Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naik kuda padi, tonton teater dongeng bersama keluarga

Sep 10, 2024 | 5:30 AM
Kanak-kanak berpeluang menunggang kuda padi dan memberi kuda makan di karnival amal Kelab Polo Singapura pada 15 September.
Kanak-kanak berpeluang menunggang kuda padi dan memberi kuda makan di karnival amal Kelab Polo Singapura pada 15 September. - Foto KELAB POLO SINGAPURA

Jadikan masa bersama keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.

Karnival amal Kelab Polo Singapura

Kanak-kanak boleh menunggang kuda padi, memberi kuda makan dan bermain permainan di karnival Kelab Polo Singapura pada 15 September.

Kelab yang terletak di Mount Pleasant Road, di kawasan Upper Thomson itu akan dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 6 petang.

Si kecil juga boleh menunggang kereta api untuk kanak-kanak mengelilingi gerai makanan yang menawarkan burger Ramly, kebab dan kerepek nachos.

Beli buku kupon yang bernilai $50 untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan yang diadakan.

Wang yang terkumpul akan disalurkan ke Dana Jangkauan kelab itu bagi memberi manfaat kepada empat pertubuhan: Persatuan Bantuan Kanak-kanak; Gateway Arts; Persatuan Distrofi Otot (Singapura); dan Misi Tindakan Kebajikan Sunshine, juga dikenali sebagai Swami Home.

Selain itu, anda sekeluarga juga boleh menyaksikan kejohanan mendebarkan yang menampilkan pemain junior dan senior dari Akademi Polo Atoms serta pemain berpengalaman yang bersaing untuk merebut trofi kejuaraan.

Lungsuri pautan, bit.ly/SPCOutreach untuk maklumat lanjut.

Pemasangan bercahaya bertema Donald Duck di VivoCity

Sambutan ulang tahun ke-90 Donald Duck akan diteruskan di VivoCity.

Sertai pesta watak Disney kesayangan itu di Sky Park tingkat tiga pusat beli-belah tersebut hingga 22 September.

Acara percuma itu menampilkan enam pemasangan tiga dimensi (3D) bertema pantai, seperti terowong yang diperbuat daripada pelampung bersaiz besar dan bot bertema watak Donald setinggi 7.5 meter.

Anda juga dapat melihat paparan anak-anak saudaranya iaitu Huey, Dewey dan Louie, serta rakan-rakannya seperti Daisy Duck, Chip dan Dale.

Pesta itu dibuka dari 10 pagi setiap hari dan lampu berwarna-warni dinyalakan dari 6 petang hingga 10 malam.

Nikmati paparan bercahaya Donald Duck dan rakan-rakannya di Sky Park VivoCity hingga 22 September.
Nikmati paparan bercahaya Donald Duck dan rakan-rakannya di Sky Park VivoCity hingga 22 September. - Foto VIVOCITY

Pusat beli-belah VivoCity juga telah mengadakan kegiatan hari jadi untuk peminat Donald Duck semasa cuti sekolah Jun.

Kali ini, pemasangan bercahaya itu bertepatan dengan Pesta Kuih Bulan.

Barangan dan kuih bulan bertema Disney juga boleh didapatkan di tingkat satu.

Lungsuri laman web, vivocity.com.sg untuk butiran lanjut.

Teater Jack And The Beanstalk

Fee-fi-fo-fum – kisah dongeng Jack And The Beanstalk akan dihidupkan kembali di Black Box, Pusat Drama, dari 14 hingga 22 September.

Penerbitan oleh syarikat teater kanak-kanak yang berpangkalan di Britain, Lyngo Theatre, itu kali terakhir dipentaskan di tempat yang sama pada 2016.

Tonton pementasan teater, ‘Jack And The Beanstalk’, di Black Box, di Pusat Drama dari 14 hingga 22 September.
Tonton pementasan teater, ‘Jack And The Beanstalk’, di Black Box, di Pusat Drama dari 14 hingga 22 September. - Foto ALEX BRENNER

Pertunjukan sejam itu mengikuti perjalanan luar biasa Jack di atas awan selepas beliau menukar lembunya dengan lima kacang ajaib.

Pementasan teater itu disyorkan untuk keluarga dengan kanak-kanak berumur tiga hingga lapan tahun.

Tiket berharga $35 seorang untuk pertunjukan pada hari biasa dan $48 pada hujung minggu.

Persembahan itu disampaikan oleh Act 3 International Singapura.

Lungsuri laman web, str.sg/ud43 untuk butiran lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg