Inisiatif belia dari akar umbi semakin menonjol sebagai pemacu penting perubahan sosial di Singapura.
Ini termasuk melalui pelbagai wadah seperti sukan, dialog dan juga rangkaian sukarelawan.
Usaha tersebut mengetengahkan semangat ‘Kita Dahulu’ dan meletakkan kesejahteraan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dan membuktikan bagaimana tindakan kecil mampu menghasilkan kesan lebih luas.
Meskipun usaha anak muda kadangkala berdepan dengan halangan seperti sumber dan kemapanan, ia tidak pernah menghalang mereka memainkan peranan yang lebih besar untuk membangkitkan masyarakat.
Antara mereka yang melakukan demikian adalah pasangan suami isteri, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, kededua 28 tahun, yang merupakan pengasas Membina Community.
“Kami dibesarkan dalam rumah sewa dan keluarga yang memerlukan. Kita tahu bagaimana rasanya melalui perjalanan ini, jadi kami ingin berusaha untuk pastikan tiada siapa yang harus melalui jalan yang sama,” tekan Encik Jihad.
Setakat kini, Membina Community, mempunyai sekitar 30 mentor sukarelawan dan sedang membimbing sekitar 130 belia berisiko secara aktif.
Ia turut melibatkan hampir 300 belia lain melalui program sukarelawan dan kegiatan kemasyarakatan.
Melalui program yang ditawarkan, peserta bukan saja dibimbing, malah dilatih untuk membimbing rakan sebaya mereka pula.
Memperjuangkan semangat ‘Kita Dahulu’ yang sama, Encik Muhammad Imran Mean, 24 tahun telah menubuhkan rangkaian sukarelawan IM Volunteers Network (IMVN).
Selain memberi ruang bagi belia menyumbang kembali kepada masyarakat, perniagaan sosial Warung Dimsum yang baru ditubuhkan membolehkan mereka menjana pendapatan meningkatkan kemahiran mereka.
“Ini boleh dikatakan perkembangan usaha saya untuk terus membangkitkan masyarakat. Dari usaha ini, kita membina tenaga belia yang lebih berdikari dan meningkatkan kemahiran untuk masa depan mereka,” katanya.
Bagi Cik Hana Dafina Zulkiffli, 23 tahun dan Cik Eliya Mohamed Fawzi, 21 tahun, pengasas Play4Good, cinta kepada sukan bola lantai dijadikan wadah melakukan kerja kebajikan.
Permainan yang dianjurkan bukan sahaja mengumpul dana untuk inisiatif berlainan seperti badan kemanusiaan, LoveAidSG dan Children’s Aid Society, malah turut melibatkan perniagaan tempatan kecil sebagai rakan kongsi.
“Selain pengumpulan dana untuk usaha-usaha yang memerlukan, kita membantu masyarakat setempat.
“Kita saling bekerjasama dengan perniagaan setempat yang kecil ini dan memberi mereka ruang untuk berniaga semasa acara kita diadakan. Dengan ini kita memberi wadah bagi mereka untuk mengembangkan sayap juga,” jelas Cik Eliya.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pula berkata usaha ini harus dipupuk.
Dr Faishal berkata demikian dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Minggu (BM) pada 19 Ogos, sempena 100 hari beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri itu pada Mei 2025.
Meskipun akur ada banyak inisiatif yang dilahirkan daripada semangat ikhlas, ada yang berdepan dengan cabaran seperti dana dan kesinambungan usaha tersebut.
“Ia adalah penting untuk memantapkan lagi ekosistem yang menghubungkan inisiatif belia dengan agensi dan organisasi yang sesuai, supaya usaha mereka dapat berkembang, diiktiraf, dan memberi kesan berpanjangan,” katanya.
Antara langkah praktikal, pemerintah telah menubuhkan termasuk Pejabat Perkongsian Pemerintah Singapura (SGPO).
SGPO telah ditubuhkan pada 2024 sebagai pusat sehenti bagi rakyat yang mahu berkongsi idea atau memulakan projek akar umbi.
Badan tersebut membantu kumpulan ini mendapatkan dana, bimbingan dan akses kepada rangkaian agensi, agar inisiatif mereka lebih berdaya tahan dan terus berkembang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg