Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah perkenal Anugerah Presiden iktiraf karyawan khidmat sosial

Ia antara empat anugerah sektor sosial yang diumumkan Masagos 
Jan 23, 2025 | 3:55 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri), melancarkan empat anugerah baru yang bertujuan mengiktiraf pelbagai karyawan dalam perkhidmatan sosial semasa Forum ‘Social Service Tribe’ yang diadakan di Hotel Furama Riverfront pada 23 Januari.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri), melancarkan empat anugerah baru yang bertujuan mengiktiraf pelbagai karyawan dalam perkhidmatan sosial semasa Forum ‘Social Service Tribe’ yang diadakan di Hotel Furama Riverfront pada 23 Januari. - Foto ZAOBAO

Beberapa anugerah baru mengiktiraf pelbagai karyawan dalam perkhidmatan sosial, termasuk anugerah tertinggi, Anugerah Presiden bagi Karyawan Perkhidmatan Sosial, telah dilancarkan.

Empat kategori anugerah baru itu – Anugerah Presiden, Anugerah Cemerlang, Anugerah Merit dan Anugerah Kecemerlangan Pasukan – dilancarkan sempena Tahun Meraikan Karyawan Perkhidmatan Sosial.

Diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 23 Januari semasa Forum Social Service Tribe anjuran Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), anugerah baru itu bertujuan meningkatkan pengiktirafan yang diberikan kepada tenaga kerja perkhidmatan sosial yang pelbagai dalam sektor itu.

Anugerah Presiden bagi Karyawan Perkhidmatan Sosial merupakan anugerah tertinggi yang akan diberikan kepada mereka yang telah menunjukkan ciri-ciri cemerlang dan memberi sumbangan yang luar biasa kepada sektor tersebut.

Anugerah Kecemerlangan Pasukan akan mengiktiraf usaha merentas kerjaya dan berasaskan pasukan yang cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan, sekali gus menggalakkan kerjasama merentas sektor.

Anugerah Cemerlang dan Merit pula adalah untuk mengiktiraf individu yang telah memberi sumbangan berkesan kepada sektor perkhidmatan sosial.

Pencalonan bagi anugerah-anugerah yang diberikan pemerintah itu akan dibuka pada 3 Februari. Anugerah akan disampaikan pada separuh kedua 2025.

Ketika menyampaikan ucapannya semasa forum yang diadakan di Hotel Furama Riverfront itu, Encik Masagos menggariskan tiga langkah utama bagi sektor perkhidmatan sosial yang akan diambil pada 2025.

Pertama, pada peringkat sektor, perlu ada imaginasi dan penciptaan semula dalam cara sektor dan perkhidmatannya distrukturkan, mengikut keperluan.

“Sedang keperluan masyarakat dan sektor berubah, kita juga mesti membuat perubahan kepada cara kita beroperasi,” katanya.

Antara lain, Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga (MSF) akan bekerjasama rapat dengan sektor perkhidmatan sosial untuk membayangkan semula landskap perkhidmatan keluarga demi menyokong keperluan keluarga yang berubah dengan lebih baik.

Kedua, pada peringkat agensi, terdapat keperluan mengesan dan membuat penambahbaikan kepada penglibatan pekerja dan persekitaran kerja.

NCSS akan melancarkan platform Tinjauan Penglibatan Pekerja bagi Perkhidmatan Sosial, yang mana melaluinya, agensi perkhidmatan sosial boleh mendapatkan maklum balas pengamal dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.

Ketiga, pada peringkat pengamal, sektor tersebut akan meningkatkan pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang para karyawan.

Ini akan dilakukan melalui empat anugerah baru yang telah dilancarkan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NCSS, Cik Tan Li San, berkata:

“Tahun Meraikan Karyawan Perkhidmatan Sosial serta anugerah sektor baru menandakan peristiwa penting dalam mengiktiraf jiwa sektor perkhidmatan sosial kita.

“Kita bukan sahaja mengakui sumbangan tetapi juga melabur dalam masa depan perkhidmatan sosial di Singapura.

“Sambutan ini juga mengetengahkan kesan bermakna kerjaya dalam perkhidmatan sosial dan merupakan seruan kepada lebih ramai lagi untuk menyertai kami.”

Cik Tan menambah bahawa meskipun bilangan pekerja dalam sektor tersebut telah meningkat daripada 18,000 kakitangan pada 2019 kepada lebih 20,000 hari ini, sekitar lagi 2,000 karyawan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memenuhi permintaan perkhidmatan yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, memberi dorongan kepada karyawan industri itu, Encik Masagos berkata:

“Perjalanan di hadapan pastinya mencabar. Dunia telah berubah dan ia tidak akan kembali kepada apa yang kita sudah terbiasa sebelum ini, tetapi saya yakin sektor perkhidmatan sosial akan bangkit seperti mana telah kita lakukan sebelum ini juga.”

“Perjalanan di hadapan pastinya mencabar. Dunia telah berubah dan ia tidak akan kembali kepada apa yang kita sudah terbiasa sebelum ini, tetapi saya yakin sektor perkhidmatan sosial akan bangkit seperti mana telah kita lakukan sebelum ini juga.”
 Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg