Pengguna wadah media sosial dinasihatkan agar berwaspada terhadap akaun palsu di Facebook yang menyamar sebagai Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Dalam satu hantaran Facebook pada 16 Oktober, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia telah dimaklumkan mengenai akaun palsu itu yang mungkin cuba mendapatkan wang, meminta maklumat peribadi serta melakukan kegiatan penipuan lain.
Contoh yang ditunjukkan Muis dalam hantaran tersebut memaparkan bahawa akaun palsu itu tidak mengandungi sebarang maklumat mengenai Dr Nazirudin.
Sebaliknya, akaun rasmi Dr Nazirudin mempunyai tanda semak biru dan boleh ditemui di Instagram.
Muis berkata satu-satunya akaun media sosial rasmi Dr Nazirudin adalah di Instagram.
Ketika Berita Harian membuat carian pada 17 Oktober, akaun palsu tersebut masih dapat ditemui di Facebook.
Muis menegaskan bahawa pegawainya tidak akan sekali-kali meminta wang atau butiran peribadi melalui media sosial.
“Jika anda menemui akaun yang mencurigakan, jangan balas atau berkongsi maklumat anda.
“Laporkan akaun palsu itu terus kepada Facebook dan sekat akaun tersebut bagi menghalang sebarang interaksi lanjut.
“Sentiasalah berwaspada. Jika ragu-ragu, dapatkan pengesahan terus daripada Muis melalui saluran rasmi kami,” kata Muis.
Bagi sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi talian Muis di 6359-1199, dari Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Talian ditutup pada Jumaat antara 12.30 tengah hari dengan 2.30 petang, serta pada hujung minggu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg