Mutu udara di Singapura bagi tempoh 24 jam mendatang bermula 6 petang pada 6 September diramalkan berada dalam lingkungan antara paras tinggi kategori sederhana hingga tahap rendah paras tidak sihat.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata dalam maklumannya pada 6 September bahawa sehingga 6 petang hari tersebut, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada pada paras sederhana iaitu antara 73 dan 87.

PSI 24 jam bagi kawasan tengah turun kepada 87 pada 6 petang selepas mencatatkan paras tidak sihat pada malam sebelumnya dengan bacaan tertinggi 103 pada 7 malam 5 September, menurut laman web NEA.

Bacaan di kawasan utara (73), selatan (74), timur (86), dan barat (83) juga kekal berada dalam lingkungan paras sederhana setakat jam 6 petang pada 6 Sept.

Mutu udara dianggap tidak sihat apabila bacaan PSI berada pada paras 101 hingga 200.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah sepanjang tempoh ini.

Bacaan PSI antara 51 dan 100 dianggap sederhana, manakala nilai 0 hingga 50 berada dalam paras “baik”.

NEA menyatakan bahawa cuaca cerah dan berangin berlaku di Singapura pada 6 September.

Pihak agensi menambah, berikutan keadaan kering yang berterusan, kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di bahagian selatan dan tengah Sumatra serta Kalimantan Barat terus bertiup ke arah Singapura.

“Meskipun hujan diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Kalimantan, keadaan kering dijangka berterusan di Singapura dan rantau sekitarnya bagi beberapa hari akan datang,” ujar agensi itu.

“Dengan angin lazim bertiup dari arah tenggara atau selatan, risiko jerebu berterusan menjejaskan Singapura masih ada sekiranya kebakaran tersebut berlarutan.”