Meskipun tiada pusingan atau lencongan yang membawa anda tergantung di udara buat sementara, rasa menaiki kenderaan Light Strike Vehicle Mark II, atau LSV (Kenderaan Tempur Ringan), terasa seperti menaiki ‘roller-coaster’.
Walaupun saya suka menaiki ‘roller-coaster’, saya perlu waktu untuk mengerah keberanian untuk menaiki kenderaan yang agak menggerunkan.
Tetapi alhamdulillah, menaiki LSV agak mengagumkan sambil saya dapat rasakan kesinambungan kelajuan dan kestabilannya sepanjang empat minit menaiki kenderaan berlogam yang agak lasak itu.
Dalam satu acara media bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 yang diadakan di Padang, saya berpeluang menaiki kenderaan itu.
Apa yang menarik adalah kenderaan LSV itu adalah antara 40 aset yang akan membuat penampilan dalam segmen Pertunjukan Pertahanan Dinamik sempena meraikan ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak (TD40).
Sementara menunggu giliran saya menaiki kenderaan LSV, saya melihat dari mata kasar keadaan LSV yang kelihatan lasak.
Disebabkan faktor seperti kelajuan dan kestabilan ditekankan dalam rekaan kenderaan itu, fungsinya diutamakan daripada keselesaan.
Tempat duduk dalam kenderaan LSV tidak mempunyai banyak lapik. Terdapat dua penumpang lain serta seorang pegawai askar yang mengendalikan kenderaan LSV.
Mereka mengaturkan hanya empat orang sahaja – termasuk pegawai askar – untuk setiap sesi menaiki kenderaan LSV.
Terdapat empat tempat duduk di dalam – tiga di bahagian depan dan satu di bahagian belakang.
Pemandu LSV akan duduk di bahagian tengah iaitu pegawai askar, sementara saya duduk di tempat penumpang kenderaan di bahagian kanan pemandu.
Dengan sistem ampaian kenderaan yang cukup tinggi, ia memerlukan sedikit ketangkasan untuk masuk dan keluar dari LSV itu.
Pemandangan dari tempat duduk saya agak terhad berbanding pemandangan pemandu.
Dengan pemasangan mesingan yang terletak di hadapan saya, ia membawa ingatan saya kembali ke alam bermain permainan video seperti Call of Duty.
Dengan mengenakan topi keledar hijau dan pelindung mata, saya mendengar taklimat keselamatan disampaikan pegawai askar.
Dengan kuasa dan kelajuan LSV semasa bergerak, saya memegang kuat kepada abah-abah yang disarungkan sambil menjangkakan vektor pecutan atau ‘G-Force’ sepanjang saya dalamnya, dengan bunyi enjin kenderaan yang cukup ketara.
Satu detik mengalami G-Force adalah ketika pegawai askar memandu LSV ke arah selekoh ketat.
Saya agak risau ketika itu, takut tercampak keluar daripada kenderaan, lalu mengetatkan cengkaman saya pada abah-abah.
Dengan kemahiran pegawai askar yang cukup handal, LSV itu menggelincir secara terkawal melalui selekoh itu dan tayar berciut menghentikan LSV.
Kenderaan LSV boleh diangkat ke medan perang menggunakan helikopter dan dilengkapi dengan transmisi automatik yang membolehkannya bergerak hingga kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) untuk jarak maksimum 500 kilometer.
Semasa sesi empat minit itu, penumpang diarah melaksanakan beberapa arahan semasa pegawai askar memandu LSV.
Antaranya, kami perlu memegang kuat kepada abah-abah sambil menundukkan kepala ke arah dada apabila pegawai askar memberi arahan.
Menaiki kenderaan tersebut adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Saya dapat bayangkan bagaimana askar mengendalikan kenderaan dengan kelajuan tinggi dan berkuasa.
Memandangkan peranan LSV sebagai kenderaan tempur, saya kira keselesaan mungkin bukan perkara utama, lebih penting ialah prestasi.
Ternyata LSV tangkas bergerak lancar di Padang, namun sistem ampaian kenderaan LSV direka khas untuk bergerak di rupa bumi kasar juga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg