Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk, AP Sengkang bincang isu nasional, kejiranan semasa sesi dialog

Mar 29, 2025 | 5:05 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang (dari kiri, menghadap penduduk) Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, bertemu penduduk semasa sesi ‘townhall’, atau dialog awam, yang diadakan pada 29 Mac.
Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang (dari kiri, menghadap penduduk) Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, bertemu penduduk semasa sesi ‘townhall’, atau dialog awam, yang diadakan pada 29 Mac. - Foto ST

Pengangkutan awam yang lebih mesra warga emas, mengurangkan haba dalam blok HDB serta isu kejiranan lain merupakan antara perkara yang diketengahkan penduduk Sengkang semasa sesi townhall, atau dialog awam, yang dianjurkan pada 29 Mac.

Seorang penduduk, misalnya, berkongsi pemerhatiannya bahawa bas-bas baru kini mempunyai tempat duduk yang lebih tinggi, yang mana penumpang perlu menaiki anak tangga untuk ke tempat duduk tersebut.

Memberi responsnya, Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik He Ting Ru, berkata isu tentang kemudahan pengangkutan awam dan memastikan seramai mungkin orang dapat memanfaatkannya menjadi isu yang akan diberi perhatian.

Seorang lagi penduduk menyentuh tentang tempat duduk yang dikhususkan bagi warga emas di dalam MRT.

Dengan masyarakat Singapura dijangka menjadi masyarakat lebih menua atau ‘super-aged’ menjelang 2026, yang mana suku penduduknya berusia 65 tahun ke atas, lebih banyak tempat duduk yang dikhususkan bagi golongan ini diperlukan di dalam MRT, katanya.

Beliau turut menyarankan agar tempat-tempat duduk sedemikian wajib diberikan kepada warga emas dan bukan diberikan secara sukarela seperti sekarang.

Cik He berkata beliau berempati dengan penduduk tersebut yang merupakan seorang warga emas, kerana beliau sendiri sering melalui keadaan serupa ketika sarat mengandung dahulu, apabila penumpang lain sedang duduk tidak memberikan tempat duduk mereka.

“Saya sendiri bukan warga emas, tapi saya setuju ini merupakan satu isu.

“Mungkin kita perlu fikirkan mengapa sebagai satu masyarakat kita tiba di tahap ini, apa yang telah berlaku?

“Jika ia menjadi masalah yang besar, mungkin kita boleh melihat sama ada mewajibkannya (adalah penyelesaian berkesan), tetapi saya fikir kita mesti melihat pada dasar masalah tersebut,” ujar beliau.

Sesi townhall itu dihadiri lebih 50 penduduk, dengan ketiga-tiga AP GRC Sengkang – Cik He, Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim, turut hadir.

Mereka dilantik AP kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum 2020 – tahun ditubuhkan GRC Sengkang – apabila pasukan Parti Pekerja (WP) itu berjaya mengalahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di sana.

Wajah baru WP, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, yang aktif di Sengkang, turut kelihatan di sesi townhall itu.

Selain isu pengangkutan awam, penduduk turut mengetengahkan isu kejiranan lain termasuk masalah burung yang sering bertenggek di belebas serta pemilik haiwan peliharaan yang kurang bertanggungjawab yang membenarkan haiwan mereka membuang najis sebarangan.

Seorang penduduk turut memberi maklum balas tentang flat-flat HDB lebih baru dan menyarankan agar sesuatu dilakukan untuk menangani isu haba.

Cik He dan Profesor Madya Lim berkata baru-baru ini satu projek perintis telah dilakukan di Tampines, di mana cat pemantul haba digunakan di blok-blok HDB dan ini berjaya mengurangkan suhu ambien.

Berikutan projek itu, pemerintah mengumumkan skim tersebut akan ditawarkan kepada semua majlis bandaran dalam lima tahun mendatang.

Oleh itu, AP GRC Sengkang itu mengatakan mereka sedang berusaha memastikan penduduk Sengkang juga dapat meraih manfaat daripada skim tersebut.

Dalam pada itu, ketiga-tiga AP berkongsi dengan penduduk yang hadir isu-isu yang telah mereka bangkitkan di Parlimen, termasuk semasa perbahasan Belanjawan baru-baru ini.

Antaranya, mereka telah membangkitkan isu bunyi bising yang dialami penduduk Sengkang akibat jet tentera yang berlatih di ruang udara di sana.

“Ini merupakan sesuatu yang sangat dekat dengan hati penduduk Sengkang, jadi kami telah membangkitkan isu ini dan kami telah membangkitkannya secara konsisten sejak kami dilantik,” kata Profesor Madya Lim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg