Ujian mencabar bagi persiap murid lalui kurikulum madrasah, elak tekanan berlebihan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian mencabar bagi persiap murid lalui kurikulum madrasah, elak tekanan berlebihan

Ibu bapa digesa nilai kemampuan anak, ambil peluang ikuti kelas agama sampingan
Jan 25, 2026 | 5:30 AM

Ujian mencabar bagi persiap murid lalui kurikulum madrasah, elak tekanan berlebihan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ujian Kemasukan Madrasah
Pusat pendidikan yang menawarkan kelas persediaan Ujian Kemasukan Madrasah (MET) melaporkan peningkatan jumlah ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas itu bagi persediaan menghadapi ujian tersebut. - Foto fail

Ketika anak sulungnya baru berusia enam bulan, Cik Siti Mardhiah Ismail sudah mula memikirkan tentang masa depan pendidikan anaknya.

Ilham itu terbit ketika beliau menghadiri sebuah acara di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah kira-kira 10 tahun lalu, apabila tergerak hati melihat akhlak dan penampilan para pelajar di sana.

Sejak itu, persiapan ke arah pendidikan madrasah bermula perlahan-lahan di rumah, termasuk pengenalan buku bahasa Arab, bahan mengaji dan rutin harian berteraskan nilai Islam, jauh sebelum anaknya mengenal erti sekolah.

Sedekad kemudian, impian itu kini menjadi nyata, dengan dua anak Cik Mardhiah, 39 tahun, kini menuntut di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah sepenuh masa, manakala beliau kini sedang mempersiapkan anak perempuannya yang berusia enam tahun untuk menduduki Ujian Kemasukan Madrasah (MET) pada April.

Bagi memastikan anaknya bersedia dari segi keyakinan dan emosi, beliau turut menghantarnya ke pusat pendidikan Little Imtiyaz Centre sejak usia tiga tahun, bagi membina keyakinan dan kesediaannya untuk ujian itu.

“Saya benar-benar berusaha keras kerana saya mahu anak saya membesar dalam persekitaran yang menerapkan pembelajaran Islam, sesuatu yang saya tidak dapat alami sendiri,” jelas Cik Mardhiah, ibu kepada empat anak yang dahulunya menuntut di sekolah kebangsaan.

Beliau merupakan antara bilangan meningkat ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka ke pusat pendidikan yang menawarkan kelas persediaan MET.

Anak sulung dan anak kedua Cik Mardhiah, Daeng Aqil Eshan Muhammad Afiq (kiri) dan Daeng Ariq Nufael Muhammad Afiq, kini menuntut di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di peringkat Darjah 5 dan Darjah 4 masing-masing.
Anak sulung dan anak kedua Cik Mardhiah, Daeng Aqil Eshan Muhammad Afiq (kiri) dan Daeng Ariq Nufael Muhammad Afiq, kini menuntut di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di peringkat Darjah 5 dan Darjah 4 masing-masing. - Foto SITI MARDHIAH ISMAIL

Permintaan untuk kelas persediaan meningkat

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pusat pendidikan yang menawarkan kelas persediaan bagi MET untuk kanak-kanak telah menyaksikan permintaan bertambah dalam kalangan ibu bapa, lantas mencerminkan kesedaran dan keinginan semakin tinggi untuk mendaftarkan anak ke madrasah sepenuh masa.

Kini, sebanyak empat madrasah di Singapura – Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, dan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah – menawarkan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memerlukan kanak-kanak berusia lima tahun untuk menduduki MET bagi mengukur kelayakan mereka.

Menurut tinjauan Berita Minggu (BM), terdapat sekurang-kurangnya 10 pusat di sini yang menawarkan kelas persediaan MET, sama ada dalam bentuk kelas fizikal, dalam talian, atau kedua-duanya.

Ketika dihubungi BM, asatizah di Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nurulhuda Sulaimun, berkata kemasukan bagi kelas persediaan pusat tersebut meningkat dengan stabil sepanjang tujuh tahun lalu.

Pada mulanya, satu kelas bagi satu lapisan usia disediakan, tetapi bilangan itu berganda hari ini, katanya.

Malah, apabila mereka mula menawarkan program dwibahasa Arab-Inggeris bagi kanak-kanak berusia 18 bulan, respons daripada ibu bapa memberangsangkan, tambahnya.

Asatizah di Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nurulhuda Sulaimun.
Asatizah di Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nurulhuda Sulaimun. - Foto ihsan NURULHUDA SULAIMUN

Seiring itu, pengasas dan pengarah Little Imtiyaz Centre, Cik Khaliesah Mohd Isa, berkongsi persediaan untuk MET semakin diterima secara meluas pada 2018, dengan lebih perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan permintaan untuk sokongan lebih berstruktur.

Lazimnya, kata Cik Khaliesah, kebanyakan ibu bapa mula menyiapkan anak mereka antara usia empat dengan lima tahun tetapi pusat pendidikannya turut memperkenalkan program ‘Arabic Explorer’ yang sesuai bagi kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Persediaan MET adalah perjalanan jangka panjang, bukan ‘pecutan’ singkat.

“Saya sering ingatkan ibu bapa bahawa sebaik sahaja mereka telah menanamkan niat dan jelas tentang matlamat mereka, ia selalunya lebih baik untuk mula awal dan beransur secara bertahap, berbanding dengan terburu-buru dengan prosesnya nanti,” ujarnya.

Pengasas dan pengarah Little Imtiyaz Centre, Cik Khaliesah Mohd Isa.
Pengasas dan pengarah Little Imtiyaz Centre, Cik Khaliesah Mohd Isa. - Foto ihsan KHALIESAH MOHD ISA

Secara umumnya, pusat pendidikan menyiapkan pelajar berdasarkan keperluan kertas MET yang melibatkan penguasaan bahasa Arab, hafalan surah Juz Amma, mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, dan Matematik.

Seperti pusat pendidikan lain, pengasas bersama Future Khulafa, Sharifah Fatimah Azzahra Alhadad, berkata pusatnya menitikberatkan kerjasama rapat bersama ibu bapa.

“Selain itu, dengan mengambil kira bahawa sesetengah ibu bapa mungkin hanya memulakan persediaan rasmi pada peringkat kemudian, kami menawarkan MET ‘Crash Course’.

“Ia merupakan program intensif saat akhir yang direka untuk membantu kanak-kanak memantapkan dan memperhalusi tahap kesediaan mereka sebelum peperiksaan, khususnya bagi mereka yang telah memulakan persediaan awal di rumah,” kongsinya.

Pengasas bersama Future Khulafa, Sharifah Fatimah Azzahra Alhadad.
Pengasas bersama Future Khulafa, Sharifah Fatimah Azzahra Alhadad. - Foto ihsan SHARIFAH FATIMAH AZZAHRA ALHADAD

Menurut jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), madrasah sepenuh masa boleh menampung sehingga 400 tempat bagi pelajar Darjah 1 setiap tahun.

Secara purata, lebih 500 permohonan diterima setiap tahun, yang menurut Muis, cukup untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Lazimnya, permintaan untuk masuk ke madrasah melebihi tempat yang disediakan.

Di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, jurucakapnya memberitahu BM bahawa permohonan secara purata adalah dua kali ganda daripada tempat yang disediakan.

“MET dilaksanakan kerana jumlah tempat yang disediakan adalah amat terhad.

“Sebagai contoh, Madrasah Al-Ma’arif hanya mampu menerima sekitar 70 murid setiap tahun disebabkan kekangan kemudahan sedia ada,” terangnya.

Mengulas lanjut kepada BM, pengerusi jawatankuasa pentadbir Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Syed Mustafa Alsagoff, berkata dasar utama yang menentukan kelayakan pelajar ialah markah yang diperoleh semasa MET.

Memandangkan madrasah berbeza menyiapkan kertas ujian masing-masing, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menekankan penguasaan bahasa Arab.

“Namun, adakalanya waris salah anggap dan hanya persiapkan kemahiran bahasa Arab tetapi tidak pada mata pelajaran lain, sehingga menyebabkan calon tidak mampu menjawab.

“Ia perlu ditekankan bahawa pendidikan madrasah ialah pendidikan yang menyeluruh,” tambahnya.

Adakah proses MET terlalu ketat?

Bagaimanapun, ada yang mempersoal proses MET dijalankan.

Bekas pelajar madrasah, Encik Muhammad Harith Hamzah, 34 tahun, berkongsi bahawa beliau memahami keperluan ujian tersebut bagi menyaring pelajar.

Namun, beliau kurang senang melihat kanak-kanak berumur lima atau enam tahun lebih diletakkan dalam suasana ujian, yang menurutnya “tidak sesuai dengan tahap perkembangan mereka, kononnya untuk menilai kepintaran semula jadi.”

Encik Harith, seorang pekerja sosial, berkata:

“Dan sayangnya, ibu bapa, disebabkan sistem ini, terjatuh dalam perangkap ‘drill’ (menekan dengan latihan berlebihan) anak mereka dengan sesuatu yang tidak pada tempatnya.

“Saya dan rakan-rakan sependapat bersedia berbincang dengan pihak madrasah jika diberi peluang.”

Bagi ibu empat anak yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lina, 39 tahun, beliau berharap kesukaran kertas ujian boleh dikurangkan.

“Ini supaya ibu bapa dan kanak-kanak tidak rasa terlalu tertekan. Ada yang mula seawal tiga tahun untuk persediaan MET.

“Jauh di lubuk hati saya terdetik bahawa pasti ada kaedah lain yang lebih sesuai untuk menapis pelajar,” katanya.

Sementara anak sulung dan kedua beliau menuntut di madrasah sepenuh masa, anak ketiganya gagal MET.

Untuk anak bongsunya pula, Cik Lina memutuskan agar anaknya tidak menduduki MET kerana khuatir suasana madrasah terlalu berat, walaupun dirinya sendiri pernah menjalani pengajian madrasah sepenuh masa.

“MET hanya satu bahagian sahaja. Tetapi setelah lulus dan masuk ke madrasah, anda perlu pastikan anda tidak ketinggalan dalam pelajaran,” kongsinya.

Menurut tinjauan BM, antara sebab MET dilakar sedemikian adalah untuk mempersiapkan pelajar dan ibu bapa secara mental terhadap kurikulum yang bakal dilalui murid.

Menurut dokumen Our Madrasah terbitan Muis, kanak-kanak yang ingin memasuki madrasah perlu menguasai tiga bahasa – Inggeris, Melayu, dan Arab – selain mempelajari mata pelajaran agama dan akademik serentak.

Menurut pengasas Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nadia Hanim, secara realistik, MET dilihat sebagai kaedah pemilihan yang lebih adil berbanding cara lain, seperti mengundi atau ‘ballot’.

“Memang dapat difahami bahawa proses ini mencabar bagi kanak-kanak berusia enam tahun.

“Namun, dalam beberapa aspek, ia juga menjadi satu bentuk latihan awal, terutamanya dalam mempersiapkan mereka menghadapi hakikat mengendalikan pelbagai mata pelajaran dalam sistem madrasah,” ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa perlu menilai sama ada anak mereka mampu mengikuti pendidikan madrasah, memandangkan jumlah mata pelajaran yang dipelajari hampir tiga kali ganda berbanding di sekolah kebangsaan.

“Jika anak sudah menunjukkan tanda-tanda kesukaran pada peringkat awal, mungkin tidak wajar untuk terus memaksanya,” nasihat Ustazah Nadia, ibu kepada dua anak, yang satu menuntut di madrasah, dan satu lagi di sekolah kebangsaan.

Pengasas Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nadia Hanim.
Pengasas Our Little Ummah Learning Centre, Ustazah Nadia Hanim. - Foto LAMAN WEB MUIS

Usah pandang MET sebagai ‘perlumbaan’

Menurut pakar strategi, pendidik dan pengendali bacaan, Cik Haryani Bakri, memulakan pendidikan ukhrawi dan duniawi sejak awal dapat membangunkan rutin yang sihat serta merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan anak.

“Risikonya adalah apabila ia bertukar menjadi satu perlumbaan. Ibu bapa menyuarakan ketakutan terhadap kegagalan dan perasaan bahawa persaingan sangat tinggi.

“Apabila pemikiran berubah kepada mentaliti ‘anak mesti diterima masuk’, persediaan menjadi penuh tekanan hingga terbawa-bawa ke dalam suasana rumah, walaupun anak masih sangat kecil,” tegasnya.

Tidak memasuki madrasah tidak patut dipandang sebagai kegagalan.

Cik Haryani, yang juga pengasas Cool Parenting Studio, berpendapat jika kanak-kanak menuntut di sekolah aliran utama, ia tidak bermakna mereka tidak boleh membesar dengan asas agama yang kukuh.

“Ramai keluarga tetap mencapai hasil yang baik dalam sekolah kebangsaan jika digandingkan dengan kelas agama hujung minggu atau selepas sekolah, berserta apa yang diamalkan di rumah,” katanya.

Pakar strategi, pendidik dan pengendali bacaan, Cik Haryani Bakri, yang juga pengasas Cool Parenting Studio.
Pakar strategi, pendidik dan pengendali bacaan, Cik Haryani Bakri, yang juga pengasas Cool Parenting Studio. - Foto ihsan HARYANI BAKRI

Sependapat, Ustazah Nurulhuda berkata:

“Pembelajaran merupakan satu perjalanan kehidupan dan bukan perlumbaan untuk lihat siapa menang dan kalah.

“Kalau anak kita gagal di MET, anggap ia tiada rezeki bersekolah di madrasah, tetapi tak bermakna mereka terlepas peluang untuk belajar seperti anak-anak di madrasah.

“Banyak lagi peluang dan wadah disediakan untuk melengkapkan anak-anak kita dengan pelajaran agama seperti menerusi dalam talian, belajar dari rumah dan kelas di sekitar Singapura.”

Sekilas landskap madrasah di S’pura

Terdapat enam madrasah sepenuh masa di Singapura yang menawarkan pendidikan agama Islam berserta kurikulum akademik standard.

Namun, hanya empat madrasah menawarkan pendidikan peringkat sekolah rendah, iaitu Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah

– Peringkat: Darjah sahaja

– Pelajar: Lelaki dan perempuan

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah

– Peringkat: Darjah, Menengah, Prauniversiti

– Pelajar: Lelaki dan perempuan

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah

– Peringkat: Darjah, Menengah, Prauniversiti

– Pelajar: Perempuan sahaja

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah

– Peringkat: Darjah, Menengah, Prauniversiti

– Pelajar: Perempuan sahaja

Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah

– Peringkat: Menengah sahaja

– Pelajar: Lelaki dan perempuan

Madrasah Aljunied Al-Islamiah

– Peringkat: Menengah, Prauniversiti

– Pelajar: Lelaki dan perempuan

Sekilas Ujian Kemasukan Madrasah (MET)

– Tempoh permohonan bagi Darjah 1 biasanya bermula pada pertengahan Mac

– MET biasanya dijalankan pada hujung April

– Keputusan permohonan akan diumumkan pada Jun

– Pemohon yang berjaya dikehendaki mendaftar di madrasah masing-masing mengikut tarikh dan masa ditetapkan

– Bagi pemohon yang tidak berjaya, rayuan boleh dibuat pada Jun

– Tarikh tepat bagi setiap peringkat akan diumumkan oleh Muis dalam masa terdekat

“Persediaan MET adalah perjalanan jangka panjang, bukan ‘pecutan’ singkat. Saya sering ingatkan ibu bapa bahawa sebaik sahaja mereka telah menanamkan niat dan jelas tentang matlamat mereka, ia selalunya lebih baik untuk mula awal dan beransur secara bertahap, berbanding dengan terburu-buru dengan prosesnya nanti.”
Cik Khaliesah Mohd Isa, pengasas dan pengarah Little Imtiyaz Centre.

“...kami menawarkan MET ‘Crash Course’. Ia merupakan program intensif saat akhir yang direka untuk membantu kanak-kanak memantapkan dan memperhalusi tahap kesediaan mereka sebelum peperiksaan, khususnya bagi mereka yang telah memulakan persediaan awal di rumah.”
Sharifah Fatimah Azzahra Alhadad, pengasas bersama Future Khulafa.

“Kalau anak kita gagal di MET, anggap ia tiada rezeki bersekolah di madrasah, tetapi tak bermakna mereka terlepas peluang untuk belajar seperti anak-anak di madrasah. Banyak lagi peluang dan wadah disediakan untuk melengkapkan anak-anak kita dengan pelajaran agama seperti menerusi dalam talian, belajar dari rumah dan kelas di sekitar Singapura.”
Ustazah Nurulhuda Sulaimun, asatizah di Our Little Ummah Learning Centre.

“Risikonya adalah apabila ia bertukar menjadi satu perlumbaan. Ibu bapa menyuarakan ketakutan terhadap kegagalan dan perasaan bahawa persaingan sangat tinggi. Apabila pemikiran berubah kepada mentaliti ‘anak mesti diterima masuk’, persediaan menjadi penuh tekanan hingga terbawa-bawa ke dalam suasana rumah, walaupun anak masih sangat kecil. Ramai keluarga tetap mencapai hasil yang baik dalam sekolah kebangsaan jika digandingkan dengan kelas agama hujung minggu atau selepas sekolah, berserta apa yang diamalkan di rumah.”
Cik Haryani Bakri, pengasas Cool Parenting Studio.

“Memang dapat difahami bahawa proses ini mencabar bagi kanak-kanak berusia enam tahun. Namun, dalam beberapa aspek, ia juga menjadi satu bentuk latihan awal, terutamanya dalam mempersiapkan mereka menghadapi hakikat mengendalikan pelbagai mata pelajaran dalam sistem madrasah. Jika anak sudah menunjukkan tanda-tanda kesukaran pada peringkat awal, mungkin tidak wajar untuk terus memaksanya.”
Ustazah Nadia Hanim, pengasas Our Little Ummah Learning Centre.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg