Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siapakah Zulfikar Mohamad Shariff, individu di sebalik akaun TikTok, FB ‘The Inquiry’?

Nov 26, 2025 | 12:00 PM
Zulfikar, TikTok, Facebook
Zulfikar Mohamad Shariff pernah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2016 atas kegiatan berkaitan pengganasan dan juga kerana menyebabkan sekurang-kurangnya dua warga Singapura lain menjadi radikal. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK THE INQUIRY

Zulfikar Mohamad Shariff pernah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2016 atas kegiatan berkaitan pengganasan dan juga kerana menyebabkan sekurang-kurangnya dua warga Singapura lain menjadi radikal.

Pada 2013, dia menubuhkan kumpulan dalam talian yang bernama Al-Makhazin dan menggunakan Facebook untuk mewujudkan pelbagai wadah Al-Makhazin dengan tujuan mencabar media Barat.

Antara lain, Zulfikar membuat pelbagai kiriman media sosial yang mempromosi dan mengagung-agungkan kumpulan pengganas ISIS dan tindakan ganasnya.

Rekod Zulfikar bermula seawal 2002 apabila dia mencabar pemimpin Muslim arus perdana dan menghasut supaya murid perempuan di sekolah rendah dibenarkan memakai tudung.

Dia meninggalkan Singapura dan telah menetap di Australia bersama keluarganya sejak 2002 setelah berlaku persengketaan di sini bersama pemimpin Muslim dan pihak berkuasa.

Zulfikar kini seorang rakyat Australia setelah melepaskan kerakyatan Singapura miliknya pada 2020.

Zulfikar juga merupakan individu di sebalik akaun Facebook ‘Fikrah Siyasah’ dahulu, yang telah membuat kiriman dengan dakwaan tidak berasas yang memberi gambaran tidak tepat tentang Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selain mencemarkan nama baik beberapa ulama setempat.

Antaranya, kirimannya itu mendakwa bahawa RRG telah ditubuhkan oleh dua asatizah atas “arahan dan galakan” dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) untuk bersekongkol dan “berkhidmat” kepada ISD dan bukan untuk individu yang pernah ditahan di bawah ISA, selain “membenarkan penahanan tanpa pembicaraan” – sesuatu yang dibidas tegas oleh RRG.

Semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Zulfikar melalui akaun Facebook dengan nama ‘Zai Nal’ menuduh beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, sambil berkata masyarakat Islam setempat tidak memerlukan seorang lagi AP Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka.

Beliau antara beberapa warga asing yang kiriman Facebook mereka disekat kerana menyasarkan rakyat Singapura dan merupakan satu bentuk masuk campur dalam ehwal dalaman negara.

Terkini, akaun ‘The Inquiry’ kendaliannya di TikTok dan Facebook telah dikenakan arahan sekatan dan pemansuhan di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) 2023 oleh polis pada 26 November.

Ini kerana kandungan media sosialnya dalam akaun tersebut “berulang kali terus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap masyarakat Cina di Singapura”, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 26 November.

Di samping itu, kiriman tersebut juga telah mencetuskan perasaan permusuhan, kebencian dan niat jahat terhadap, menghina dan mencemuh kumpulan kaum dan agama yang berbeza di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg