Buat julung-julung kalinya, satu pameran yang menonjolkan karya seni Islam daripada tiga empayar besar termasuk empayar Mughal, Safawiyyah dan Uthmaniyah dari abad ke-16 hingga 18 bakal diadakan.

Dengan judul, Crosscurrents: Masterpieces of Mughal, Safavid, and Ottoman Art from the Musée du Louvre, pameran itu bakal berlangsung di Muzium Tamadun Asia (ACM) dari 19 Jun ini hingga 24 Januari 2027.

Ia merupakan hasil kerjasama sulung antara ACM dengan Musée du Louvre di Paris, Perancis, antara muzium tertua dan terbesar di dunia.

Menjelaskan tentang kerjasama baru yang diadakan dalam sesi pratonton media pada 16 Jun, Pengarah Jabatan Seni Islam di Musée du Louvre, Dr Souraya Noujaim, berkata:

“Hubungan antara dua institusi ini (Louvre dan ACM) memang sudah terbina.

“Namun, ia merupakan sesuatu yang jelas untuk bekerjasama dengan ACM kerana koleksi naratif kurasi mereka berlegar di sekitar persoalan penukaran silang budaya.

“Justeru, ini sangat selaras dan bertepatan dengan apa yang ingin saya bangunkan di Jabatan Seni Islam di Louvre.”

Menurut Pengarah Jabatan Seni Islam di Musée du Louvre, Dr Souraya Noujaim, koleksi naratif kurasi ACM berlegar di sekitar penukaran silang budaya. Hal tersebut selaras dengan apa yang ingin beliau bangunkan di Jabatan Seni Islam di Louvre.
Menurut Pengarah Jabatan Seni Islam di Musée du Louvre, Dr Souraya Noujaim, koleksi naratif kurasi ACM berlegar di sekitar penukaran silang budaya. Hal tersebut selaras dengan apa yang ingin beliau bangunkan di Jabatan Seni Islam di Louvre. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sebanyak 100 karya daripada koleksi seni Islam di Louvre akan diatur seiring 30 karya Asia Tenggara daripada ACM.

Pameran itu bakal menyelongkar bagaimana penghijrahan, perdagangan dan penukaran budaya dari Istanbul dan Isfahan ke Delhi dan Asia Tenggara, membentuk dunia kosmopolitan.

Pada abad ke-16 hingga 18, ketiga-tiga empayar Islam itu telah menghasilkan karya seni Islam yang cukup menakjubkan.

Seniman tiga empayar tersebut, malahan, telah menyulam pengaruh kesenian dari Eropah dan China dalam seni yang direka seperti cawan, tembikar dan seni penulisan atau persuratan.

Unsur yang diterapkan dalam penghasilan seni mereka telah diolah membentuk seni Islam yang baru pada zaman itu.

Malah, nilai estetika dalam seni yang dihasilkan tiga empayar itu turut merentasi rantau Asia Tenggara.

Secara tidak langsung, ia meresap dalam wajah seni Islam di rantau ini dan diolah menjadi bentuk identiti seni tersendiri.

Antara yang dipaparkan dalam sesi pratonton tersebut ialah reka bentuk Kitab Maulid yang berasal dari dunia Melayu dan mempunyai pengaruh daripada reka bentuk dalam kitab syair Parsi daripada empayar Safawiyyah.

Antara seni Islam dari dunia Melayu yang dipengaruhi empayar Safawiyyah ialah Kitab Maulid, yang mempunyai reka bentuk dan format penulisan yang hampir serupa dengan Kitab Syair Parsi.
Antara seni Islam dari dunia Melayu yang dipengaruhi empayar Safawiyyah ialah Kitab Maulid, yang mempunyai reka bentuk dan format penulisan yang hampir serupa dengan Kitab Syair Parsi. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Maka, dengan koleksi Louvre dan Asia Tenggara ACM yang disusun bersama, pameran Crosscurrents: Masterpieces of Mughal, Safavid, and Ottoman Art from the Musée du Louvre itu ingin memaparkan kesinambungan antara karya agung yang tercipta dahulu.

Ketika ditanya tentang kepentingan dan kaitan pameran seni Islam itu dalam konteks Singapura yang berbilang kaum, Timbalan Pengarah dan Kurator Utama Seni Islam di ACM, Cik Noorashikin Zulkifli, ingin menonjolkan tentang keterbukaan dunia Islam dalam mengambil pengaruh daripada budaya lain.

“Dunia Islam ini bukan dunia yang tertutup.

“Memang ada perhubungan yang dapat dilihat antara budaya Islam dengan budaya masyarakat atau kaum lain melalui seni yang dihasilkan.

“Saya berharap pengunjung pameran ini dapat mengambil keterbukaan sebagai satu sikap yang harus diteladani.

“Saya juga ingin masyarakat sedar campuran budaya itu bukan satu ancaman tapi satu kekuatan,” katanya.

Timbalan Pengarah dan Kurator Utama Seni Islam di ACM, Cik Noorashikin Zulkifli, berkongsi pameran itu membuktikan tentang keterbukaan dunia Islam dalam mengambil pengaruh daripada budaya lain.
Timbalan Pengarah dan Kurator Utama Seni Islam di ACM, Cik Noorashikin Zulkifli, berkongsi pameran itu membuktikan tentang keterbukaan dunia Islam dalam mengambil pengaruh daripada budaya lain. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sebagai sesuatu yang baru di Asia Tenggara, seni Islam yang diperkenalkan dengan lebih luas di Singapura secara tidak langsung melalui pameran itu dapat meningkatkan minat dan kegiatan sekitar kesenian Islam.

“Dengan kerjasama ini, karya-karya seni Islam dapat dibawa dan diperkenalkan kepada masyarakat Asia Tenggara.

“Harapan saya adalah agar usaha ini dapat membuka pintu kepada penggalian dan kajian tentang seni Islam yang lebih mendalam oleh golongan pelajar, pengkaji dan akademik,” tambah Dr Souraya.