Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMRT: 3 gangguan kereta api TEL  baru-baru ini tidak berkait

Jan 4, 2025 | 1:27 PM
Penumpang di stesen MRT Outram Park pada 19 Disember 2024. Satu masalah isyarat pada 27 Disember telah menyebabkan komunikasi antara sistem isyarat dengan kereta api terganggu.
Penumpang di stesen MRT Outram Park pada 19 Disember 2024. Satu masalah isyarat pada 27 Disember telah menyebabkan komunikasi antara sistem isyarat dengan kereta api terganggu. - Foto fail

Tiga gangguan MRT baru-baru ini yang berlaku dalam tempoh seminggu di Laluan Thomson-East Coast (TEL) tidak berkait dengan satu sama lain, kata pengendali pengangkutan SMRT dalam satu hantaran Facebook pada 3 Januari.

Satu masalah isyarat pada 27 Disember telah menyebabkan komunikasi antara sistem isyarat dengan kereta api terganggu, yang mengakibatkan beberapa kereta api terhenti-henti.

Kereta api yang terjejas kemudiannya perlu dipandu secara manual pada kelajuan 18 kilometer sejam (kmj) selepas sistem ditetapkan semula, kata SMRT.

Kerosakan yang bermula pada 6.30 pagi itu menyebabkan tambahan masa perjalanan hingga 15 minit. Perkhidmatan biasa disambung semula pada 9.06 pagi pada hari sama, lapor The Straits Times.

Kejadian kedua pada 29 Disember lalu melibatkan kereta api yang mengalami kerosakan brek sekejap-sekejap sewaktu bergerak dari stesen.

Bagi mematuhi protokol keselamatan, kereta api itu dikendalikan secara manual pada kelajuan 18 kmj.

Kerosakan itu kemudiannya dapat dipulihkan, membolehkan perkhidmatan kereta api biasa disambung semula selepas menyebabkan penangguhan perjalanan selama 15 minit.

Dapatan siasatan awal menunjukkan kemungkinan berlaku kerosakan komponen dalam kereta api terjejas, kata SMRT.

Kejadian terbaru pada petang 2 Januari berpunca daripada kereta api yang menghidupkan sistem brek kecemasan semasa menghampiri stesen MRT Orchard, menyebabkan operasi manual diperlukan.

SMRT kemudian menasihatkan penumpang agar menambah sekitar 10 minit untuk perjalanan mereka antara Caldecott dengan Gardens by the Bay – iaitu jarak 12 stesen – disebabkan kerosakan kereta api.

Perkhidmatan kereta api biasa disambung semula pada 8 malam hari yang sama.

Siasatan punca kejadian itu sedang dijalankan.

SMRT menambah dalam hantarannya: “Walaupun dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, perkhidmatan kereta api terus beroperasi di kedua-dua arah. Penumpang dinasihatkan membuat perancangan bagi tambahan 10 hingga 15 minit masa perjalanan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg