Muis beri tumpuan pertingkat mutu pendidikan madrasah, siap lulusan untuk masa depan
Muis beri tumpuan pertingkat mutu pendidikan madrasah, siap lulusan untuk masa depan
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata tumpuannya kekal pada usaha mempertingkat mutu pendidikan, dan sedang bekerjasama rapat dengan madrasah sepenuh masa untuk memperkukuh kedua-dua pembelajaran agama dan akademik.
Ini supaya lulusan masa depan mendapat persiapan yang baik untuk mengecapi kejayaan, menegakkan nilai-nilai kukuh dan menyumbang kepada masyarakat secara bermakna, kata jurucakapnya dalam jawapan kepada soalan Berita Minggu (BM) mengenai kemasukan ke madrasah sepenuh masa.
Menurut Muis, madrasah sepenuh masa secara kolektif dapat menampung sehingga 400 tempat bagi darjah satu setiap tahun.
Tetapi secara purata, terdapat lebih 500 permohonan yang diterima untuk kemasukan ke Darjah 1 setiap tahun.
Bagaimanapun jurucakap Muis berkata “kadar kemasukan sedia ada cukup untuk memenuhi keperluan masyarakat.”
“Kemasukan adalah menerusi ujian kemasukan yang direka untuk memastikan pelajar boleh menangani kedua-dua subjek akademik yang wajib serta subjek Islamik tambahan yang diperlukan dalam kurikulum,” ujarnya.
Muis mengambil langkah dalam beberapa tahun lalu untuk memastikan bakal guru agama mempunyai asas ilmu agama kukuh sambil dilengkapkan dengan kemahiran ukhrawi yang relevan.
Dalam membantu lulusan madrasah setempat menavigasi masa depan mereka, antara usaha sedia ada yang dilaksanakan Muis ialah pembangunan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2019, yang bertujuan mengkaji kemahiran yang diperlukan asatizah akan datang.
Menerusi Cofa juga, Garis Panduan Gaji Umum (CSG) telah dilaksanakan dalam usaha memastikan asatizah menerima gaji kompetitif yang mencerminkan fungsi dan tanggungjawab pekerjaan mereka dengan tepat.
Di samping itu pada 2028, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan menerima kohort pelajar pertama yang akan dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani isu kontemporari dalam sektor keagamaan dan juga sosial.

