Muis: Sewa hartanah wakaf mesti sesuai kadar pasaran demi kepentingan benefisiari

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: Sewa hartanah wakaf mesti sesuai kadar pasaran demi kepentingan benefisiari

Muis, Warees dan agensi berkaitan pastikan hartanah wakaf di daerah warisan seperti Kampong Gelam diselenggara dan nilai warisannya dikekalkan
Feb 10, 2026 | 7:47 PM

Muis: Sewa hartanah wakaf mesti sesuai kadar pasaran demi kepentingan benefisiari

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Muis, Sewa, hartanah wakaf, kepentingan benefisiari
Terdapat 26 kedai rumah yang terletak di atas tanah wakaf di kawasan Kampong Gelam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kadar sewa di hartanah wakaf perlu ditetapkan pada tahap pasaran supaya tidak merugikan mauquf alaih atau benefisiari wakaf, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Ini kerana sesiapa yang menguruskan hartanah wakaf mempunyai tanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan terbaik benefisiari wakaf tersebut.

Pada masa yang sama, hartanah wakaf di daerah warisan seperti Kampong Gelam diselenggara dengan teliti untuk mengekalkan nilai warisan mereka, dengan Muis dan Warees Investments bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan ini dapat dilakukan.

Warees merupakan anak syarikat Muis yang menguruskan harta wakaf serta masjid-masjid di Singapura.

Menjawab soalan Berita Harian (BH) mengenai pengurusan harta wakaf di Singapura, jurucakap Muis berkata:

“Idea utamanya ialah sesiapa yang menguruskan harta wakaf mempunyai tanggungjawab fidusiari (tanggungjawab di bawah undang-undang dan etika) untuk bertindak demi kepentingan benefisiari wakaf seperti yang dinyatakan dalam surat ikatan wakaf asal.

“Jika kadar sewa ditetapkan jauh di bawah norma pasaran, mutawalli (pemegang amanah) boleh dituduh gagal melaksanakan peranan fidusiari mereka dan merugikan benefisiari.

“Dengan mengekalkan sewa pada tahap pasaran, Muis dan mutawalli memastikan wakaf ini dapat terus menyokong tujuan yang dimaksudkan secara mampan dan mengikut terma khusus yang dinyatakan dalam setiap surat ikatan wakaf.”

Menurut beberapa laman hartanah yang dilihat BH, kadar sewa sebulan bagi unit seluas 1,000 kaki persegi di Kampong Gelam dianggarkan mencecah sekitar $8,000 hingga $18,000 berdasarkan lokasi dengan sewa lebih tinggi bagi kawasan yang lebih popular.

Isu sewa di tanah wakaf menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat kebelakangan ini manakala isu sewa bagi perniagaan di kawasan warisan turut mendapat perhatian berikutan penutupan Warong Nasi Pariaman.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen, Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) pada 3 Februari lalu menyatakan bahawa Muis dan Warees menguruskan hartanah wakaf selaras dengan terma yang ditetapkan dalam surat wakaf.

Dalam pengurusan hartanah wakaf juga, Muis dan Warees akan mengambil kira nilai budaya dan sejarah kawasan sekeliling hartanah tersebut.

Dr Faishal menambah bahawa terdapat 26 rumah kedai yang terletak di atas tanah wakaf di kawasan Kampong Gelam.

Jurucakap Muis menjelaskan bahawa di Singapura, prinsip pengurusan wakaf digariskan dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Amla).

Wakaf diuruskan oleh mutawalli atau Warees, bagi pihak Muis.

“Bagi mutawalli, Muis memastikan mereka ditapis dan diluluskan oleh Majlis Muis sebelum dilantik. Mutawalli juga mesti mematuhi keperluan Amla yang ketat termasuk mengemukakan penyata kewangan yang telah diaudit bagi harta wakaf.

“Seperti yang dinyatakan dalam Amla, Muis bertanggungjawab memastikan harta-harta wakaf ini diuruskan dengan baik agar mereka dapat menjana pendapatan bagi orang-orang yang sepatutnya mereka sokong.

“Untuk melakukan ini dengan berkesan, mutawalli memastikan hartanah wakaf mereka diselenggara secara berkala dan disewakan pada kadar yang anda boleh jangkakan dalam pasaran hartanah biasa,” jelas jurucakap tersebut.

Namun, beliau menambah bahawa Muis akur perniagaan hari ini mungkin berdepan dengan cabaran besar termasuk kekangan kakitangan, kos meningkat, kesukaran pemasaran, pilihan pengguna yang sentiasa berubah, serta persaingan sengit.

“Apabila penyewa menghadapi kesukaran untuk membayar sewa, Muis akan menghubungi mereka melalui Warees untuk memahami keadaan kewangan mereka dan mungkin akan meneroka pelan pembayaran balik.

“Walaupun terdapat pengaturan dan langkah sokongan yang fleksibel ini, kami akur bahawa sesetengah perniagaan mungkin masih tidak dapat meneruskan operasi disebabkan oleh keadaan pasaran yang lebih luas dan cabaran daya maju perniagaan melangkaui pertimbangan sewa sahaja.

“Penamatan pajakan atau prosiding undang-undang yang dipersetujui bersama hanya akan dijalankan sebagai jalan terakhir, selaras dengan terma perjanjian penyewaan. Pendekatan ini mengimbangi tanggungjawab Muis untuk memastikan hartanah wakaf menjana pendapatan yang mampan bagi benefisiari dengan pengurusan penyewa yang bertimbang rasa,” ujar jurucakap itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg