Pemandu yang melarikan diri dari tempat kejadian nahas di Tampines yang mengorbankan seorang penunggang motosikal dan juga isterinya yang sedang hamil, didapati memandu kenderaan itu meskipun telah digantung lesen memandu sehingga Mac 2032.

Menurut kertas tuduhan yang dilihat oleh The Straits Times (ST) pada 3 November, Muhammad Zulfiqar Abdul Aziz, 30 tahun, memandu kereta tersebut meskipun sedang menjalani tempoh penggantungan kelayakan memandu selama enam tahun dari Mac 2026 hingga Mac 2032.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan bahawa dia pernah disabitkan kesalahan pada dua kejadian berasingan kerana memandu semasa tempoh penggantungan kelayakan memandu – iaitu pada November 2021 dan Julai 2025.

Zulfiqar didakwa memandu secara bahaya dan gagal mengawal kenderaan dengan baik semasa membelok ke kiri.

Tindakannya itu menyebabkan kereta berkenaan merempuh pembahagi jalan serta penghadang besi lalu memasuki laluan trafik bertentangan, sebelum merempuh sebuah motosikal dan sebuah kereta lain.

Kenderaan-kenderaan tersebut ketika itu sedang bergerak di sepanjang Tampines Avenue 8 menghala ke Pasir Ris Drive 8.

Zulfiqar dikenakan sembilan tuduhan pada 31 Oktober.

Ia merangkumi memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian; memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan; serta memandu semasa tempoh penggantungan kelayakan memandu.

Dia turut dikenakan tuduhan gagal berhenti selepas kemalangan dan gagal menghulurkan bantuan selepas kemalangan.

Tuduhan lain termasuk menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans; menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya; menggunakan kenderaan tanpa lesen, serta mempamerkan nombor plat palsu.

Kemalangan pada 29 Oktober itu berlaku sekitar 10.35 malam.

Penunggang motosikal dan pembonceng – isterinya yang sedang hamil – disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital. 

Pasangan yang kedua-duanya berusia 24 tahun itu meninggalkan seorang anak lelaki berumur enam tahun.

Nama mereka tidak boleh didedahkan berikutan perintah sekatan untuk melindungi anak mereka.

Ahli keluarga mangsa memberitahu ST bahawa pasangan tersebut sedang menantikan kelahiran cahaya mata kedua mereka.

Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan bersebelahan satu sama lain di Pusara Aman, Choa Chu Kang, pada 30 Oktober.

Zulfiqar tidak ditawarkan ikat jamin selepas hakim mendapati wujud risiko melarikan diri. 

Kesnya akan disebut semula pada 27 November.

Individu yang disabitkan kesalahan memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjara sehingga lapan tahun.

Manakala, mereka yang disabitkan kesalahan menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $20,000.