Mula di karnival sekolah, Mikhail Raiyan kini wakili skuad bola lantai S’pura di arena dunia
Mula di karnival sekolah, Mikhail Raiyan kini wakili skuad bola lantai S’pura di arena dunia
Kemenangan pingat emas dalam pertandingan bola lantai pertamanya pada usia tujuh tahun menjadi detik yang sukar dilupakan buat Encik Muhammad Mikhail Raiyan.
Ketika itu, beliau sekadar ingin mencuba sukan yang diperkenalkan semasa karnival sukan sekolah rendahnya, di Sekolah Rendah Endeavour.
Namun, kemenangan tersebut mencetuskan minat mendalam yang akhirnya membawa beliau ke arena bola lantai sebagai pemain negara.
“Menyertai pertandingan bersama individu lain yang mempunyai minat sama terasa seperti satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan. Lebih-lebih lagi apabila saya menjaringkan gol pertama dalam liga perdana,” kata Encik Mikhail, 24 tahun.
Pengalaman tersebut, tambahnya, membakar semangatnya bahawa beliau mampu melangkah lebih jauh.
“Jika saya boleh mendorong diri sendiri ke peringkat antarabangsa, saya pasti akan lebih menghargai detik-detik seperti ini.”
Kini Encik Mikhail merupakan pemain bola lantai skuad nasional. Di samping itu, beliau juga memikul peranan sebagai jurulatih pasukan bawah 16 tahun dan kumpulan elit di Akademi Bola Lantai Belia (YFA).
Menurut beliau, bola lantai merupakan sukan yang dinamik.
“Bola lantai pantas, intensif dan fizikal. Ia sukan yang sangat menyeronokkan, mudah diakses kerana gelanggangnya tersedia di banyak tempat, dan pada masa sama membantu pemain kekal cergas,” jelasnya.
Encik Mikhail turut berpeluang mengembangkan bakatnya di peringkat antarabangsa apabila menjalani latihan bersama kelab ternama Sweden, Storvreta IBK, pada 2022 yang disokong oleh YFA.
Sebelum itu, beliau tidak pernah berkecimpung secara serius dalam mana-mana sukan lain, menjadikan bola lantai sebagai titik permulaan dan fokus utama perjalanan sukannya.
Bagi Encik Mikhail, peluang mewakili negara merupakan satu impian yang menjadi kenyataan.
“Ia sentiasa menjadi impian saya untuk mewakili Singapura dalam sukan yang paling saya cintai. Saya amat bersyukur diberi peluang untuk melakukannya,” katanya.
Sebagai jurulatih, beliau menyaksikan sendiri bagaimana bola lantai semakin mendapat tempat dalam kalangan belia tempatan.
Menurutnya, perubahan ini amat ketara berbanding ketika beliau di bangku sekolah rendah tidak lama dulu.
“Lebih banyak sekolah kini menawarkan bola lantai sebagai Kegiatan Kokurikulum (CCA), sesuatu yang tidak wujud semasa zaman sekolah saya.
“Selain itu, kemunculan akademi seperti Akademi Bola Lantai Belia membantu peserta berkembang dengan lebih baik dan pantas dalam sukan ini,” jelasnya.
Beliau turut melihat peningkatan penyertaan belia yang tidak mempunyai latar belakang sukan.
“Ramai pelajar mula bermain bola lantai sebagai CCA pertama mereka kerana ia diwajibkan di sekolah.
“Di peringkat kelab dan akademi pula, saya sering melihat muka baru setiap minggu, malah ada yang memberitahu bahawa ia adalah kali pertama mereka mencuba sukan ini,” katanya, merujuk pengalamannya sebagai jurulatih di YFA.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan minat ini, menurut Encik Mikhail, ialah kepelbagaian liga yang ditawarkan.
“Daripada liga perdana hingga divisyen lebih rendah, perlawanan boleh ditonton secara percuma di Our Tampines Hub. Mereka yang sudah bermain biasanya akan datang menyokong rakan mereka atau pemain kegemaran, dan ini secara tidak langsung mendorong mereka menyertai pasukan dalam liga yang tersedia,” katanya.
Tambah beliau, peranan akademi juga penting kerana pemain muda diberi peluang menjalani latihan berstruktur bersama jurulatih berpengalaman, sekali gus meningkatkan pendedahan dan tahap permainan mereka.
Selain laluan sukan, bola lantai turut muncul sebagai laluan pendidikan yang semakin menjadi pilihan menerusi skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
“Bola lantai kini menjadi salah satu laluan DSA yang semakin berkembang, bukan sahaja di peringkat sekolah menengah tetapi juga ke maktab rendah, politeknik dan ITE. Ini memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran di institusi yang mereka inginkan melalui sukan yang mereka minati,” jelasnya.
Bagi belia, khususnya daripada keluarga Melayu dan berpendapatan rendah, Encik Mikhail menegaskan bahawa peluang ini wajar dimanfaatkan.
“Latihan di sekolah biasanya percuma, jadi pemain tidak perlu risau tentang kos tambahan. Dengan menggunakan masa semasa CCA sebaiknya dan mempunyai minda yang betul, sesiapa sahaja boleh cemerlang dalam perkara yang mereka ceburi,” katanya.

