Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program Adil bantu peserta imbangi ilmu duniawi, ukhrawi

Program ‘Adult Islamic Learning’ (Adil) sedia pendidikan Islam bagi dewasa dengan kelas fizikal, dalam talian ikut jadual peserta
Dec 12, 2025 | 5:30 AM
Selain kelas fizikal, program Adil menyediakan kelas secara dalam talian dan pembelajaran kendiri, sesuai dengan keperluan individu dewasa yang bekerja dan lebih selesa belajar mengikut jadual sendiri.
Selain kelas fizikal, program Adil menyediakan kelas secara dalam talian dan pembelajaran kendiri, sesuai dengan keperluan individu dewasa yang bekerja dan lebih selesa belajar mengikut jadual sendiri. - Foto MUIS

Encik Danial Hariz Hizam, 26 tahun, tidak pernah terfikir untuk mendalami ilmu agama.

Tetapi penyertaannya dalam sebuah program pertukaran di Manchester, England, dari September hingga Disember 2024 membuatkan beliau sedar selama ini, fokusnya terlalu tertumpu kepada pelajaran di universiti sahaja.

“Sudah tiba masanya untuk memberi perhatian kepada pelajaran agama juga,” ujarnya.

Demi mendapatkan keseimbangan antara ilmu duniawi dengan ukhrawi, Encik Danial menyertai sebuah program agama sebaik sahaja beliau pulang ke Singapura pada awal 2025.

Beliau mengikuti kelas Pembelajaran Islam Dewasa, atau Adult Islamic Learning (Adil), secara fizikal di Masjid Al-Istiqamah di Serangoon mulai Januari 2025.

PENGETAHUAN AGAMA MENINGKAT

Encik Danial, yang kini bertugas dalam bidang logistik, berkata program itu membuka peluang kepada peserta untuk mempelajari pelbagai asas agama Islam, termasuk rukun iman dan rukun Islam.

“Saya belajar banyak perkara tentang agama. Perbincangan tafsir surah Al-Fatihah, misalnya, membantu saya lebih khusyuk dalam solat.

“Modul terbaru juga membantu saya memahami kehidupan Rasulullah saw, termasuk sifat dan nilai Baginda yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan harian,” ujar Encik Danial.

Beliau menekankan ilmu yang diperolehnya bukan untuk kejayaan di dunia sahaja, bahkan sebagai bekalan buat akhirat.

Encik Danial yakin program Adil dapat membantu meningkatkan kefahaman tentang agama Islam, memahami makna di sebalik setiap amalan seorang Muslim, serta memberi peluang berkongsi ilmu bersama rakan-rakan dan keluarga.

KELAS HUJUNG MINGGU, MUDAH DISERTAI

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran yang dihadapinya adalah mengekalkan disiplin dalam menghadiri kelas Adil, yang berlangsung pada Ahad.

Ini memandangkan beliau bekerja sepenuh masa lima hari seminggu dan mempunyai komitmen lain pada hujung minggu.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu, dan beliau bersyukur kerana berjaya menghadiri kebanyakan kelas.

“Kelas yang saya hadiri diadakan pada hujung minggu dan mudah untuk diikuti. Ia banyak membantu saya memperkukuh lagi ilmu agama saya,” kata Encik Danial.

ADIL TERBUKA KEPADA SESIAPA SAHAJA

Pegawai tadbir Adil, Ustaz Firdaus Azhari, menjelaskan program Adil direka khusus untuk Muslim dewasa di Singapura.

Program itu menyediakan pendidikan Islam menyeluruh dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin membina asas pengetahuan agama.

Menurut Ustaz Firdaus, program Adil bukan menekankan teori ilmu agama semata-mata, bahkan membantu peserta memahami Islam dalam konteks Singapura.

“Program ini bukan mengajar ilmu asas seperti fardu ain, solat, dan puasa sahaja, malah membincangkan pelbagai isu semasa yang relevan dengan kehidupan harian, seperti pemilihan makanan halal dan cara mempraktikkan Islam secara khusus di negara ini,” kata Ustaz Firdaus, yang turut bertugas sebagai murrabi, atau pendidik, dalam kelas Adil.

Program Adil menyediakan pelbagai kelas agama yang sesuai dengan tahap dan minat peserta, termasuk kelas percuma pada Ramadan.

Selain itu, program Adil menyediakan kelas secara dalam talian dan pembelajaran kendiri, atau ‘self-paced learning’.

Ia dapat dimanfaatkan oleh individu dewasa yang tidak mempunyai jadual kerja tetap atau mereka yang lebih selesa belajar mengikut jadual sendiri.

SEKILAS:

Ketahui lebih lanjut tentang kelas aLIVE dan Adil dengan mengunjungi laman web, learnislam.sg

Bagi yang berminat menyertai kelas Adil secara percuma atau berbayar, kunjungi laman web, learnislam.sg/adil

Ikuti perkembangan terkini dan kegiatan menarik LearnIslam.Sg dengan mengunjungi Instagram dan Facebook mereka di @LearnIslam.Sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg