Singapura mengiktiraf kepelbagaian masyarakatnya, memelihara keunikan budayanya, serta membina persefahaman bersama, diasaskan atas keyakinan bahawa setiap kaum mempunyai tempat sama rata dalam masyarakat, kata Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, dalam satu hantaran di Facebook pada 2 November.
Namun, Encik Murali menegaskan bahawa isu kaum tidak akan luput dalam politik, dan keharmonian di Singapura tidak boleh diserahkan kepada nasib atau sekadar harapan.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada video yang dimuat naik oleh Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, yang mendakwa bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sepanjang beberapa dekad lalu telah memecah-belahkan masyarakat Singapura mengikut garis perkauman dan keagamaan.
Dr Chee turut menuduh bahawa pemerintah PAP telah menyemarakkan politik perkauman di Singapura.
“Dr Chee seharusnya sedar bahawa kenyataannya itu tidak benar. Beliau sepatutnya tahu bahawa dasar-dasar tersebut dilaksanakan untuk mengatasi perpecahan kaum dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Singapura,” kata Encik Murali.
Dalam videonya yang selama 8 minit 20 saat bertarikh 17 Oktober itu, Dr Chee antara lain menganggap beberapa langkah seperti memperkenalkan Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Mendaki, Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan Persatuan Serani sebagai politik identiti.
“Kerana Cina lebih berkemungkinan membantu kaum Cina, Melayu juga begitu dan lain lain lagi? Bukankah itu politik identiti?
“Dan parti mana yang perkenalkan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) menyatakan bahawa kaum Cina jika dibiarkan tidak akan memilih calon minoriti, meskipun tiada kebenaran di sebalik ini,” kata Dr Chee.
Pada 14 Oktober, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, berkata Singapura harus sentiasa berwaspada terhadap politik identiti kerana ia boleh meruntuhkan fabrik negara dan golongan minoriti akan paling teruk terjejas.
Membentangkan kenyataan kementerian selama hampir satu jam di Parlimen, Encik Shanmugam berkata sejauh ini, Singapura berjaya mengelakkan politik identiti daripada berakar di sini.
Malah Encik Shanmugam menekankan bahawa menggesa rakyat Singapura untuk mengundi parti politik dan calon mengikut kaum dan agama adalah perbuatan yang tidak mengambil kira kesan yang akan timbul dan boleh menjadi kebiasaan berbahaya.
Sementara itu dalam catatan Facebook beliau, Encik Murali memetik pengalaman yang dilaluinya semasa bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan undi perseorangan Bukit Batok pada 2016 dan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) sebagai calon minoriti.
“Dr Chee merupakan pesaing saya dalam kededua pilihan raya itu.
“Semua penduduk, tanpa mengira kaum, bersikap sangat baik terhadap saya dan saya mempunyai banyak interaksi yang menyenangkan dengan mereka.
“Namun, terdapat percubaan oleh pihak tertentu – yang tidak semestinya penduduk tempatan – untuk mempergunakan isu perkauman semasa pilihan raya bagi tujuan politik dan menyerang saya berdasarkan faktor kaum.
“Mereka cuba menggambarkan saya sebagai seseorang yang tidak layak untuk dipilih,” katanya.
Beliau memetik contoh di mana poster kempennya dirosakkan pada 2020 di mana seseorang dengan sengaja melukis janggut pada gambar beliau, menanda titik hitam dan merah di dahinya serta mencacatkan imej saya untuk menampakkan seolah-olah saya calon India yang tidak sesuai.
“Mereka juga menulis kata-kata hina untuk mengejek kaum saya, termasuk menulis aksara Cina yang bermaksud ‘mati’.
“Perbuatan keji ini dilakukan oleh segelintir pihak untuk tujuan politik. Ia menjadi peringatan yang menyedarkan saya bahawa isu perkauman tidak pernah benar-benar terpisah daripada politik,” kata Encik Murali.
Dalam catatan itu, Encik Murali berkata dasar-dasar pemerintah – daripada sistem GRC hinggalah kepada pelbagai langkah perlindungan lain – wujud bukan untuk memecah-belahkan masyarakat, tetapi untuk melindungi kesamarataan, keterwakilan dan keharmonian.
Katanya, langkah-langkah ini mungkin tidak sempurna, namun ia telah membantu negara membina sebuah masyarakat yang aman dan stabil – sebuah masyarakat yang berasaskan saling menghormati dan kemajuan bersama.
“Apa yang kita miliki di Singapura hari ini amat bernilai, dan wajar dipelihara,” kata Encik Murali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg