Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Murali: Pemerintah perlu kembalikan sokongan rakyat terhadap pengangkutan awam

Sep 26, 2025 | 8:11 PM
murali pillai, menteri negara kanan (pengangkutan merangkap undang-undang)
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-undang), Encik Murali Pillai. - Foto MDDI

Kegagalan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah sebab yang wajar untuk berasa marah dan kecewa, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-undang), Encik Murali Pillai.

“Saya menerima bahawa kita perlu bekerja keras untuk memenangi semula sokongan rakyat Singapura yang kecewa dan terjejas akibat kegagalan itu,” kata Encik Murali dalam perbahasan Amanat Presiden di Parlimen pada 26 September.

Hakikatnya memang sukar diterima bahawa gangguan akan terus berlaku, tetapi apabila ia berlaku, akan ada sistem untuk membantu mereka yang terjejas tiba di destinasi mereka, tambah beliau.

Sejak Julai 2025, terdapat sekurang-kurangnya 15 kejadian kelewatan dan gangguan rel.

Untuk memastikan rangkaian kereta api Singapura berjalan lancar, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meningkatkan daya tahan dengan lebih banyak laluan alternatif, kata Encik Murali.

“Kami sedang membina laluan rel baru yang membolehkan penumpang terus sampai ke destinasi mereka sekiranya berlaku gangguan atau kerja-kerja penyenggaraan yang dirancang melalui laluan kereta api alternatif,” kata beliau.

Sebagai contoh, lingkaran untuk Laluan Circle akan disambung pada 2026 dan Laluan Downtown dan Laluan Thomson-East Coast akan dilanjutkan, tambah beliau.

Akan terdapat juga pelaburan dalam meningkatkan kebolehpercayaan aset rel.

Menurut Encik Murali, ia termasuk tambahan $1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang yang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan awal 2025 dan pasukan petugas kebolehpercayaan rel yang ditubuhkan untuk menangani isu segera.

Apabila gangguan berlaku, pihak berkuasa akan memastikan pemulihan secepat mungkin dan memastikan komunikasi yang jelas dengan penumpang.

Sementara itu, Encik Murali berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah menubuhkan pusat operasi keselamatan siber untuk mengesan ancaman siber.

Agensi itu juga berkongsi maklumat penting dengan rakan kongsi utama, daripada pengendali pengangkutan awam kepada rakan kongsi penerbangan dan syarikat maritim, tambah beliau.

Sedang sistem pengangkutan semakin mendakap pendigitalan dan bergerak ke ruang siber, cabaran keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini semakin muncul.

Sebagai contoh, terdapat serangan baru-baru ini terhadap prasarana maklumat kritikal Singapura oleh kumpulan pengintipan siber yang disokong negara UNC3886, kata Encik Murali.

“Dengan begitu banyak aspek kehidupan harian dan ekonomi kita bergantung pada rangkaian pengangkutan, prasarana kita menjadi sasaran utama untuk pelaku yang berniat jahat,” tambah beliau.

Di negara lain, terdapat serangan siber terhadap prasarana pengangkutan, contohnya, di Jepun, London dan terkini di beberapa lapangan terbang utama Eropah, kata beliau.

“Tidak dapat dipastikan bila pelaku berniat jahat akan menyasar sistem kita dengan serangan serupa,” tambah Encik Murali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg