Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS akan semak langkah perlindungan di masjid, kegiatan tidak formal yang libat kanak-kanak, belia
Zaqy: Namun masjid mesti terus terbuka, tapi perlu jalan seiring dengan keselamatan
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyemak semula langkah perlindungan di masjid, terutamanya kegiatan dan perhimpunan tidak formal yang melibatkan kanak-kanak dan belia, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Langkah ini adalah tambahan kepada pengumuman yang dibuat oleh MUIS sebelum ini untuk memperkukuh langkah-langkah keselamatan sedia ada, susulan kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.
Mengulas tentang kes tersebut dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 18 Ogos, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), berkata di samping masjid mempertingkat langkah perlindungan, ia juga mesti kekal terbuka dan mesra bagi kanak-kanak berasa selesa datang ke masjid.
Beliau menegaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa sambil meluahkan perasaan sedih dan prihatin dengan apa yang telah berlaku kepada dua beradik lelaki muda.
“MUIS telah mengumumkan beberapa langkah keselamatan, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV (televisyen litar tertutup).
“Saya juga telah meminta MUIS untuk melihat dengan lebih mendalam apa lagi yang perlu diperbaiki, khususnya berkaitan kegiatan dan pertemuan tidak rasmi yang melibatkan kanak-kanak dan belia.
“Bukan kerana kita mahu menjadikan masjid tempat yang penuh sekatan.
“Masjid kita mesti terus terbuka. Anak-anak kita mesti terus berasa senang datang ke masjid. Keluarga mesti terus melihat masjid sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Tetapi keterbukaan itu mesti berjalan seiring dengan keselamatan,” katanya.
Dalam kes tersebut, seorang pempengaruh agama berusia 37 tahun yang menyifatkan dirinya sebagai figura bapa kepada dua kanak-kanak lelaki daripada keluarga berpecah belah telah berulang kali merogol si adik, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, selain mencabul abangnya yang berusia antara 11 dengan 12 tahun.
Pesalah, yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, mengendalikan akaun TikTok yang memuat naik video pendek terutamanya mengenai agama.
Antaranya, pesalah merogol adik daripada dua beradik itu di tandas masjid, selain melakukan perbuatan sama di lokasi lain.
Pesalah dikenakan hukuman penjara selama 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan pada 17 Ogos.
Menurut dokumen mahkamah, sebelum pesalah melakukan kesalahan seksual itu, dia telah mendapatkan kepercayaan dua beradik tersebut sehingga mereka memanggilnya daddy (ayah), manakala dia menganggap mereka sebagai “anak-anaknya”.
Encik Zaqy menambah, pada waktu ini, fikirannya terutama sekali ditumpukan kepada kedua-dua mangsa dan keluarga mereka.
“Saya tahu ramai yang marah. Saya tahu ada ibu bapa yang bimbang. Dan saya tahu ada yang bertanya: bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku di masjid kita?
“Soalan itu wajar ditanya,” tambah Encik Zaqy.
Pada 17 Ogos, MUIS menjelaskan pesalah itu bukan kakitangan atau sukarelawan masjid dan juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Encik Zaqy juga menambah pesalah itu juga tidak mengendalikan kelas agama rasmi yang dianjurkan atau diluluskan oleh pihak masjid.
Namun begitu, Encik Zaqy berkata penjelasan yang diberi oleh MUIS pada 17 Ogos itu “sahaja tidak mencukupi”.
“Kita tidak boleh berhenti setakat mengatakan individu tersebut bukan kakitangan masjid atau bukan asatizah ARS. Kerana hakikatnya, sebahagian daripada interaksi itu berlaku di kawasan masjid.
“Dan apabila sesuatu seperti ini berlaku dalam ruang yang masyarakat percaya sebagai selamat, kita bertanggungjawab untuk melihat dengan teliti apa lagi yang boleh kita lakukan,” tambah Encik Zaqy.
Meskipun akur dengan kebimbangan dan keprihatinan masyarakat mengenai kes tersebut, beliau berkata masjid-masjid mesti terus terbuka agar anak-anak dapat terus berasa senang datang ke masjid.
Keluarga juga mesti terus melihat masjid sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka, kata Encik Zaqy, sambil menekankan bahawa “keterbukaan itu juga mesti berjalan seiring dengan keselamatan”.
Beliau berkata kepercayaan masyarakat terhadap institusi ini dibina selama bertahun-tahun dan adalah amat berharga.
Dalam pada itu, apabila sesuatu berlaku yang menggugat kepercayaan tersebut, Encik Zaqy berkata respons yang wajar tidak boleh sekadar mempertahankan apa yang sudah ada.
Malah, institusi juga perlu bersedia melihat kekurangan sendiri dan mengambil iktibar.
“Jika ada perkara yang boleh dilakukan dengan lebih baik, kita mesti memperbaikinya. Kerana akhirnya, ini bukan hanya soal peraturan, sistem atau pemantauan. Ini soal amanah.
“Amanah setiap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke masjid dengan hati yang tenang. Amanah masyarakat yang percaya bahawa ruang agama kita ialah ruang yang selamat. Dan yang paling besar, amanah kita kepada anak-anak kita.
“Mereka berhak untuk berasa selamat. Mereka berhak untuk didengar. Dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kepercayaan mereka sentiasa dijaga,” kata Encik Zaqy.
Pada 17 Ogos, MUIS berkata ia mengecam keras kesalahan seksual serius yang melibatkan mangsa belia di kawasan masjid.
Dalam kenyataannya juga, MUIS menambah ia akan memperkukuh langkah keselamatan sedia ada, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV.
Ia turut mengingatkan orang ramai bahawa individu yang menampilkan atau memperkenalkan diri sebagai seseorang yang berunsur keagamaan tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai guru agama yang berkelayakan.
Di samping itu, MUIS juga menggalak umat Islam, sama ada dalam talian mahupun secara bersemuka, supaya mendapatkan bimbingan daripada asatizah yang diiktiraf di bawah ARS kerana mereka memenuhi piawaian latihan dan etika profesional yang ditetapkan.
