Geran berjumlah sekitar $55,000 telah disalurkan kepada 16 masjid sejak Ogos 2024 sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu Islam mengenai pencegahan dadah.
Setakat ini, geran MUISxCNB telah digunakan untuk menyokong logistik, bahan pemasaran dan lain-lain yang menyokong inisiatif yang diterajui masjid di bawah gerakan Dadah Itu Haram (DIH).
Ini dinyatakan Biro Narkotik Pusat (CNB) semasa lawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 27 Jun, ke Masjid Sultan sempena Hari Dadah Sedunia.
Turut dilancarkan ialah logo baru Kempen Dadah Itu Haram.
Semasa ditemui media pada acara berkenaan, Dr Faishal menekankan peranan utama masjid, sambil menyatakan bahawa lebih 70 masjid telah membuka pintu untuk menyambut bekas pesalah bagi tujuan pemulihan dan penyepaduan semula ke dalam masyarakat.
“Usaha ini bukan sekadar menyebarkan bahan kempen, tetapi juga menggerakkan seluruh komuniti masjid – dari pihak pengurusan hinggalah sukarelawan dan jemaah – dalam menyampaikan mesej ‘Dadah Itu Haram’.
“Pendekatan ini telah menjadi titik perubahan dalam usaha pendidikan pencegahan dadah dari hulu, serta membantu mereka yang sedang menjalani pemulihan,” katanya.
Salah satu inisiatif yang meraih manfaat daripada geran itu ialah acara bola sepak jalanan, Youth Futsal Challenge, anjuran Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, yang telah diadakan pada November 2024.
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Darul Makmur, Ustaz Mohd Fairus Abdul Manaf, 46 tahun, menyatakan bahawa program tersebut telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya 1,000 individu.
“Kami telah menyampaikan perkongsian bermakna kepada golongan belia dan anggota keluarga tentang kesan buruk dadah melalui program kami, dengan harapan mereka membuat pilihan untuk jauhkan diri daripada dadah.
“Melalui inisiatif yang diterajui masjid seperti ini, golongan belia mendapat ruang untuk menjalin ikatan dan persahabatan yang kukuh sesama mereka,” katanya.
Satu lagi program tahunan yang berjaya dilaksanakan untuk menyokong gerakan DIH ialah acara berbasikal tahunan, anjuran Masjid Hasanah.
“Maklum balas ibu bapa serta belia amat menggalakkan, menandakan pendekatan ini benar-benar menyentuh hati dan memberi impak bermakna,” ujar Pengerusi Eksekutif Masjid Hasanah dan Masjid Hang Jebat, Ustaz Mohamad Rafi Eusope, 57 tahun.
“Muis akan terus berganding bahu bersama CNB, MHA (Kementerian Ehwal Dalam Negeri) dan rakan-rakan masyarakat untuk mengukuhkan ekosistem sokongan ini demi melahirkan masyarakat Islam yang sihat, penyayang dan bebas dadah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg