Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis keluar arahan sekat akaun TikTok, Facebook Zulfikar

Kiriman media sosial oleh rakyat Australia, Zulfikar Mohamad Shariff, cetus rasa permusuhan, kebencian terhadap kumpulan kaum, agama berbeza di S’pura
Nov 26, 2025 | 12:00 PM
Zulfikar, Tiktok, Facebook
Akaun TikTok dan Facebook bekas tahanan ISA, Zulfikar Mohamad Shariff, dikenakan arahan sekatan dan pemansuhan oleh polis. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK THE INQUIRY

Akaun TikTok dan Facebook bernama ‘The Inquiry’ kendalian bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, telah dikenakan arahan sekatan dan pemansuhan polis di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) 2023 pada 26 November.

Arahan tersebut dikeluarkan bagi menangani kiriman media sosial Zulfikar, yang “berulang kali terus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap masyarakat Cina di Singapura”, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya.

Kementerian itu menambah bahawa Zulfikar – yang telah melepaskan kerakyatan Singapura miliknya pada 2020 dan kini merupakan rakyat Australia – melalui kiriman media sosialnya juga telah mencetuskan perasaan permusuhan, kebencian dan niat jahat, menghina dan mencemuh kumpulan kaum dan agama yang berbeza di Singapura.

Dengan perintah sekatan dan pemansuhan yang dikenakan itu, ia bermakna akaun ‘The Inquiry’ di TikTok dan Facebook itu tidak lagi boleh diakses pengguna di Singapura.

MHA berkata pemerintah telah menerima pelbagai maklum balas daripada orang awam, termasuk beberapa laporan polis, bahawa kiriman media sosial oleh Zulfikar mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Contohnya, Zulfikar, dalam satu video TikToknya pada 19 Jun 2025, mendakwa secara palsu bahawa orang Melayu/Islam dipaksa meninggalkan Islam dan berasimilasi dengan masyarakat Cina di Singapura.

Terdapat juga beberapa video lain yang turut berunsur hasutan, kata MHA, sambil menambah bahawa polis juga telah memulakan siasatan terhadap Zulfikar, 54 tahun, disebabkan tindakannya yang keterlaluan.

“MHA dan Pasukan Polis Singapura (SPF) menilai bahawa secara keseluruhannya, kandungan dalam talian oleh Zulfikar adalah kesalahan di bawah Seksyen 17F(3) Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) 1990.

“SPF telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun (ARD) kepada TikTok untuk melumpuhkan akaun TikTok Zulfikar dan Arahan Memansuhkan (DD) kepada Meta untuk melumpuhkan laman Facebook Zulfikar.

“Ini akan menghalang akaun/laman Zulfikar daripada terus berkomunikasi di Singapura, dan merosakkan keharmonian kaum dan agama kita,” kata kementerian itu.

Zulfikar pernah ditahan di bawah ISA pada Julai 2016 atas kegiatannya menggalak pengganasan dan mengagung-agungkan kumpulan pengganas ISIS di dalam talian.

Perbuatannya telah mempengaruhi sekurang-kurangnya dua warga Singapura lain – Mohamed Saiddhin Abdullah dan Muhammad Shamin Mohamed Sidik – menjadi radikal.

Zulfikar juga menyeru umat Islam supaya menolak negara berperlembagaan, sekular dan demokratik, dan sebaliknya menyokong penubuhan sebuah negara Islam yang ditadbir undang-undang syariah.

Dia percaya bahawa keganasan harus digunakan untuk mencapai matlamat itu jika perlu.

Semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Zulfikar dalam kirimannya melalui akaun Facebook dengan nama ‘Zai Nal’ telah menuduh beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, sambil berkata masyarakat Islam setempat tidak memerlukan seorang lagi AP Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka.

Beliau adalah antara beberapa warga asing yang kiriman Facebook mereka disekat kerana menyasarkan rakyat Singapura dan merupakan satu bentuk masuk campur dalam ehwal dalaman negara.

MHA berkata “pemerintah Singapura memandang amat serius ancaman terhadap keharmonian kaum dan agama kita, termasuk daripada warga asing, dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka”.

Menulis di Facebook pada 26 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau menyokong tindakan tegas yang diambil SPF dalam menangani isu serius tersebut.

Beliau menambah bahawa negara ini menolak sekeras-kerasnya terbitan berbaur hasutan yang cuba menggugat dan merosakkan keharmonian sosial negara majmuk ini.

Pada masa yang sama, Dr Faishal menggalak rakyat Singapura untuk kekal bersatu padu dan tidak membiarkan tindakan menghasut atau provokasi seperti itu memecah-belahkan masyarakat negara.

“Pemerintah sedang bekerja keras dalam pelbagai bidang untuk membawa kemakmuran bagi Singapura.

“Marilah kita terus bekerjasama untuk mempertahankan kemajuan, keamanan, kepercayaan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, serta melakar masa depan yang lebih cerah untuk semua sebagai satu rakyat yang bersatu padu, demi generasi-generasi mendatang,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg