Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS giat latih asatizah dalam penggunaan AI untuk bantu tangani kekeliruan agama
Maklumat agama kian mudah diakses dalam talian; MuslimSG dinaik taraf bagi mudahkan masyarakat dapat panduan dipercayai
MUIS giat latih asatizah dalam penggunaan AI untuk bantu tangani kekeliruan agama
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang aktif melatih dan meningkatkan kemahiran digital asatizah dalam bidang kecerdasan buatan (AI) generatif bagi memenuhi keperluan masyarakat, memandangkan maklumat keagamaan kini tersebar luas dalam talian, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Menurutnya, langkah itu penting agar asatizah bukan sahaja memahami cara menggunakan teknologi tersebut, malah bersedia menangani sebarang kekeliruan terutamanya dalam mengkonseptualisasikan isu rumit.
Ini ditambah dengan perancangan MUIS untuk menaik taraf platform MuslimSG supaya lebih interaktif dan mesra pengguna, khususnya dalam mendekati golongan muda agar mereka mudah mendapatkan panduan agama, katanya.
Encik Zaqy berkata demikian di Parlimen pada 9 September dalam menjawab soalan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) mengenai langkah MUIS memperkukuh saluran bagi mengesahkan ketepatan jawapan yang dijana AI dan diperoleh masyarakat dalam talian.
“AI generatif dan platform dalam talian boleh melengkapi pembelajaran agama dengan menjadikan maklumat serta ilmu lebih mudah diakses.
“Namun, ia tidak sepatutnya dijadikan sumber utama bagi bimbingan agama, terutamanya mengenai isu keagamaan yang rumit yang memerlukan tafsiran para ulama serta kefahaman mengikut konteks.
“Dalam situasi sedemikian, asatizah bertauliah atau sumber ilmu lain yang dipercayai hendaklah dijadikan rujukan,” ujar beliau.
Beliau menambah jawatankuasa semakan baharu yang akan ditubuhkannya turut ditugaskan untuk meneliti secara menyeluruh langkah perlindungan institusi agama, risiko serta ancaman baharu di alam maya.
Ini termasuk bagi situasi semasa mahupun masa hadapan, katanya.
Encik Zaqy turut memberi perincian dalam menjawab soalan Encik Saktiandi mengenai kebimbangan terhadap kecenderungan masyarakat mencari ilmu agama dalam talian tanpa bimbingan.
Encik Zaqy menjelaskan terdapat ruang untuk meningkatkan akses maklumat bagi orang awam mahupun asatizah.
Selain menaik taraf platform MuslimSG, keupayaan asatizah dalam menguasai AI generatif turut diberi tumpuan utama.
“Pada masa yang sama, perkembangan AI Generatif diberi perhatian secara mendalam melalui usaha mendidik dan meningkatkan kemahiran ramai asatizah agar lebih mesra dengan teknologi tersebut serta peralatan digital baharu.
“Malah, sebahagian daripada mereka telah pun menjalani latihan untuk memahami kesannya serta cara mengendalikan AI dengan lebih berkesan – kerana pada akhirnya, merekalah yang perlu menyampaikan dan menjelaskan perkara ini kepada masyarakat,” katanya.
Encik Zaqy menegaskan bahawa persoalan yang lebih besar ialah bagaimana mendorong masyarakat Islam untuk memanfaatkan kedua-dua platform fizikal dan digital secara berkesan, memandangkan pendidikan agama hari ini perlu disampaikan secara holistik.
AP gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), bertanya jika sebuah unit khas dapat ditubuhkan di MUIS untuk mengesan maklumat salah berkaitan agama di Internet secara proaktif, sebelum ia menular.
Encik Zaqy mengakui bahawa usaha memantau setiap laman web memerlukan sumber daya yang amat besar.
Lantas, beliau menjelaskan tumpuan utama ialah bertindak proaktif dalam mengesan isu atau tema tular yang tidak tepat.
“Tumpuan kita bukan sahaja untuk menyekat punca maklumat, tetapi memperkukuh ketahanan masyarakat agar mereka mengenal pasti risiko.
“Kita juga perlu membantu ibu bapa mengesan ancaman digital terhadap anak-anak mereka.
“Peranan kita adalah membantu rakyat Singapura, khususnya masyarakat Islam tempatan, mengkontekstualisasikan ajaran dari luar agar sesuai dengan masyarakat di sini.
“Terdapat pelbagai peringkat usaha yang perlu dilaksanakan dan kami akan terus bekerjasama dengan masyarakat untuk menghadapi perkara ini,” katanya.
