Naib Perdana Menteri China, Encik Ding XueXiang, membuat lawatan rasmi ke Singapura dari 10 hingga 11 November 2024.
Semasa di sini, Encik Ding bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Dalam pertemuan itu, pemimpin kedua-dua pihak mengesahkan hubungan yang terjalin lama dan erat antara Singapura dengan China.
Dalam satu kenyataan pada 11 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata lawatan Encik Ding bertepatan dengan peristiwa penting Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-20 yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong dan Encik Ding.
Lawatan Encik Ding, yang menandakan satu langkah penting dalam hubungan dua hala, termasuk jamuan makan malam yang dihoskan Encik Gan pada 10 November, dan makan tengah hari yang dihoskan Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, pada 11 November.
Perbincangan itu menggariskan perkembangan positif kerjasama antara Singapura dengan China yang merentasi pelbagai bidang.
Bidang tersebut termasuk hubungan perdagangan dan ekonomi, hubungan digital dan kewangan, kemampanan, inovasi, makanan dan pertanian, kerjasama perundangan dan kehakiman, pendidikan, kesihatan, serta pertukaran antara rakyat.
Tuan Presiden, Encik Wong, Encik Teo dan Encik Gan saling bertukar pandangan dengan Encik Ding mengenai cara memperkukuh hubungan dua hala.
Mereka turut membincangkan kemajuan tiga projek antara pemerintah iaitu Taman Perindustrian Suzhou China-Singapura yang menyambut ulang tahun ke-30 pada 2024, Ekobandar Tianjin China-Singapura, dan Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing).
Dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Singapura dengan China pada 2025, pemimpin kededua pihak menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama selaras dengan keutamaan pembangunan masing-masing.
Di samping itu, para pemimpin bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran yang menjejas ekonomi sejagat.
Lawatan itu merupakan lawatan pertama Encik Ding ke Singapura sebagai naib perdana menteri dan pengerusi bersama JCBC.
Sementara itu, mesyuarat dwitahunan itu pula diketuai Encik Gan buat kali pertama.
Mesyuarat itu diadakan secara bergilir di Singapura dan China.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg