Masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh sahaja menilai seseorang hanya daripada cara mereka berpakaian, bercakap, jumlah pengikut, atau imej agama yang ditampilkan di media sosial.

Kepercayaan perlu dibina, dan di sini, ibu bapa dan penjaga memainkan “peranan yang sangat penting” untuk mendekati anak-anak dan mengenali dunia mereka, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

“Apabila ia melibatkan anak-anak kita, kita perlu lebih berhati-hati,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

“Ambil tahu siapa yang mereka ikuti, dengan siapa mereka berbual, siapa yang mereka temui – dalam talian dan juga di luar.

“Yang paling penting, bina hubungan supaya apabila sesuatu terasa tidak kena, anak-anak tahu mereka boleh datang kepada kita tanpa rasa takut atau malu.”

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 18 Ogos bagi mengulas tentang kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

Mengulas tentang kes tersebut, Encik Zaqy berkata dunia anak-anak hari ini berbeza daripada dahulu.

Ini kerana banyak perkenalan tidak lagi bermula secara bersemuka, malah ia bermula di telefon melalui TikTok, Instagram, Telegram dan pelbagai ruang dalam talian.

“Anak-anak kita mengikuti orang yang mereka kagumi. Mereka menonton kandungan mereka. Mereka berbual dengan mereka,” kata Encik Zaqy.

“Dan lama-kelamaan, mereka mungkin mula mempercayai seseorang yang dilihat sebagai memahami agama atau mampu memberikan bimbingan.

“Ramai menggunakan pengaruh itu dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Tetapi kita juga harus menerima bahawa ada yang mungkin menyalahgunakan kepercayaan tersebut.”

Menurut dokumen mahkamah, sebelum pesalah melakukan kesalahan seksual itu, dia telah mendapatkan kepercayaan dua beradik tersebut sehingga mereka memanggilnya ‘daddy’ (ayah), manakala dia menganggap mereka sebagai “anak-anaknya”.

Pesalah itu, yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, mengendalikan akaun TikTok yang memuat naik video pendek terutamanya mengenai agama.

Namun, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesahkan pada 17 Ogos bahawa pesalah bukan kakitangan atau sukarelawan masjid dan juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Pada April 2022, abang mangsa terserempak dengannya di sebuah masjid dan mengenalinya daripada wadah media sosial TikTok sebelum memperkenalkan diri kepadanya.

Hubungan mereka kemudian menjadi rapat dan pesalah membawa mangsa bermain bola sepak, mengunjungi rumahnya, serta mendengar masalah keluarganya.

Namun, antara 2022 dengan 2023, pesalah mula merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun.

Menurut dokumen mahkamah, pesalah turut menggunakan perkataan “rahsia” sebagai kod untuk merujuk kepada perbuatan seksual tersebut.

Dia juga telah merogol adik daripada dua beradik itu di tandas masjid, selain melakukan perbuatan sama di lokasi lain.

Kemudian, dia mengalihkan perhatiannya kepada abang mangsa yang ketika itu berusia antara 11 dengan 12 tahun, dan mencabulnya beberapa kali.

Pada 17 Ogos, pesalah itu dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan di samping 24 sebatan kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

Dalam video yang dimuat naik pada 18 Ogos, Encik Zaqy menegaskan bahawa perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa sambil meluahkan perasaan sedih dan prihatin dengan apa yang telah berlaku kepada dua beradik lelaki muda itu.

Menerusi video itu juga, beliau turut menasihatkan anak-anak dan golongan muda untuk tidak berdiam diri dan agar tidak takut untuk melaporkan sebarang kejadian.

“Jika seseorang membuat kamu berasa tidak selesa, meminta kamu merahsiakan sesuatu daripada ibu bapa atau orang yang kamu percayai, atau melakukan sesuatu yang kamu rasa melampaui batas – beritahu seseorang.

“Jangan tanggung seorang diri. Suara kamu penting. Dan suara kamu mesti didengar,” kata Encik Zaqy.