Seorang pegawai keselamatan berusia 80 tahun mengalami kecederaan selepas didakwa ditumbuk oleh seorang lelaki di mukanya ketika bertugas di kawasan Bedok Central pada Isnin (11 September).
Dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis, Kesatuan Sekerja bagi Pekerja Keselamatan (USE) berkata pegawai tersebut - dipanggil Abang Kwek - telah dikerah untuk meronda sebuah kawasan awam di Bedok Central pada malam Ahad sekitar 2 pagi apabila serangan itu dipercayai berlaku.
USE berkata, semasa pegawai itu sedang meronda, beliau memerhatikan terdapat seorang lelaki yang sedang tidur di tempat duduk awam – satu perbuatan yang tidak dibenarkan.
Selepas memberitahu lelaki tersebut hal demikian, lelaki itu mematuhi perintahnya dan meninggalkan tempat itu, kata USE.
Encik Kwek kemudian meneruskan tugasnya namun terserempak lagi dengan lelaki yang sama melakukan perbuatan itu lagi.
Apabila Encik Kwek mendekatinya, lelaki tersebut mula mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
“Lelaki itu menumbuk Abang Kwek di wajahnya, hingga beliau terjatuh dan cermin matanya pecah,” kata USE.
Dua pekerja restoran berdekatan kemudian mendekati Encik Kwek untuk membantunya dan melaporkan kejadian itu kepada polis.
Pegawai tersebut dikejarkan ke hospital untuk dirawat dan diberi cuti perubatan.
“Abang Kwek mengalami kelukaan dan bengkak di mukanya,” kata kesatuan itu lagi.
USE berkata pihaknya diberitahu tentang kejadian itu pada 11 September.
Wakil-wakil dari USE telah menziarahi Encik Kwek di rumahnya pada keesokan harinya dengan sagu hati berbentuk baucar dan sari pati ayam.
USE berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini, terdapat 23 kes penganiayaan terhadap pegawai keselamatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg