Singapura mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada tahap tidak sihat setiap hari sejak 5 Oktober – menandakan sudah 12 hari berturut-turut mutu udara buruk berterusan, yang paling lama dialami negara ini sejak krisis jerebu 2015.

Pada tahun tersebut, Singapura mengalami tempoh udara buruk selama 14 hari berterusan antara 23 September hingga 7 Oktober 2015, berdasarkan data sejarah bacaan PSI 24 jam di laman web data pemerintah, Singstat.

Sebagai perbandingan, semasa episod jerebu pada 2019 dan 2023, Singapura mengalami tempoh udara tidak sihat yang lebih singkat, di mana setiap daripadanya berlarutan berbilang hari sahaja.

Mutu udara dianggap tidak sihat apabila bacaan PSI pada mana-mana waktu hari melebihi 100 di mana-mana bahagian di Singapura.

PSI Singapura mempunyai lima julat – baik (0-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (>300).

Berdasarkan nasihat kesihatan yang diselaraskan dengan bacaan PSI, individu sihat perlu mengurangkan aktiviti fizikal biasa sebaik sahaja bacaan PSI mencecah 101 dan ke atas.

Apabila mutu udara dianggap sangat tidak sihat, individu tanpa masalah kesihatan perlu mengelakkan aktiviti fizikal luar yang berpanjangan atau berat. Pada tahap berbahaya pula, individu sihat perlu meminimumkan aktiviti luar.

Indeks mutu udara Singapura pernah melepasi tahap berbahaya pada 2015, dengan bacaan melebihi 300.

Pada 2026, mutu udara sejauh ini telah mencecah tahap sangat tidak sihat.

PSI pertama kali memasuki julat tersebut pada 9 malam, 14 Oktober, dengan bacaan PSI 203 di bahagian barat Singapura.

Mutu udara sangat tidak sihat berterusan, dan PSI di bahagian tengah Singapura berada pada bacaan 226 pada 8 pagi.

Keadaan udara yang semakin memburuk telah mendorong pemerintah melancarkan langkah bantuan baru.

Kelab masyarakat (CC) di seluruh Singapura pada 14 Oktober mula mengagihkan pelitup N95 kepada rakyat Singapura yang layak, termasuk warga emas Generasi Perintis dan Merdeka, keluarga berpendapatan rendah, wanita hamil, kanak-kanak serta pesakit semput.

Bilik berhawa dingin di CC turut dibuka sebagai pusat perlindungan jerebu awam bagi mereka yang memerlukan ruang berehat daripada udara tidak sihat.