Menjejak bilangan warga asing yang bekerja dalam sektor penghantaran makanan adalah rumit kerana ia melibatkan aturan antara perniagaan yang boleh berubah-ubah, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon.
Sebagai contoh, sesebuah pengendali platform boleh menyumber luar khidmat syarikat logistik dan ia boleh mengubah cara melakukannya atau rakan perkongsian dari masa ke masa.
Dr Koh berkata: “Ia mungkin agak sukar untuk memberikan saiz (atau jumlah) yang tepat pada satu-satu masa dan meningkatkan beban pentadbiran terhadap syarikat untuk melaporkan sebarang perubahan dalam perjanjian kontrak mereka semasa melaksanakan kerja.”
Beliau berkata demikian di Parlimen pada 26 September, semasa menjawab soalan susulan daripada Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, iaitu sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berhasrat menjejak bilangan warga asing dalam sektor penghantaran makanan.
Encik Pritam (GRC Aljunied) dan Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol) telah bertanya soalan berasingan mengenai pekerja platform tempatan.
Berhujah lanjut, Dr Koh berkata kebanyakan pengendali platform mempunyai perjanjian dengan syarikat penyumberan luar untuk menetapkan kerja-kerja yang dilakukan oleh warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR).
Namun sekiranya tenaga kerja tempatan terhad di syarikat penyumberan luar itu, ia mungkin tiada pilihan lain dan memberikan kerja itu kepada warga asing yang mempunyai pas kerja yang sah.
“Ini (sektor penghantaran makanan) adalah landskap yang sangat luas.
“Apa yang perlu dilakukan ialah membenarkan syarikat membuat beberapa keputusan yang membolehkannya berkhidmat dengan cekap dan mendatangkan faedah kepada kededua syarikat dan pengguna.
“Ini supaya khidmat yang diperlukan boleh dihantar tepat pada masa, misalnya pesanan makanan,” ujarnya.
Dr Koh berkata tindakan penguatkuasaan keterlaluan untuk mencegah pekerja asing bekerja secara haram menerusi platform penghantaran boleh menjejas pendapatan pekerja platform yang sah dan pelanggan yang menanti makanan.
Cara pencegahan lebih berdaya tahan adalah supaya pengendali platform melaksanakan pemeriksaan wajah pekerja secara kerap sepanjang hari, melebihi usaha pemeriksaan wajah untuk mengenal pasti pekerja semasa mereka mula bekerja, tambah beliau.
Hanya warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) dibenarkan bekerja sebagai pekerja platform.
Namun pengendali platform boleh menyumber keluar kerja-kerja penghantaran kepada syarikat logistik pihak ketiga yang boleh menggajikan pekerja asing yang mempunyai pas kerja sah.
Dr Koh berkata MOM telah melaksanakan beberapa operasi penguatkuasaan serata negara untuk mengesan dan mencegah pekerja asing daripada melakukan pekerjaan platform secara haram.
Operasi itu dilakukan antara lain, menyusuli maklum balas yang diterima Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) daripada pekerja platform tempatan.
Sejumlah 644 pekerja penghantaran diperiksa dalam operasi tersebut dan empat didapati bekerja secara haram sebagai pekerja platform.
Lagi 22 pekerja asing didapati pemegang pas kerja sah, kata Dr Koh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg