Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mun Wai: Usah cepat label warga bersifat perkauman bila mahu perjelas isu berkait kaum

Feb 7, 2025 | 7:20 PM
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai. - Foto MDDI

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, berkata beliau harap para menteri tidak akan cepat melabel warga Singapura yang mahu dapatkan penjelasan tentang isu sosio-ekonomi yang berkaitan dengan kaum sebagai “bersifat perkauman”.

Encik Leong menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook pada 6 Februari.

Sehari sebelum itu, pada 5 Februari, beliau menerima kritikan di Parlimen daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang berkata kenyataan terdahulu Encik Leong menunjukkan beliau tidak menghargai pendekatan berbilang kaum pemerintah dalam melakar dasar.

Encik Shanmugam merujuk kepada komen Encik Leong di Parlimen mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (Ceca) dan mengenai perumahan awam di media sosial.

“Saya harap para menteri tidak akan cepat melabel warga Singapura sebagai bersifat perkauman apabila kami mahu mendapatkan penjelasan berkenaan isu sosio-ekonomi meskipun jika ia berkaitan kaum.

“Prinsip ini amat penting lebih-lebih lagi kerana kita baru sahaja lulus Rang Undang-undang Mengekalkan Keharmonian Kaum pada 4 Februari,” kata Encik Leong.

Menurutnya, beliau mempunyai “penghargaan mendalam terhadap kepelbagaian kaum dan kepelbagaian budaya serta demokrasi dan kedaulatan undang-undang”.

Kritikan Encik Shanmugam terhadap Encik Leong di Parlimen berlaku dalam responnya kepada soalan yang diajukan NCMP itu sama ada pemerintah merancang menyemak rangka kerja Cina-Melayu-India-Lain-Lain (CMIO).

Dalam catatan Facebooknya, Encik Leong menjelaskan beliau mengemukakan soalan itu berdasarkan apa yang dikatakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, semasa persidangan Singapore Perspectives 2025 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) baru-baru ini.

Encik Tong ketika itu mengatakan rangka CMIO patut sering disemak untuk mencerminkan landskap pelbagai budaya Singapura yang semakin kompleks.

“Saya fikir ini adalah soalan yang munasabah tetapi saya terkejut apabila Menteri Shanmugam tiba-tiba menimbulkan dua isu lama dan gunakannya untuk menuduh saya melakukan diskriminasi kaum,” kata Encik Leong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg