Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis lancar Wakaf Masyarakat S’pura

Sumbangan boleh dibuat menerusi laman wakaf.sg dan secara tunai berjumlah $10 hingga $1,000 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan
Aug 3, 2024 | 8:06 PM
Majlis pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura di Masjid Muhajirin di Braddell Road pada 3 Ogos, dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (lima dari kiri); Presiden Muis, Encik Saat A. Rahman (empat dari kiri) dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (dua dari kiri).
Majlis pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura di Masjid Muhajirin di Braddell Road pada 3 Ogos, dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (lima dari kiri); Presiden Muis, Encik Saat A. Rahman (empat dari kiri) dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (dua dari kiri). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Masyarakat Islam kini boleh mula menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang dilancarkan secara rasmi oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 3 Ogos.

Mereka boleh membuat sumbangan menerusi laman wakaf.sg yang mana mereka diberi pilihan untuk membuat sumbangan sekarang atau masa depan.

Sumbangan secara langsung kepada WMS boleh dilakukan secara tunai berjumlah $10 hingga $1,000 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan menerusi laman itu, menurut Muis.

Mereka yang mahu menyumbang bagi masa depan boleh dilakukan dengan menamakan Muis atau WMS sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau bayaran insurans masing-masing.

WMS pertama kali diperkenal pada 2020, bermatlamat memenuhi keperluan jangka panjang masjid, madrasah, pembangunan asatizah serta daya usaha bagi meningkatkan masyarakat Muslim di sini.

Laman wakaf.sg.
Laman wakaf.sg. - Foto MUIS

Berucap di acara pelancaran wakaf itu di Masjid Muhajirin di Braddell Road, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

“Saya harap WMS menjadi pemangkin perancangan kewangan kita dan keluarga kita. Ramai di antara kita memiliki flat HDB dan dana CPF. Ada juga arif memanfaatkan berbagai instrumen kewangan seperti saham dan perniagaan. Pemilikan aset dan harta masyarakat kita juga semakin tinggi.”

Berdasarkan pungutan zakat, aset cair masyarakat Melayu/Islam setempat dianggarkan sekurang-kurangnya $2 bilion.

Justeru, jika mengambil kira aset hartanah, nilainya pasti lebih tinggi, jelas Encik Masagos.

Kata beliau, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, WMS juga merupakan satu lagi huraian inovatif bagi menyediakan dana sokongan yang lebih mampan bagi keperluan masyarakat.

Misalnya, sekurang-kurangnya $300 juta diperlukan untuk memperbaharui pajakan tanah bagi masjid-masjid yang bakal luput secara berturut-turut dalam masa 30 hingga 50 tahun mendatang.

“Jika kita melakukan ini (mendapatkan dana) pada masa nanti, atau hanya pada saat kita memerlukannya, ia akan membebankan generasi lanjut dengan ketara,” katanya.

Encik Masagos juga menggesa masyarakat Islam agar bersedia menulis wasiat.

“Saya sangat berharap kita dapat memperuntukkan sebahagian aset kita kepada WMS melalui wasiat dan pencalonan, agar kita mendapat pahala berkekalan hingga ke akhirat,” ujarnya.

Sehingga kini, $3.8 juta telah diikrarkan kepada wakaf itu oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Persekutuan India Muslim (FIM) di samping individu, menurut Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin.

Muis menjelaskan WMS, sebagai wakaf berbilang aset akan menggabungkan semua sumbangan hingga membina sebuah korpus atau dana.

Dana pokok WMS itu tidak akan digunakan, tetapi dilaburkan dalam instrumen pelaburan berisiko rendah dengan bimbingan Pejabat Mufti, Jawatankuasa Fatwa Muis dan Jawatankuasa Pelaburan Muis.

“Apabila korpus itu dibina dan menghasilkan pulangan ketara (dijangka stabil dalam 30 tahun), wakaf itu akan mengagihkan dapatan tersebut kepada penerima berdasarkan keperluan masyarakat masa tersebut.”

Tidak seperti wakaf tradisional yang ditumpukan kepada golongan penerima tertentu, terdapat tiga kumpulan penerima WMS yang sudah ditetapkan Muis iaitu sokongan kepada masjid dan madrasah, meningkatkan sektor asatizah dan menyokong keperluan sosial dan agama.

Ia juga berbeza dengan dana sedia ada seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) dan zakat yang digunakan untuk menampung keperluan masyarakat semasa.

Lantaran itu, beberapa acara seperti forum dan jelajah warisan wakaf telah dianjurkan sebahagian Bulan Wakaf pada Ogos demi meningkatkan kesedaran terhadap wakaf.

Setiausaha Terhormat Pergas, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid berkata WMS merupakan inisiatif yang baik dan pihaknya juga merupakan salah satu golongan penerima.

“Kita memerlukan usaha yang secara kolektif dan ini tidak boleh dilakukan secara individu atau satu institusi, namun lebih bermakna apabila ia melibatkan beberapa institusi lain melabur untuk menjayakannya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg