada persatuan itu secara tidak langsung turut menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan dan membina masa depan lebih baik bagi mereka.
SEKILAS
Masyarakat Islam boleh menyalurkan zakat dan sedekah, terutama pada Ramadan, melalui Persatuan Muhammadiyah. Persatuan itu juga akan mengagihkan juadah buka puasa kepada sekurang-kurangnya 100 keluarga memerlukan setiap minggu.
Jika anda ingin menderma, ini caranya:
Untuk khidmat kutipan dari rumah: Hubungi talian 6242-7388.
Sumbangan melalui dalam talian, sila ke laman berikut:
Untuk Projek Wahdah: muhammadiyah.org.sg/wahdah
Untuk zakat, sedekah: https://muhammadiyah.org.sg/donate/
Untuk Zakat: muhammadiyah.org.sg/zakat

