Seorang murid perempuan berusia tujuh tahun maut akibat kemalangan melibatkan sebuah van di Sengkang pada 15 Ogos.
Van tersebut turut berfungsi sebagai bas sekolah.
Menjawab pertanyaan pihak media, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan mereka dimaklumkan tentang kemalangan tersebut pada sekitar 6.20 pagi di 23 Fernvale Lane.
Kejadian berlaku semasa mangsa sedang menunggu bas apabila sebuah lagi bas sekolah melanggarnya di tempat meletak kereta di luar kawasan kondominium eksekutif, The Topiary, berhampiran pusat beli-belah Seletar Mall.
“Saya dengar pemandu bas sekolah tersebut sedang melihat cermin kiri bas semasa kejadian itu dan tidak lihat adik saya yang berdiri di depan bas,” kata abang mangsa tersebut kepada akhbar, Shin Min Daily News.
“Pemandu bas tidak menghentikan bas sehingga sedar beliau telah melanggar sesuatu,” tambahnya.
Menurut abang mangsa, pada waktu pagi – seperti semasa waktu kejadian – memang terdapat beberapa bas sekolah yang akan mengambil murid sekolah di lokasi tersebut.
Polis menyatakan, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Menurut SCDF, mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang.
Pihak polis turut menyatakan bahawa pemandu van berusia 67 tahun itu telah ditahan kerana dipercayai cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kematian.
Polis sedang menjalankan siasatan.
Pada 2023, nahas jalan raya telah meragut 136 nyawa, peningkatan 25.9 peratus daripada 108 kematian pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg