Perbuatan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, melaga-lagakan masyarakat kaum dan agama yang berbeza di Singapura melalui kandungan media sosialnya telah melampaui batas, dan oleh itu, tindakan polis menyekat akaun TikTok dan Facebooknya adalah wajar, kata pemerhati masyarakat.
Pemerhati yang dihubungi Berita Harian (BH) rata-rata berkata berita mengenai sekatan dan pemansuhan akaun di TikTok dan Facebook bernama ‘The Inquiry’ kendalian Zulfikar itu adalah langkah perlu kerana ia berpotensi menjejas perpaduan masyarakat majmuk Singapura.
Pada 26 November, polis telah mengeluarkan arahan sekatan dan pemansuhan ke atas akaun di TikTok dan Facebook menggunakan nama, ‘The Inquiry’, kendalian Zulfikar, yang telah melepaskan kerakyatan Singapura miliknya pada 2020 dan kini merupakan warga Australia.
Ini bagi menangani kiriman media sosial dalam akaun Zulfikar, yang “berulang kali terus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap masyarakat Cina di Singapura”, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya.
Kandungan media sosial tersebut juga telah mencetuskan perasaan permusuhan, kebencian dan niat jahat, menghina dan mencemuh kumpulan kaum dan agama berbeza di Singapura, tambah MHA.
Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata apa yang dilakukan Zulfikar melampaui batas, dan kesannya berbahaya kerana ia menimbulkan kesangsian dan ketegangan antara masyarakat Melayu dengan Cina, mahupun antara golongan Muslim dengan bukan Muslim.
Misalnya, Zulfikar, dalam satu video TikToknya pada 19 Jun 2025, mendakwa secara palsu bahawa orang Melayu/Islam dipaksa meninggalkan Islam dan berasimilasi dengan masyarakat Cina di Singapura.
“Dalam erti kata lain, beliau mempolitikkan identiti kaum dan agama bagi agenda beliau yang antipemerintah,” jelas Encik Imran.
Beliau menambah bahawa sebagai rakyat Australia, adalah tidak wajar bagi Zulfikar melakukan demikian kerana ia merupakan campur tangan yang akan memecahbelahkan masyarakat Singapura.
Apatah lagi, naratif Zulfikar digunakan oleh ejen-ejen politik luar negara, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meluaskan jangkauan pengikut media sosial.
Ditanya apakah langkah yang diambil polis itu berpotensi mengekang perbincangan politik di sini, Encik Imran berkata beliau tidak melihat tindakan itu sebagai melenyapkan perbincangan atau kritikan.
“Kita mempunyai ruang untuk menyatakan masalah yang melanda masyarakat dan kadangkala, kita juga boleh mengkritik dasar yang kita rasa merugikan masyarakat.
“Namun, ini harus dilakukan secara adil dan munasabah,” tekan beliau.
Sementara itu, pengamal dan penyokong dialog antara agama, Cik Nazhath Faheema, berkata naratif Zulfikar berisiko memperdalam salah faham dengan memberikan tafsiran yang terlalu ringkas tentang dinamik sosial yang rumit, dengan mesej sedemikian boleh meranapkan kepelbagaian dalam masyarakat dan secara tidak sengaja menggalak syak wasangka.
Satu lagi kebimbangan adalah penggunaan analogi Zulfikar yang diambil daripada konflik asing untuk mentafsirkan konteks Singapura.
Apabila digunakan secara longgar, perbandingan itu menimbulkan keraguan dalam hubungan tempatan yang, dalam praktiknya, dibina atas kepercayaan, semangat kejiranan dan kewujudan bersama untuk jangka panjang, tambah Cik Nazhath.
“Kita mempunyai ruang di Singapura untuk kritikan dan pertentangan pendapat.
“Tetapi kita tidak boleh membiarkan retorik yang memecahbelahkan masyarakat, memberikan motif kepada seluruh kumpulan, atau menggalak kita untuk melihat satu sama lain melalui lensa yang dipinjam daripada konflik yang jauh,” kata beliau dalam hantaran Facebooknya.
Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, pula berkata langkah sekatan oleh polis itu adalah wajar, sambil menambah bahawa sebahagian besar masyarakat Melayu/Islam bersetuju bahawa kenyataan Zulfikar tidak mewakili masyarakat tersebut.
“Mesejnya bersifat memecahbelahkan dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat lain di Singapura yang memandang masyarakat Melayu/Islam. Ini boleh menjejas keharmonian antara kaum yang kita miliki dan cuba kita lindungi,” kata beliau.
“... saya fikir adalah penting terdapat tindakan ini bagi memastikan kenyataan yang memecahbelahkan dan berpotensi mengganggu kestabilan negara oleh seorang warga asing tidak menjadi sebahagian daripada naratif tempatan kita,” tambah Encik Abdul Rahman.
“
“Kita mempunyai ruang di Singapura untuk kritikan dan pertentangan pendapat. Tetapi kita tidak boleh membiarkan retorik yang memecahbelahkan masyarakat, memberikan motif kepada seluruh kumpulan, atau menggalak kita untuk melihat satu sama lain melalui lensa yang dipinjam daripada konflik yang jauh.”“
“Mesejnya bersifat memecahbelahkan dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat lain di Singapura yang memandang masyarakat Melayu/Islam. Ini boleh menjejas keharmonian antara kaum yang kita miliki dan cuba kita lindungi... saya fikir adalah penting terdapat tindakan ini bagi memastikan kenyataan yang memecahbelahkan dan berpotensi mengganggu kestabilan negara oleh seorang warga asing tidak menjadi sebahagian daripada naratif tempatan kita.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg