Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian menerima jumlah pengunjung tertinggi - seramai 88,200 orang - pada 2024.
Muzium itu, yang merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), biasanya menerima 65,000 pengunjung setahun secara purata.
Ia dijangka menerima lebih ramai pengunjung pada 2025, kerana ia sedang menganjurkan satu siri acara sempena meraikan ulang tahunnya yang ke-10.
Muzium itu, satu-satunya muzium sejarah alam semula jadi Singapura, yang dilancarkan pada 18 April 2015, akan mengadakan rumah terbuka pada 18 Mei.
Ia dijangka menerima maksimum 600 pengunjung pada hari tersebut. Kesemua tiket telah habis dijual pada 18 April, lapor The Straits Times.
Orang dewasa boleh jangkakan lawatan berpandu percuma, manakala kanak-kanak boleh menyertai aktiviti seperti ‘scavenger hunt’ (mencari barangan tersembunyi) dan permainan pendidikan.
Sebuah planetarium ‘pop-up’ baru, yang boleh memuatkan sehingga 15 orang, bakal menjadi daya tarikan semasa acara itu.
Satu penerbitan dalaman selama 15 minit oleh muzium tersebut, berjudul ‘A Journey Through Singapore’s Natural History’ (Satu Perjalanan Menyusuri Sejarah Alam Semula Jadi Singapura), akan dipancarkan ke skrin cekung di planetarium tersebut untuk dinikmati semua pengunjung.
Pegawai pendidikan utama muzium itu, Cik Jharyathri Thiagarajah, berkata:
“Penerbitan asli ini akan mempamerkan ekspedisi laut dalam, penemuan spesies dan kerjasama penyelidikan antarabangsa.”
Sebuah pameran bertajuk, ‘A Decade Of Discovery: Stories From The Lee Kong Chian Natural History Museum’ (Sedekad Penemuan: Kisah-Kisah Dari Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian) akan diadakan dari 7 Mei 2025 hingga 3 Mei 2026.
Ia akan menampilkan koleksi yang bermula sejak tahun 1840-an dan menjelaskan peranan muzium tersebut ketika ini dalam memelihara dan mempamerkan warisan semula jadi rantau ini.
Para pengunjung boleh mendaftar bagi acara malam, ‘Night At The Museum’ dari 30 Mei hingga 6 Jun, di mana mereka boleh menjelajah di sekitar muzium selepas waktu operasi biasa.
Satu pengembaraan paleontologi - kajian tentang fosil haiwan, tumbuhan dan bentuk-bentuk hidupan purbakala - bertemakan rompakan akan berlangsung dari 7 hingga 10 malam, di mana para pengunjung berpeluang memainkan watak detektif dan menyelesaikan misteri fosil dinosaur yang dicuri.
Perayaan tersebut akan diakhiri dengan simposium penyelidikan awam pertama muzium itu pada 6 September.
Ia akan menghimpunkan para penyelidik dan rakyat untuk membincangkan peranan muzium sejarah alam semula jadi itu dalam membentuk penyelidikan dan pemuliharaan.
Pendaftaran bagi acara ‘Night At The Museum’ dan acara simposium penyelidikan itu dibuka pada 18 April.
Maklumat lanjut mengenai pelbagai acara muzium itu boleh didapati di laman webnya.
Sebelum 2015, sejarah alam semula jadi di Singapura telah dikaji di Muzium Negara dan Muzium Kepelbagaian Hayat Raffles (RMBR).
Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan dan Muzium Raffles, yang menjadi institusi awam pada 1878.
Hari ini, muzium tersebut menempatkan lebih sejuta spesimen zoologi, meningkat daripada sekitar 500,000 spesimen semasa ia ditubuhkan pada 2015, kata timbalan ketua muzium itu, Profesor Madya Huang Danwei.
“Dengan meneliti dan membandingkan spesimen dalam Koleksi Rujukan Zoologi, muzium ini telah membantu memajukan penyelidikan pemuliharaan dan saintifik tempatan,” kata Profesor Huang.
“Spesimen ini berfungsi sebagai gambaran sejarah tentang spesies dan ekosistem, membolehkan penyelidik menjejak perubahan dalam taburan spesies, dinamika populasi, dan perubahan ekologi dengan peredaran masa.”
Banyak sampel ini diperoleh melalui tinjauan lapangan di peringkat tempatan dan serantau, seperti Tinjauan Biodiversiti Marin Komprehensif, yang dijalankan dari 2010 hingga 2015, dan bertujuan mencatat biodiversiti marin di Singapura.
Muzium itu juga telah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti hidupan liar baru di seluruh Singapura.
Contohnya, Ikan ‘saddle barb’ (Barbodes sellifer), sejenis ikan air tawar yang berasal dari Semenanjung Tanah Melayu, ditemui di kawasan Hutan Paya Nee Soon pada 2021 dan disifatkan oleh penyelidik muzium ini sebagai spesies baru kepada sains.
Para saintisnya memainkan peranan penting dalam menyunting edisi ketiga Buku Data Merah Singapura, yang mengumpulkan maklumat penting mengenai flora dan fauna Singapura, seperti status pemuliharaannya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketua muzium tersebut, Profesor Madya Darren Yeo, berkata:
“Dengan memberikan penilaian terkini mengenai biodiversiti negara ini, buku ini akan menjadi sumber penting bagi pelbagai inisiatif pemuliharaan pada masa depan.”
Program ‘Aspiring Naturalist’ muzium tersebut, yang dilancarkan pada 2022, menawarkan golongan muda peluang untuk melalui pelbagai bidang dalam sains, seperti entomologi, ornitologi dan pemuliharaan mamalia.
Sehingga kini, program tersebut telah melibatkan lebih 100,000 pelajar melalui program ini dan program pendidikan lain, termasuk bengkel evolusi muzium itu untuk pelajar pengajian tinggi.
Mengenai perancangan muzium tersebut untuk sedekad akan datang, pasukannya berkata ia merancang untuk berkembang - dari segi fizikal dan dalam keupayaan penyelidikan dan jangkauannya.
Kerja menambah baik kemudahan dan sistem muzium tersebut juga sedang dirancang.
“Ini akan membolehkan analisis perbandingan yang lebih kukuh, membantu penyelidik mengenal pasti spesies baru, mengesan perubahan alam sekitar, dan menyokong usaha pemuliharaan dengan lebih berkesan,” kata Profesor Huang.
Profesor Yeo pula berkata bahawa ruang pameran tambahan untuk meningkatkan penglibatan orang ramai akan membolehkan muzium tersebut mempamerkan flora dan fauna Asia Tenggara dengan cara yang lebih berkesan dan pelbagai.
Walaupun taksonomi, atau pengelasan organisma hidup dan pupus, akan kekal sebagai teras penyelidikan muzium itu, Profesor Yeo menekankan keinginan mereka untuk meneroka sempadan baru sains, seperti kecerdasan buatan (AI).
Ia juga akan berusaha memperkukuh kerjasama dengan rakan penyelidik di negara Asean.
Sebagai hab penyelidikan biodiversiti di Asia Tenggara, muzium tersebut akan terus menjalin kerjasama dengan universiti dan institut serantau bagi mencipta peluang, terutamanya untuk para saintis muda yang baru memulakan kerjaya.
Profesor Yeo berkata:
“Melalui penyelidikan dan pendidikan, kami berusaha memberi inspirasi kepada para pelajar dan orang ramai, untuk memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap isu biodiversiti dan alam sekitar.
“Akhirnya, kami berusaha memastikan bahawa biodiversiti kekal relevan dalam kehidupan generasi sekarang dan akan datang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg