Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Hubungan S’pura-China ‘titik cerah’ dalam dunia tidak menentu

Kededua negara sambut ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik pada 2025
Sep 9, 2024 | 6:40 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri), bertemu dengan Menteri Luar China, Encik Wang Yi (kanan), di Rumah Persinggahan Negara Diaoyutai di Beijing pada 9 September.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri), bertemu dengan Menteri Luar China, Encik Wang Yi (kanan), di Rumah Persinggahan Negara Diaoyutai di Beijing pada 9 September. - Foto ST

BEIJING: Hubungan baik antara Singapura dengan China adalah “titik cerah” dalam dunia yang kurang menentu, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, kepada rakan sejawatan dari China, Encik Wang Yi, di Beijing pada 9 September.

Dalam pertemuan dua hala di Rumah Persinggahan Negara Diaoyutai, Dr Balakrishnan berkata peningkatan hubungan pada 2023 mencerminkan “hubungan yang unik, lama, dan sangat erat antara kededua negara kita”.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau menyebut bahawa 2025 akan menandakan ulang tahun ke-35 sejak hubungan diplomatik diwujudkan, dan mengakui komen awal Encik Wang bahawa Singapura “berjaya menyelesaikan peralihan kepimpinan” pada Mei, lapor akhbar The Straits Times.

Encik Lawrence Wong telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei, selepas Menteri Kanan Lee Hsien Loong meletakkan jawatan setelah dua dekad menggalas tanggungjawab itu.

“PM Lawrence Wong komited – dan saya sampaikan ucapan beliau kepada anda — untuk meningkatkan dan memperdalam hubungan kami dengan China,” kata Dr Balakrishnan.

Singapura dan China menaik taraf hubungan kedua-dua negara kepada “perkongsian serba lengkap, bermutu tinggi, dan berorientasikan masa depan” pada April 2023, apabila Encik Lee, yang ketika itu masih menjadi Perdana Menteri, bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, di Beijing.

Dr Balakrishnan berada di Beijing dalam rangka lawatan rasmi dua hari, dan disertai Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, dan pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Agenda yang dibentangkan termasuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan membincangkan kemungkinan aktiviti memperingati ulang tahun ke-35 pada 2025, sejak hubungan diplomatik antara kededua negara diwujudkan.

Kali terakhir Dr Balakrishnan melawat China ialah pada Februari 2023.

Dalam mesyuarat pada 9 September, Dr Balakrishnan berkata Singapura amat menantikan lawatan Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, untuk mempengerusikan bersama mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) di Singapura pada akhir 2024.

“Ini adalah JCBC yang ke-20, dan ia juga merupakan acara yang sangat penting untuk diperingati.

“Selain menilai projek-projek yang telah kita jalankan bersama pada masa lalu, kita juga akan meneroka bidang-bidang baru dan yang sedang berkembang,” kongsi Dr Balakrishnan.

JCBC adalah sebuah wadah peringkat tertinggi tahunan antara Singapura dengan China. 

Encik Wang, yang dalam ucapan pembukaan sebelum itu menyambut Dr Balakrishnan sebagai “rakan lama”, berkongsi bahawa “keadaan antarabangsa semasa tidak menentu, dan rantau kita juga berhadapan dengan beberapa punca ketidakstabilan”.

“Justeru, China dan Singapura, sebagai dua kekuatan kestabilan, perlu sentiasa mengukuhkan penyelarasan strategik dan komunikasi kita,” kongsi beliau.

Menurut Encik Wang, Singapura merupakan salah satu negara pertama yang menyertai dan bersepadu dengan pembaharuan dan proses pembukaan China.

“Kami bersedia memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan masing-masing dengan Singapura, dan benar-benar melaksanakan penetapan baru hubungan kita sebagai perkongsian serba lengkap, bermutu tinggi, dan berorientasikan masa depan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg