Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendidikan madrasah di era Kecerdasan Buatan (AI)

Guna AI secara strategik – beri tumpuan kepada aspek teknikal sambil mengekalkan peranan guru dalam tarbiah
Dec 19, 2025 | 5:30 AM
(Dari kiri) Profesor Madya Sains Komputer di Universiti Michigan-Flint, Dr Zahid Ali; Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Encik Herman Cher Ma’in; dan Pengarah Pembangunan Kemahiran AI di AI Singapore, Encik Koo Seng Meng, sewaktu perbincangan panel di Simposium Guru-Guru Madrasah pada 25 November 2025.
(Dari kiri) Profesor Madya Sains Komputer di Universiti Michigan-Flint, Dr Zahid Ali; Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Encik Herman Cher Ma’in; dan Pengarah Pembangunan Kemahiran AI di AI Singapore, Encik Koo Seng Meng, sewaktu perbincangan panel di Simposium Guru-Guru Madrasah pada 25 November 2025. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

DITULIS BERSAMA OLEH DR ZAHID ALI DAN HERMAN CHER MA’IN

Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada kehidupan madrasah melalui telefon pintar dan alat digital pelajar.

Persoalan utama bagi tenaga pengajar bukan lagi sama ada AI akan wujud dalam pendidikan Islam atau tidak, tetapi bagaimana kita mengharungi landskap teknologi ini sambil mengekalkan prinsip pengajaran.

Madrasah sepenuh masa Singapura telah lama memanfaatkan teknologi dengan bijak, daripada penggunaan realiti maya hingga platform Google Classroom.

AI ialah langkah seterusnya, yang menuntut kita mendidik pelajar supaya bukan mahir teknologi sahaja, bahkan beretika.

RANGKA KERJA PENYEPADUAN AI

Sebelum menyepadukan sebarang teknologi dalam pendidikan di madrasah, kita mesti bertanya, apakah pendidikan daripada perspektif Islam?

Pendidikan dalam warisan kita adalah tarbiah, iaitu pembangunan menyeluruh insan. Al-Quran menyatakan: “Yang mengajar dengan pena, mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 4-5).

Ini merangkumi bukan sahaja taklim (pemindahan pengetahuan), tetapi juga kebijaksanaan, akhlak, dan adab.

Mengapakah pengaruh AI semakin berleluasa kini? Dorongan utamanya ialah keuntungan ekonomi, persaingan pasaran, ciri kemanusiaan sekular, dan keyakinan melulu pada kemajuan. Kesannya, lahirlah telefon pintar yang menimbulkan ketagihan, media sosial yang memecahbelahkan masyarakat, dan sistem AI yang berpotensi menjejaskan pembelajaran.

Dalam konteks madrasah, risiko tambahan termasuk AI yang tidak dapat memberi tarbiah, menyampaikan ilmu tanpa pandangan dunia Islam, dan menghakis pemikiran kritikal pelajar.

Menyedari risiko ini, madrasah di Singapura menggunakan AI secara strategik – memberi tumpuan kepada aspek teknikal sambil mengekalkan peranan guru dalam tarbiah.

AI SEBAGAI PEMBOLEH: PENGALAMAN DI MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH

Asatizah bahasa Arab sering menghabiskan masa membetulkan kesilapan peringkat ayat dan tanda baris (tashkil) dalam penulisan pelajar.

Di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, alat AI digunakan untuk mengaplikasikan tashkil secara automatik dan mengesan isu tatabahasa pelajar.

Teknologi ini berfungsi sebagai ‘pembantu peringkat pertama’ yang memberikan maklum balas segera kepada pelajar tentang kesilapan asas mereka.

Hasilnya, asatizah tidak perlu meluangkan banyak masa untuk berkali-kali membetulkan tugas pelajar, malah dapat memberi lebih tumpuan kepada aspek pengajaran.

Pelajar pula mendapat maklum balas segera, yang membolehkan mereka membuat pembetulan sendiri sebelum menyerahkan tugasan.

Hasilnya, pelajar lebih yakin, berdikari, dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka, selaras dengan nilai tarbiah Islam.

PENGAJARAN BERASASKAN DATA

Secara tradisinya, guru menghadapi beban masa yang besar dalam memproses dan menganalisis data penilaian mentah secara manual, menjadikannya sukar mengesan keperluan pelajar tertentu dari awal.

Madrasah Aljunied Al-Islamiah memanfaatkan alat AI tujuan umum (seperti Gemini atau NotebookLM) untuk menyelaraskan proses ini.

Data peperiksaan besar diproses untuk menjana papan pemuka visual, analisis butiran maklumat, dan laporan ringkas yang menyerlahkan corak prestasi pelajar.

Data kompleks diubah menjadi rujukan untuk tindakan selanjutnya, membolehkan guru mengenal pasti kelemahan pelajar dengan cepat atau pelajar berisiko.

Pendekatan ini memastikan intervensi yang disasarkan dan sistem pendidikan yang responsif kepada keperluan pelajar dapat dilaksanakan.

KESIMPULAN

AI tidak boleh ditolak sepenuhnya, tetapi ia juga tidak wajar diterima tanpa kritikan. Pengalaman Singapura menunjukkan kita memerlukan keseimbangan antara inovasi dan etika. Bagi mencapai keseimbangan ini, pendidik perlu memodelkan penggunaan AI secara kritikal dan menyesuaikan kaedah penilaian untuk memastikan pelajar tidak terlalu bergantung pada teknologi.

Matlamat madrasah hari ini ialah melahirkan pelajar berfikiran kritikal, berakar umbi dalam pandangan dunia Islam dan mampu menjadi khalifah era digital.

Dengan keupayaan menilai secara kritikal serta dasar yang telus, kita dapat membentuk pemimpin yang celik digital dan beriman, yang memimpin teknologi, bukan dipimpin olehnya.

Dr Zahid Ali penceramah utama Simposium Guru-Guru Madrasah pada 25 November 2025, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Beliau Profesor Madya Sains Komputer di Universiti Michigan-Flint, di Flint di Michigan, Amerika Syarikat dan pelajar tahun akhir dalam program ’Alimiyyah di Al-Salam Institute.

Encik Herman Cher Ma’in Penyelaras Sistem Madrasah Bersama (JMS), Menengah, dan Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau mempunyai lebih 25 tahun pengalaman sebagai pendidik, dengan 19 tahun daripadanya dalam kepimpinan sekolah/madrasah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg