Topik diikuti
Pergi ke BHkuMurid terpaksa berhenti tuisyen dek kurang wang cetus inspirasi penuntut uni wujudkan kelas percuma
Murid terpaksa berhenti tuisyen dek kurang wang cetus inspirasi penuntut uni wujudkan kelas percuma
Terkesan oleh keperitan hidup, dua warga Singapura kini berbakti mencerahkan masa depan golongan kurang berkemampuan melalui inisiatif tuisyen percuma dan agihan ratusan makanan harian. Berita Harian (BH) menyelami kisah mereka sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.
Murid terpaksa berhenti tuisyen dek kurang wang cetus inspirasi penuntut uni wujudkan kelas percuma
Ketidakmampuan seorang pelajar membayar tuisyen menjadi titik perubahan yang mendorong Encik Ashsufi Hussin, 24 tahun, pelajar kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menubuhkan BrightGuides, program tuisyen percuma yang memberi tumpuan kepada Matematik bagi pelajar kurang berkemampuan.
Pernah bekerja sebagai guru tuisyen sambilan selama lima tahun untuk menyara dirinya, Encik Ashsufi memulakan inisiatif itu pada Julai 2025 di bawah naungan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), dengan hanya lima pelajar dan tiga sukarelawan.
Ia antara usaha MTFA dalam memperkasa masyarakat menerusi pendidikan, di samping memastikan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada sokongan pembelajaran berkualiti.
Kini, BrightGuides telah berkembang kepada lebih 40 sukarelawan dan menyokong 25 pelajar dari Darjah Satu hingga Menengah Lima menerusi kelas mingguan di Masjid An-Nur dan Masjid Sallim Mattar.
Idea itu tercetus daripada pengalamannya mengajar seorang pelajar bermotivasi tinggi yang terpaksa berhenti tuisyen kerana masalah kewangan.
Selepas Encik Ashsufi terus mengajarnya secara percuma, pelajar itu meningkat daripada gred D7 dalam peperiksaan prelim kepada B3 dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, sekali gus menguatkan kepercayaannya bahawa potensi seseorang pelajar tidak harus terbatas oleh keadaan kewangan keluarga.
Bagi Cik Qasrina Sujimy, 22 tahun, pelajar tahun tiga jurusan Perniagaan, Pengurusan Operasi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menyertai Bright Guides menjadi langkah pertamanya menceburi kerja kesukarelawanan secara konsisten.
Anak kedua daripada tiga beradik itu kini berkhidmat sebagai guru tuisyen dan pemimpin pusat, bertanggungjawab menyelaras operasi kelas setiap minggu selain membimbing pelajar dalam mata pelajaran Matematik.
Menurutnya, beliau tertarik menyertai Bright Guides selepas melihat peluang sukarelawan yang dikongsi menerusi saluran Telegram, selain merasakan program itu bertepatan dengan minat dan kemahirannya.
“Semasa saya di sekolah rendah dan menengah, ibu bapa sentiasa memastikan saya dapat menghadiri tuisyen. Saya sedar peluang itu banyak membantu saya memperoleh keputusan yang baik dan membuka laluan ke universiti.
“Jadi apabila saya melihat masih ada pelajar yang tidak mempunyai akses kepada sumber seperti ini, saya rasa saya juga perlu memainkan peranan untuk membantu,” katanya.
Selain mengajar, beliau memastikan bilik darjah disediakan sebelum kelas bermula, mengurus kehadiran pelajar dan guru, menyediakan bahan pembelajaran serta menyelaras perjalanan sesi agar semuanya berjalan lancar.
Namun, menurutnya, cabaran terbesar bukanlah menyediakan bahan pengajaran, sebaliknya memastikan dirinya sentiasa hadir dengan komitmen dan semangat yang sama setiap minggu.
“Setiap Ahad, tentu ada masanya kita mahu berehat atau meluangkan masa bersama keluarga. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri mengapa saya menyertai program ini.
“Bagi saya, bukan sekadar hadir, tetapi hadir dengan sepenuh hati. Pelajar boleh merasai jika kita benar-benar mahu membantu mereka,” katanya.
Salah satu pengalaman yang paling meninggalkan kesan buatnya ialah apabila seorang murid Darjah Enam yang sebelum itu sangat pendiam akhirnya mula berbual dengannya selepas tamat kelas.
Katanya, perbualan ringkas mengenai sekolah dan minat terhadap Piala Dunia mungkin kelihatan kecil, namun ia menjadi petanda bahawa pelajar tersebut mula mempercayainya.
“Bagi saya, itu lebih bermakna daripada sekadar melihat markah meningkat kerana dia berasa selesa untuk membuka cerita tentang dirinya,” ujarnya.
Beliau berkata pengalaman itu turut membuka matanya bahawa cabaran yang dihadapi golongan muda bukan hanya berkaitan kewangan, malah ada yang berdepan isu keyakinan diri serta persekitaran keluarga yang kurang kondusif.
Justeru, beliau berharap lebih ramai belia tampil menyertai usaha kesukarelawanan seperti Bright Guides kerana setiap anak muda yang dibimbing hari ini bakal membentuk masyarakat pada masa depan.
“Saya harap Bright Guides dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan di Singapura supaya lebih ramai keluarga mengetahui bahawa bantuan pendidikan seperti ini wujud,” kata Encik Ashsufi.
Cik Qasrina yang sependapat, menambah:
“Kalau mahu mula menjadi sukarelawan, mulakan dengan sesuatu yang dekat dengan minat atau kemahiran sendiri. Bantuan tidak semestinya besar, tetapi yang penting ialah kesanggupan untuk bermula.”
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.

