Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 11 April, mengumumkan beliau akan berpindah dari GRC Nee Soon untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Dr Faishal, 56 tahun, yang menggalas amanah menjaga kawasan undi Nee Soon Central, telah menjadi Anggota Parlimen (AP) di kejiranan itu selama empat penggal.
“Perdana Menteri (Encik Lawrence Wong) telah meminta saya berpindah ke Marine Parade, dan saya telah bersetuju.
“Selama kira-kira 14 tahun, kami telah memperkukuhkan hubungan bersama penduduk Nee Soon dan mengisi masa dengan pelbagai kenangan manis.
“Namun, kepulangan saya ke Marine Parade terasa seperti pulang ke pangkuan keluarga,” kata Dr Faishal.
Sewaktu penggal pertamanya sebagai AP pada 2006, beliau adalah sebahagian daripada pasukan GRC Marine Parade sebelum menyertai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Nee Soon pada 2011.
Dalam lawatannya bertemu penduduk di kedai kopi sekitar Yishun Street 72 pada 11 April, beliau ditemani mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, dan mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan.
Dalam pertemuannya bersama media, Dr Faishal melahirkan rasa gembiranya dengan penyertaan Dr Syed Harun dan Cik Goh bagi pilihan raya akan datang.
“Mereka kelihatan sangat bersedia, dan saya gembira mereka telah turun padang dan bertemu ramai penduduk.
“Dengan kehadiran mereka di kawasan ini, saya yakin mutu hidup dan keperluan penduduk akan dijaga,” tambahnya.
Dr Faishal turut menghargai peluang menjalin hubungan baik dengan masyarakat Melayu/Islam di GRC tersebut.
Beliau, bagaimanapun, mengakui pemergiannya mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu/ Islam, tetapi yakin kepakaran kemasyarakatan yang dimiliki Dr Syed Harun, dapat menyambung usaha yang telah beliau lakukan selama ini.
“Dengan pengalaman Dr Syed Harun, beliau telah menjadi seorang tokoh yang dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/ Islam.
“Saya percaya beliau akan teruskan usaha mendekati dan berhubung dengan semua penduduk Melayu/ Islam di Nee Soon,” jelas Dr Faishal.
Dalam pada itu, Dr Faishal turut merakam penghargaannya kepada mereka yang menyokongnya selama ini.
“Setiap sokongan yang disampaikan oleh orang ramai, termasuk penduduk Nee Soon, amat dihargai,” jelasnya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Dr Faishal dilihat menemui penduduk di GRC Marine Parade-Braddell Heights, yang baru dibentuk, menyusuli terbitan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac.
Selain Dr Faishal, GRC Nee Soon kini diterajui Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam (Chong Pang), Encik Louis Ng (Nee Soon East), Cik Carrie Tan (Nee Soon South) dan Encik Derrick Goh (Nee Soon Link).
Dengan Profesor Faishal berpindah ke GRC Marine Parade-Braddell Heights, ia mencetus tanda tanya sama ada Encik Mohd Fahmi Aliman akan teruskan bertanding dalam pilihan raya tahun ini (2025).
Beliau, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai AP GRC Marine Parade dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, memulakan kerjayanya dalam bidang politik sejak 2020.
Berita Harian (BH) cuba menghubunginya pada 11 April tetapi gagal mendapat respons.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg