Tempahan ibadah korban yang dijalankan syarikat Singapura sudah bermula dengan setiap syarikat menawarkan harga dimampui bakal Sahibul Korban, iaitu orang yang melakukan ibadah korban.

Kebanyakan syarikat itu mengendalikan ibadah korban di negara yang terdapat golongan miskin yang mengharapkan bantuan makanan.

Antara syarikat itu ialah Muhd Zuhaili Services (MZ Services). Pengasas, yang juga Pengarah MZ Services, Encik Muhammad Zuhaili Sabudin, berkata: “Kami akan bekerjasama dengan Liga Belia Islam Antarabangsa Asia (International Islamic Youth League Asia, atau IIYL Asia) bagi mengendalikan ibadah korban 2026.

“Ini kerjasama kali ketiga antara MZ Services dan IIYL. Matlamat utama kami bukan setakat memastikan ibadah korban itu dapat dilaksanakan dengan jayanya, bahkan memastikan pelaksanaannya benar-benar mematuhi tuntutan syariah.

“Dalam satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan IIYL, mereka mendapati banyak penyelewengan berlaku dalam pelaksanaan ibadah korban. Ini termasuk penjualan anak kambing untuk ibadah korban. Ini salah dan melanggar syariah. Oleh itu, IIYL berusaha memastikan perkara sedemikian tidak berlaku lagi.”

Gabungan MZ Services dan IIYL menumpukan pelaksanaan ibadah korban di Afrika, India, Indonesia dan Kemboja.

“Kami akan mengendalikan ibadah korban di Ghana dan Uganda (Afrika); Kampot (Kemboja); Medan dan Jakarta, khususnya bersama Yayasan Sheikh Ali Jaber (Indonesia); dan Tamil Nadu (India).

“Matlamat utama kami ialah daerah-daerah pedalaman yang terdapat ramai orang memerlukan,” ujar Encik Zuhaili, yang juga pengerusi IIYL Asia.

Haiwan korban dibeli di negara ibadah itu dilaksana.

MZ Services dan IIYL melantik seorang wakil sebagai saksi bagi setiap kawasan untuk memastikan penyembelihan haiwan korban dijalankan dengan sempurna dan, yang paling utama, mengikut syariah.

Selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban, MZ Services turut melakukan kerja amal seperti menyediakan makanan asas bagi golongan memerlukan secara tetap, termasuk pada Ramadan.

SEKILAS

Bagi anda yang ingin melaksana ibadah korban melalui Muhd Zuhaili Services (MZ Services), hubungi talian 8491-8085 atau lungsuri laman Facebook mereka, Muhd Zuhaili.