Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mural rai warisan sukan S’pura di Farrer Park dilancar

Papar sukan seperti bola sepak, berenang, tinju dan tenis, sebagai penghormatan kepada para atlet setempat
Jan 4, 2025 | 6:51 PM
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan (belakang, tengah), bergambar bersama legenda bola sepak Singapura, (belakang, dari kiri) Baihakki Khaizan, Lim Tong Hai, Terry Pathmanathan dan Steven Tan, serta perenang Paralimpik, (depan, dari kiri) Toh Wei Soong dan Theresa Goh, di acara perasmian mural sukan di Dewan Serbaguna Blok 14 Farrer Park semasa acara ‘Meraikan Warisan Sukan Farrer Park’  pada 4 Januari.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan (belakang, tengah), bergambar bersama legenda bola sepak Singapura, (belakang, dari kiri) Baihakki Khaizan, Lim Tong Hai, Terry Pathmanathan dan Steven Tan, serta perenang Paralimpik, (depan, dari kiri) Toh Wei Soong dan Theresa Goh, di acara perasmian mural sukan di Dewan Serbaguna Blok 14 Farrer Park semasa acara ‘Meraikan Warisan Sukan Farrer Park’ pada 4 Januari. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap kali bekas pemain bola sepak negara, Baihakki Khaizan, menjejakkan kaki di padang bola di Farrer Park untuk sesi latihan ketika zaman mudanya, ia mencetuskan rasa emosi yang mendalam.

Ini kerana padang itu pernah menjadi tempat latihan bagi ramai atlet hebat Singapura seperti legenda bola sepak, Fandi Ahmad dan Terry Pathmanathan.

Baihakki adalah antara enam atlet negara yang hadir di acara karnival sukan, ‘Meraikan Warisan Sukan Farrer Park’ pada 4 Januari, bersempena dengan pelancaran Mural Sukan di Dewan Serba Guna Blok 14, Farrer Park.

Mural baru itu menampilkan sukan seperti bola sepak, berenang, tinju dan tenis, sebagai penghormatan kepada para atlet yang memulakan perjalanan sukan mereka di padang itu.

Acara anjuran Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Moulmein-Cairnhill, dengan sokongan Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan Jaringan Sukan Komuniti Moulmein-Cairnhill, itu turut dihadiri Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.

Bercakap semasa acara itu, Encik Tan, yang juga Penasihat Akar Umbi bagi GRC Tanjong Pagar (Moulmein-Cairnhill), berkata:

“Farrer Park adalah simbol daya tahan, masyarakat dan kejayaan. Generasi atlet pada masa lalu telah menjalani latihan di sini, bukan sahaja untuk membina kemahiran sukan mereka tetapi juga memperkukuhkan nilai-nilai peribadi.

“Mural ini adalah bukti semangat pelopor sukan Singapura. Pada masa yang sama, ia meraikan warisan sukan kita dan mengingatkan penduduk tentang sejarah sukan yang kaya di Farrer Park.”

Tapak itu kini sedang dibangunkan semula untuk menjadi estet flat Bina Ikut Tempahan (BTO), yang dijangka siap pada 2028.

Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan bermain bola bersama beberapa kanak-kanak yang hadir ke acara tersebut di samping bekas pemain bola sepak negara Lim Tong Hai (tengah) dan Steven Tan (kanan).
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan bermain bola bersama beberapa kanak-kanak yang hadir ke acara tersebut di samping bekas pemain bola sepak negara Lim Tong Hai (tengah) dan Steven Tan (kanan). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Tan berkongsi bahawa ciri-ciri yang dirancang untuk tapak itu termasuk mengekalkan gimnasium tinju yang sedia ada, padang bola sepak dan pusat sukan pelbagai guna dilengkapi dengan gimnasium dan kolam renang.

“Kemudahan sukan ini akan melengkapi BTO baru dan kejiranan yang sedia ada di sekitar Farrer Park, dan ia akan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk untuk kekal aktif, menikmati sukan yang kami cintai semasa kami membesar, dan mengingati warisan sukan yang kaya di Farrer Park,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi lebih lanjut tentang pengalamannya, Baihakki berkata apabila anak sulungnya, Mika Bazil, menjalani latihan pertamanya di padang Farrer Park sekitar tiga tahun lalu, Ketua Perancangan (Pejabat Divisyen Teknikal) Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) itu tidak melepaskan peluang untuk menemani anaknya.

“Di sinilah lahirnya atlet legenda... Saya beritahu Mika: “Padang ini sangat istimewa. Berlatihlah dengan bersungguh-sungguh kerana kehebatan bermula dengan usaha gigih”,” ujar bapa kepada empat anak itu.

Mika Bazil,16 tahun, kini berlatih bersama pasukan Pusat Pembangunan Nasional (NDC).

Selain Baihakki, acara itu turut diserikan dengan kehadiran ikon sukan tempatan lain seperti bekas pemain bola sepak Lim Tong Hai, Steven Tan dan Terry Pathmanathan, di samping bekas perenang sukan para negara, Toh Wei Soong serta Theresa Goh.

Berkongsi kenangannya berlatih di Farrer Park, Theresa berkata beliau menghabiskan enam hari seminggu berlatih untuk pertandingan di kompleks renang Farrer Park sebelum ia ditutup pada 2003.

“Saya masih ingat dengan jelas kompleks renang itu. Jika saya tutup mata, saya boleh bayangkan dari pintu masuk, ke tandas dan ke kolam renang. Kenangan seperti itu tidak mudah dilupakan,” ujar Cik Goh, pemenang pingat gangsa Paralimpik 2016.

 Pemenang pingat gangsa Paralimpik 2016, Theresa Goh (kanan) mengongsi kenangan semasa berlatih di kompleks kolam renang Farrer Park.
 Pemenang pingat gangsa Paralimpik 2016, Theresa Goh (kanan) mengongsi kenangan semasa berlatih di kompleks kolam renang Farrer Park. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut seorang penduduk Farrer Park, Dr Mubarak Ali, 47 tahun, kawasan itu dikenali sebagai pusat sukan sejak dulu lagi.

“Saya masih ingat perasaan teruja apabila melihat gelanggang tinju di kawasan itu. Saya gembira yang gelanggang tersebut akan dikekalkan untuk generasi seterusnya,” ujar beliau, yang telah menetap di Farrer Park sejak 1978.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg