Calon Parti Pekerja (WP) yang dijangka mengisi kerusi kosong di GRC Sengkang memberi jaminan kepada penduduk di kawasan yang sebelum ini dijaga Cik Raeesah Khan di Compassvale, bahawa beliau akan berusaha menangani masalah lif di estet itu.
Dalam satu hantaran di Instagram pada 1 April, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, pengurus kanan hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), berkata beliau akan bekerja rapat dengan Anggota Parlimen (AP) WP di GRC Sengkang untuk mengenal pasti serta menangani punca utama masalah lif tersebut.
Berkongsi foto lawatan rumah ke rumah, Encik Abdul Muhaimin berkata penduduk Compassvale menyuarakan kebimbangan mengenai lif, yang merupakan kemudahan penting terutamanya bagi penduduk warga emas.
Janji terbuka kepada penduduk GRC Sengkang ini merupakan petanda jelas setakat ini bahawa Encik Abdul Muhaimin, 35 tahun, mungkin dicalonkan di kawasan empat anggota itu pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), lapor The Straits Times (ST).
Merujuk kepada pengalamannya dalam pengurusan lif di majlis bandaran sejak Ogos 2015, Encik Abdul Muhaimin berkata beliau memahami keperluan untuk memastikan lif beroperasi dengan selamat dan boleh dipercayai.
Beliau berkata: “Mengemukakan soalan yang tepat, mendengar dengan teliti, dan memacu penyelesaian – begitulah cara kita memajukan GRC Sengkang bersama-sama.”
Encik Abdul Muhaimin tidak asing di Compassvale kerana beliau telah membantu dalam Sesi Bertemu Penduduk bulanan di kawasan itu, di bawah bimbingan AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap.
Encik Faisal – timbalan pengerusi WP – telah membimbing pasukan Sengkang selepas Cik Raeesah mengaku berbohong di Parlimen dan meletak jawatan pada Disember 2021.
Selepas beliau berundur, kawasan Compassvale telah dibahagikan antara AP GRC Sengkang yang lain, iaitu Cik He Ting Ru, Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim.
Walaupun WP belum secara rasmi mengumumkan Encik Abdul Muhaimin sebagai calon, satu halaman Facebook yang mengenal pasti beliau sebagai seorang ahli politik telah ditubuhkan pada 1 April, menyusuli pembukaan akaun Instagram yang mengandungi kerja-kerjanya di lapangan.
Ini menyusuli dari Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 27 Mac bahawa GRC Sengkang perlu ada sekurang-kurangnya seorang calon yang mewakili masyarakat Melayu.
Beliau telah dilihat menghadiri pelbagai acara kemasyarakatan yang melibatkan AP Sengkang sejak 2023, dengan penglibatannya dalam kunjungan dan lawatan rumah semakin aktif pada 2025.
Pada 8 Mac, Ketua WP, Encik Pritam Singh, telah memuat naik gambar Encik Abdul Muhaimin bersama Cik He, Profesor Lim dan Encik Chua di luar Masjid Al-Mawaddah di Compassvale Bow, dan menggelar kumpulan tersebut sebagai “Pasukan GRC Sengkang”.
Baru-baru ini, beliau dilihat bergambar dan bersalaman dengan penduduk bersama AP Sengkang di satu majlis berbuka puasa dan kunjungan Hari Raya di Masjid Al-Mawaddah.
Beliau juga dilihat berinteraksi dengan penduduk pada mesyuarat dewan bandaran AP Sengkang bersama penduduk pada 29 Mac.
Menurut profil media sosial Encik Muhaimin, beliau menuntut di Maktab Rendah Tampines, dan tamat pengajian dari Universiti Teknologi Nanyang dengan ijazah dalam kejuruteraan mekanikal pada 2015.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg