Satu dana masyarakat bernilai $1 juta telah ditubuhkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menggalak masjid bekerjasama dan berinovasi dengan satu sama lain di samping rakan kerjasama lain.
Dana Kolaborasi Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) itu akan diagihkan kepada masjid-masjid bagi tiga tahun akan datang, kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen semasa Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) 2025 di Singapore Expo pada 8 Februari.
Sebuah jawatankuasa pengurusan CRL yang dipimpin oleh Encik Kadir dan Mufti Dr Nazirudin Nasir, akan berperanan untuk menetapkan hala tuju inisiatif strategik CRL, membincangkan amalan terbaik dan cabaran sektor, serta menggalakkan masjid saling belajar dari satu sama lain dan pakar lain.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Kadir berkata program-program ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk membentuk rangkaian masjid yang bersatu dan bekerja bersama untuk menangani pelbagai keperluan komuniti Islam.
“Matlamat utama kami adalah untuk memupuk umat Islam yang yakin, keluarga yang berdaya tahan dan masyarakat yang diperkasakan,” jelasnya sambil menambah visi ini dicapai melalui empat matlamat utama – Beramal, Belajar, Membimbing, dan Berhubung.
“Bersama-sama, elemen ini memastikan bahawa sektor masjid kekal sebagai pelita bimbingan rohani, perpaduan masyarakat dan pengaruh masyarakat yang positif, merangkumi prinsip iman dan perkhidmatan,” katanya
Menurut kenyataan Muis, dana itu bermatlamat untuk menggalak eksperimentasi dan menangani jurang program untuk memenuhi keperluan masyarakat yang berubah-ubah serta memupuk sektor masjid yang lebih terhubung dan inovatif.
“Kerjasama menerusi inisiatif bersama dan kepakaran yang dikongsi boleh memaksimakan impak, memperkukuhkan hubungan komunal serta menggalak masjid yang mempunyai program berjaya untuk membimbing lain serta memastikan pertumbuhan sektor dalam penglibatan belia dan warga emas,” jelas kenyataan itu.
Semasa ditemui media, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata kerjasama dalam sektor masjid adalah penting demi menjadi warga yang bertanggungjawab.
“Dengan adanya penggemblengan setiap jurusan masyarakat, termasuk asatizah sukarelawan, para karyawan, dan masyarakat umum, kita telah membangunkan sektor masjid sebagai satu institusi yang kita boleh banggakan. Mereka juga menyedari pentingnya untuk bekerjasama dengan masyarakat lain demi menjadi warga yang bertanggungjawab.
“Pihak masjid juga membina jambatan dengan agensi-agensi lain kerana penting bagi kita untuk wujud bukan hanya dalam masjid untuk beribadah, tetapi menggunakan wadah tersebut untuk menjalin hubungan yang lebih baik dengan masyarakat lain. Dengan ini, kita boleh menjadi model sebagai masyarakat gemilang yang boleh dicontohi oleh masyarakat antarabangsa,” ujar beliau.
Memberi pandangannya mengenai dana baru itu, Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid (OMS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Ali berkata:
“Dari segi teknologi, kami lihat masjid-masjid sudah mula menggunakan teknologi untuk mendekati masyarakat, umpamanya Masjid Wak Tanjong dengan inisiatif QuranBit. Ini adalah idea-idea yang boleh dikembangkan dan kami mahu masjid-masjid lain memanfaatkan idea-idea ini dan menjalankan program-program yang lebih inovatif.”
Setiausaha Masjid Kassim, Cik Zuraidah Mohamed Arsad, pula berkata dana yang bakal diterima itu boleh mempertingkatkan lagi mutu program supaya lebih berkesan.
“Fokus Masjid Kassim adalah untuk mendalami tentang masalah masyarakat seperti masalah kesihatan mental, tidak kira belia ataupun warga senja di Singapura.
“Kami akan berkolaborasi dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) untuk dapatkan asatizah yang bertauliah untuk mengadakan sesi kaunseling untuk belia ataupun warga emas yang memerlukan,” ujar beliau.
Sejajar dengan wawasan OMS untuk membina masyarakat yang bersepadu, berhubung dan memberi impak, aktivis muda dan Presiden Persatuan Muslim di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Ashiqur Rahman Hussain Ahamed, 24 tahun berkata persatuannya ingin menyatukan maklumat tentang perkhidmatan masjid bagi memudahkan penglibatan belia pada masa panjang.
“Setiap masjid mempunyai khidmat dan program yang berbeza, contohnya Darul Quran dari Masjid Kampong Siglap, Darul Tafsir dari Masjid Al-Khair – jadi penting untuk belia seperti saya tahu di mana untuk mendapatkan khidmat yang khusus untuk keperluan kita.
“Saya rasa apabila belia dari masyarakat Islam dapat datang dan berasa selesa untuk mendapatkan atau berkongsi ilmu, dan tahu diri mereka tidak sendirian,” kata beliau.
Persidangan itu yang dihadiri lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada pemimpin masjid, kakitangan, dan sukarelawan merupakan konvensyen masjid pertama sejak Covid-19. Ini adalah konvensyen ke-empat yang dianjurkan OMS sejak 2005.
Dengan tema “Meneroka Laluan Baru: Berinovasi & Bekerjasama”, persidangan ini memberi tumpuan kepada inovasi, penciptaan bersama, dan perkongsian strategik dalam komuniti masjid.
Encik Zalman menjelaskan, persidangan kali ini bermatalamt untuk menyemarakkan kembali kerjasama antara masjid-masjid, memastikan mereka mempunyai hala tujuan yang jelas dari segi keprihatinan terhadap keperluan masyarakat.
“Kami ingin memberi fokus kepada mendekati belia dan warga emas – dua cabang yang perlu ditangani dan di mana masjid-masjid boleh memainkan peranan.
“Selain itu, kami juga prihatin terhadap pembangunan kemahiran untuk kakitangan masjid, supaya mampu menjalankan program dengan lebih berkesan, dan bersedia memberi panduan untuk masyarakat,” kata Encik Zalman.
Dalam acara itu, Muis juga memperkenalkan dua Buku Panduan Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL Playbook) – satu untuk belia dan satu lagi untuk warga emas.
Ia bertujuan untuk membolehkan masjid lebih memahami keperluan jemaah melalui maklum balas komuniti berkesan, dan menjadi sumber dan rangka kerja kepada pemimpin dan kakitangan masjid dalam mencipta dan membentuk kehidupan sosioagama masyarakat.
Inisiatif ini akan membantu memperkukuhkan lagi kerjasama sektor masjid dan memperluaskan jangkauan masjid dalam memberi khidmat kepada masyarakat.
“Buku panduan itu adalah sumber dimana pihak masjid dapat memanfaatkan, dan ia boleh dikembangan pada masa akan datang dengan idea-idea baru, menjadi bahan perbincangan pada masjid dan boleh diteroka lebih mendalam,” jelas Encik Zalman.
“
“Dengan adanya penggemblengan setiap jurusan masyarakat, termasuk asatizah sukarelawan, para karyawan, dan masyarakat umum, kita telah membangunkan sektor masjid sebagai satu institusi yang kita boleh banggakan. Mereka juga menyedari pentingnya untuk bekerjasama dengan masyarakat lain demi menjadi warga yang bertanggungjawab.”“
“Matlamat utama kami adalah untuk memupuk umat Islam yang yakin, keluarga yang berdaya tahan dan masyarakat yang diperkasakan. Bersama-sama, elemen ini (Beramal, Belajar, Membimbing, dan Berhubung) memastikan bahawa sektor masjid kekal sebagai pelita bimbingan rohani, perpaduan masyarakat dan pengaruh masyarakat yang positif, merangkumi prinsip iman dan perkhidmatan.”“
“Dari segi teknologi, kami lihat masjid sudah mula menggunakan teknologi untuk mendekati masyarakat, umpamanya Masjid Wak Tanjong dengan inisiatif QuranBit. Ini adalah idea yang boleh dikembangkan dan kami mahu masjid lain memanfaatkan idea ini dan menjalankan program-program yang lebih inovatif.”“
“Setiap masjid mempunyai khidmat dan program yang berbeza, contohnya Darul Quran dari Masjid Kampong Siglap, Darul Tafsir dari Masjid Al-Khair – jadi penting untuk belia seperti saya tahu di mana untuk mendapatkan khidmat yang khusus untuk keperluan kita. Saya rasa apabila belia dari masyarakat Islam dapat datang dan berasa selesa untuk mendapatkan atau berkongsi ilmu, dan tahu diri mereka tidak sendirian.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg