Muka baru Parti Pekerja (WP), Encik Kenneth Tiong, dilihat bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied di acara masyarakat di Bedok Reservoir pada 12 April.
Ia sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin akan bertanding di kawasan tersebut.
Encik Tiong, 36 tahun, yang merupakan pengarah syarikat permulaan teknologi, Sensemake AI, berinteraksi dengan penduduk bersama AP GRC Aljunied, termasuk ketua WP, Encik Pritam Singh; pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; Encik Faisal Manap, dan Encik Gerald Giam.
AP SMC Hougang, Encik Dennis Tan, turut hadir, lapor The Straits Times (ST).
Acara ‘Perbualan Kejiranan’, atau ‘Neighbourhood Conversations’, itu diadakan di Blok 122 Bedok Reservoir Road, yang terletak dalam kawasan Eunos kendalian Encik Pritam.
Bagaimanapun, kedua-dua Encik Pritam dan Encik Tiong enggan mengulas apabila dihampiri.
Encik Tiong dijangka bertanding di kawasan Serangoon dalam GRC tersebut, yang kosong sejak Julai 2023 apabila mantan AP, Encik Leon Perera, meletak jawatan.
Sejak 2024, beliau telah mengendalikan sesi Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di kawasan tersebut.
Baru-baru ini, Encik Tiong turut dilihat menghadiri lawatan ke masjid dan kuil bersama AP WP, serta muncul dalam beberapa gambar media sosial yang dimuat naik oleh Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Giam.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 26 Mac, Encik Tiong berkata beliau menyifatkan “adalah (menjadi) tanggungjawabnya untuk tampil dan memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk hala tuju perbincangan tentang negara kita” pada pilihan raya yang akan datang.
Turut kelihatan di acara pada 12 April itu ialah Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, 35 tahun, seorang pengurus kanan hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang, yang dijangka bertanding di GRC Sengkang.
Encik Jimmy Tan, 53 tahun, bakal calon WP di GRC Tampines, turut menghadiri acara tersebut.
Pengurus jualan peralatan industri itu adalah pembantu undang-undang kepada Encik Pritam.
Penganalisis telah meramalkan bahawa Encik Pritam, yang merupakan Ketua Pembangkang, mungkin akan meninggalkan Aljunied untuk bertanding di GRC East Coast yang berdekatan.
Pasukan WP di East Coast berjaya memperoleh 46.6 peratus undi menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada Pilihan Raya Umum 2020.
Seorang penduduk Eunos, Cik Ivy Lim, 75 tahun, berkata beliau menghadiri acara masyarakat tersebut kerana ingin memberitahu Encik Pritam tentang kesukaran yang dihadapi golongan warga emas dalam mengikuti perkembangan teknologi.
Cik Lim, yang bekerja di sebuah pusat urut, berkata beliau tidak tahu cara menggunakan aplikasi seperti Grab, jadi beliau lebih kerap menaiki bas dan MRT.
“Namun, apabila saya sudah kesuntukan masa, tidak mudah untuk mendapat teksi sekarang kerana kebanyakan orang menggunakan Grab. Ia sangat sukar bagi warga emas seperti saya untuk mengikuti perkembangan ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg