Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 bakal menampilkan segmen Pertunjukan Pertahanan Dinamik (D3) di Padang buat pertama kali untuk meraikan ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak (TD40).
Dalam satu kenyataan media pada 21 Jun, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata segmen tersebut menghimpunkan aset dan kakitangan merentasi pelbagai agensi untuk “menyerlahkan spektrum menyeluruh bagi keupayaan kecemasan dan pertahanan Singapura”.
Ini setelah 40 peralatan dan lebih 400 peserta daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Pasukan Polis Singapura (SPF), Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta agensi pemerintah dan bukan pemerintah bersatu untuk menjayakan segmen tersebut, tambah Mindef.
Berkongsi kepada pihak media dalam sesi taklimat pada 21 Jun di National Gallery Singapore, Pengerusi TD40 D3, Mejar (MAJ) Eugene Ng, berkata:
“TD40 D3 membentuk adegan kedua NDP 2024 dengan tajuk ‘Bersama, Kita Kekal Memperteguhkan Singapura’.
“Ini mencerminkan fokus sama (yang dikongsi) dan bertujuan memaparkan keupayaan kita bersama untuk mempertahankan Singapura terhadap ancaman dan cabaran yang kita hadapi.
“Perwakilan meluas (berbilang agensi) ini menggariskan kepentingan keenam-enam tonggak Pertahanan Mutlak untuk bersatu dan bekerjasama bagi melindungi negara kita.”
Terdapat enam tonggak Pertahanan Mutlak iaitu Ketenteraan, Sivil, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi.
Taklimat tersebut diadakan bagi memberi perincian tentang segmen TD40 D3 dan acara Perbarisan dan Upacara (P&C), yang dikongsi Pengerusi P&C, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Anthony Lau.
Mindef menjelaskan segmen TD40 D3 akan turut menyerlahkan beberapa aset dan peralatan yang membuat penampilan umum buat pertama kali – antaranya Mesingan Ringan (LMG) SAF dan kenderaan Pengangkut Palang Merah Singapura.
Dalam satu catatan Facebook SAF pada 20 Mei, senjata LMG jenis Senapang Automatik Colt Infantry (IAR) 6940E-SG telah diperkenalkan secara beransur-ansur kepada anggota tentera sejak 24 April bagi menggantikan Senjata Automatik Seksyen (SAW) Ultimax 100, yang telah digunakan sejak 1982.
Kenderaan Pengangkut Palang Merah Singapura pula digunakan untuk menyokong latihan kecemasan sivil dan pengurusan bencana dengan berfungsi sebagai pengangkutan bagi sukarelawan dan menghantar barangan keperluan.
“Melalui usaha bersama ini, kita boleh memastikan Singapura kekal berdaya tahan,” tambah MAJ Ng.
Sementara itu, acara P&C NDP 2024 akan menampilkan lebih 2,100 peserta daripada pelbagai latar belakang berbeza, jelas Mindef.
Ia menambah bahawa sebanyak 35 kontinjen perbarisan, termasuk 24 kontinjen mewakili kumpulan belia, sosial ekonomi, akan berbaris dalam P&C, yang diketuai Komander Perbarisan, Leftenan Kolonel (LTC) Roger Cheong.
SLTC Lau berkata: “Tumpuan utama bagi P&C tahun ini adalah individu daripada pelbagai latar belakang bersatu, tanpa mengira bangsa, bahasa, atau agama, untuk mempertahankan tanah air kita sebagai satu masyarakat bersatu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg